Chapter 32

Romance Completed 11698

HAZMAN terus tak balik rumah malam itu. Ke mana dia pergi, seorang pun tak tahu cerita. Hazman membiarkan ibu bapa dan adik-adiknya di rumah dalam kerisauan. Siapa yang salah? Dia atau Pak Din dan Mak Munah? Pada Hazman, soal jodoh atau mencari calon isteri ini biarlah dia yang tentukan, kenapa orang lain perlu paksa? Janganlah marah-marah macam dia tu budak tadika.

Pak Din juga terasa menyesal, kenapa siang tadi ditengking dan dimarahnya Hazman sebegitu rupa? Hazman tahulah dia sebagai anak mesti hormat dan dengar cakap ibu bapa. Dia bukan tak nak dengar cakap, tapi ini nak menjamin kelangsungan dan masa depan dia sendiri.

Dalam hatinya kalau nak ungkit, Hazman sebagai anak sulung banyak bantu keluarga terutama dalam kewangan. Pak Din dan Mak Munah bukannya kaya dan ada harta. Cuma ada tanah pusaka tapak rumah dan rumah lama. Hazman yang banyak keluar duit untuk baiki rumah usang ini. Rasanya dah dekat RM 30,000 duitnya lebur untuk baiki rumah sahaja. Belum cerita kereta Toyota yang dibelikannya cash untuk bapanya ke kebun. Walaupun secondhand, kereta itu dalam keadaan yang baik. Persekolahan keempat-empat orang adiknya itu ditanggung sepenuhnya oleh Hazman? Itu masih belum cukup berjasakah dia selama ini sebagai anak? Jadi, kenapa Hazman ditengking sebegitu oleh abahnya.

Wajarkah anak saja kena hormat mak ayah sedangkan mak ayah juga perlu hormat anak-anak. Hazman terasa sedih. Kalau abahnya selalu ungkit pengorbanannya sebagai bapa, Hazman juga boleh ungkit apa yang dia pernah berikan pada keluarga.

Malam itu, dia tekad tak akan pulang rumah. Dia mahu mencari ketenangan di mana-mana. Azura anak sedara Mak Cik Siah, bukannya Hazman tak suka. Orangnya cantik juga, berdebar jantung Hazman dibuatnya bila mata bertentang mata kali pertama. Mak Munah pun perasan, muka Hazman berubah dan seakan ada sesuatu menandakan cinta telah terbit di hati anak sulungnya itu. Nak kata tak suka, bukan tak suka. Cuma, dia ada masalah lain yang orang sukar nak baca.

Esok paginya, Hazman sampai di rumah. Mak Munah menyambutnya dengan gembira kerana penantian telah berakhir tetapi penuh persoalan. Hazman kelihatan keletihan dan muka seakan pucat seperti tak cukup tidur. Dia masuk ke rumah dan terus masuk ke bilik. Waktu itu, Mak Munah seorang saja di rumah. Pak Din keluar ambil upah di kebun manakala adik-adik ke sekolah.

“Man, mari makan, mak ada masak sarapan nasi goreng,” panggil Mak Munah.

“Nanti dulu, mak. Man kenyang.”

Hazman terus masuk ke bilik kemudian mandi. Lepas itu dia cuba tidur. Mak Munah daripada tadi pelawa anaknya makan, tapi Hazman kata dia masih kenyang dan mahu tidur dulu. Mak Munah tak tahu Hazman tidur mana malam tadi tapi dia tak tanya. Hazman tidur kerana mengantuk dan mengunci bilik dari dalam. Mak Munah hairan namun dia cuba sibukkan diri di dapur memasak untuk makan tengah hari.

Dalam tengah hari, Hazman terjaga dan pergi ke dapur. Mak Munah meletakkan nasi di pinggan Hazman dan menuangkan air milo untuk anak lelakinya itu. Mak Munah juga meletakkan ikan goreng yang baru digorengnya untuk makan tengah hari ke dalam pinggan Hazman.

“Mak, harini Man nak balik ke Johor Bahru. Lepas makan ni,” kata Hazman.

“Nak balik JB? Man... dulu kata Man, nak lama lagi di kampung ni, tapi....,” kata Mak Munah, kemudian dia menangis. Dia tak mampu menghabiskan ayat itu.

“Mak... Man dah lama tinggalkan gerai burger Man pada Aboi. Kalau Man kat JB, boleh jugak Man bantu Aboi,” jawab Hazman.

Mak Munah tak jawab, seolah-olah tak berdaya halang Hazman. Kalau dihalang pun, Hazman tetap akan ke JB juga. Macam anaknya itu hilang malam tadi. Lepas makan, Hazman masuk ke bilik dan bawa beg pakaian. Rupanya, dia dalam bilik tadi dah siapkan beg pakaian.

“Man nak gerak sekarang ke? Tunggulah abah dan adik-adik kau balik dulu, Man” pujuk Mak Munah.

“Tak apalah mak, kirim salam semua. Man kena cepat, sampai JB nanti nak kena cuci rumah dulu, tentu dan berhabuk, lama tinggal,” kata Hazman.

Hazman salam dengan ibunya dan menyerahkan wang RM 1200 untuk belanja di rumah dan belanja sekolah adik-adik Man. Mak Munah peluk Hazman dengan sedihnya.

“Man, maafkan mak kalau Man terasa hati dengan mak,” kata Mak Munah.

“Man yang sepatutnya minta maaf pada mak, sebab mak kena jaga Man selama Man sakit. Kirim salam pada abah dan adik-adik,” kata Hazman.

Hazman bertolak ke JB dalam melalui lebuh raya, sejam setengah sampai ke JB. Dalam perjalanan, Hazman telefon Aboi mengatakan dia dalam perjalanan dan akan sampai tak lama lagi. Di hadapan rumah, Aboi dah tunggu dan menyambut Hazman dengan gembiranya. Aboi bantu Hazman kemas rumah.

Hari terakhir Haryanti di Kemaman pula, Maria serahkan hadiah pada Haryanti di kantin waktu sarapan pagi.

“Kak Yanti, ini ada hadiah istimewa daripada insan yang istimewa,” kata Maria.

“Daripada siapa?” Haryanti bertanya sambil ambil hadiah itu.

“Alah, buat tak tahu pulak. Ini hadiah istimewa daripada Badrul!”

“Terima kasih. Tapi mana Badrul? Tak nampak pun turun sarapan,” tanya Haryanti.

“Ada tu, kejap lagi sampailah agaknya.”

Rupanya Badrul sudah berpakat dengan Maria supaya serahkan hadiah tu, masa dia tak ada di situ. Jadi Badrul sengaja lambat turun. Hari itu, Maria dan Badrul tumpang kereta Haryanti ke Kuala Lumpur. Kemudian, Badrul balik ke Shah Alam, Maria ambil bas dari KL ke Muar. Nampak Haryanti cukup intim dengan Badrul. Hadiah istimewa daripada Badrul adalah rantai emas dan beg tangan yang Badrul beli di Kuala Terengganu hari tu. Haryanti pun tak tahu Badrul belikan untuk siapa, rupanya nak kasi dia. Haryanti terima pemberian ikhlas Badrul itu seadanya.

Sampai di KL, Haryanti pulang ke rumah sewanya. Nani terlihat rantai emas dan beg tangan yang masih di dalam kotak itu.

“Cantik hadiah tu, hadiah sempena apa?” Nani bertanya.

“Hadiah biasa sajalah. Peserta kursus yang kasi,” jawab Haryanti.

“Beruntunglah jadi urus setia kursus, dapat hadiah mahal-mahal macam ni. Ni mesti peserta lelaki kasi, kan?” teka Nani.

“Pandai kau! Orang Shah Alam, baru kenal masa kursus.”

“Ini mesti ada apa-apa ni, kalau tak takkanlah kasi hadiah mahal macam ni,” Nani terus mengusik.

Nani sebagai teman sebilik Haryanti, nampak ada perubahan pada diri gadis itu. Haryanti nampak ceria tak masam seperti dulu. Kejap-kejap dapat SMS daripada seseorang dan gadis itu nampaknya senyum membaca dan membalas SMS itu. Dalam sehari, entah berapa puluh kali SMS dan telefon antara Badrul dan Haryanti. Mana mungkin Nani tak perasan perubahan itu semua.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience