Chapter 34

Romance Completed 11698

“TAKLAH, saya bukan polis,” jawab lelaki itu dengan tenang. “Habis, kalau bukan polis, abang kerja apa?” tanya Hazman lagi.

“Tak apalah, Man. Kerja saya tak boleh beritahu orang sangat. Awak tak kenal saya kerja apa pun dah kira cukup baik.”

Hazman terus kehairanan. Dia berkata, “Tengok gaya abang, macam pegawai penyiasat saja. Abang kerja kerajaan?”

“Saya kerja kerajaan. Oklah... saya kerja Jabatan Agama Islam Johor, penguat kuasa Jabatan Agama. Tapi kalau boleh jangan beritahu orang sangat kerja saya ni,” kata lelaki tu akhirnya.

“Abang kerja penguatkuasa Jabatan Agama?” Hazman bertanya dengan nada terkejut.

“Ya....”

“Baru saya ingat, gambar abang dalam akhbar semalam! Gambar abang tamat latihan taekwondo. Sekarang semua penguatkuasa Jabatan Agama ada taekwondo ke, bang?”

“Oh, akhbar semalam, betullah. Polis dari Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur yang ajar. Macam mana boleh cam pulak muka saya?”

“Kalau muka kita biasa tengok, mesti kita ingat punya. Abang ni nama siapa, nak panggil apa?”

“Panggil saya Khalil saja, rumah saya belakang sana. Tak jauh dari sini.”

Oleh kerana mengetahui lelaki itu kerja di jabatan agama, Hazman terasa lelaki itu mungkin boleh membantunya dalam meyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya. Kalau tadi dia panggil lelaki itu abang, sekarang sudah diubahnya sendiri pada gelaran ‘ustaz’ walaupun tak disuruh. Selepas siap burger yang dipesan, Hazman bercakap sesuatu lagi dengan lelaki itu.

“Ustaz, saya rasa ustaz mungkin dapat bantu saya. Saya ada masalah besar, boleh ke ustaz bantu?”

“Masalah apa tu?” tanya Khalil.

“Mungkin malam ni ustaz tak ada masa nak dengar masalah saya, cerita saya panjang. Ustaz mungkin ada kerja lain malam ni?”

“Tak apa, ceritalah. Saya pun malam ni tak ada operasi, cuma tunggu panggilan saja.”

Hazman sudah mula berkemas untuk menutup gerai dengan dibantu Aboi. Hazman tinggalkan Aboi seorang diri. Dia bersama Khalil ke kedai mamak berhampiran. Mereka berbual panjang di kedai mamak tu. Khalil dengar satu persatu cerita dan kisah hidup Hazman daripada mula sehingga sekarang. Khalil menjadi pendengar yang baik dan kadang-kadang bertanya soalan kalau cerita itu kurang jelas. Lepas tu, Khalil pula berkata-kata, seakan mengulas kisah itu.

“Kisah kamu ni, dalam bab perkahwinan kira kes ‘wali enggan’. Ada prosedur tertentu yang membolehkan kamu nikah dengan Yanti. Kamu boleh datang ke Pejabat Agama Daerah dan buat aduan. Lepas tu, kadi atau mahkamah akan menjalankan beberapa proses, mungkin memanggil bapa Yanti. Sama ada dia suka atau tak untuk meneruskan perkahwinan, kita serahkan pada mahkamah. Kalau mahkamah beranggapan Man layak jadi suami yang baik pada Yanti, berkemungkinan mahkamah akan benarkan kamu bernikah secara ‘wali hakim’. Apa-apa hal, serahkanlah pada bidang kuasa mahkamah,” terang Khalil.

“Jadi, masih ada peluang, walaupun bapa dia menentang?” tanya Hazman.

“Masih ada peluang untuk kamu bernikah dengan Yanti. Kita serahkan pada mahkamah. Ada beberapa kes yang saya ketahui sebelum ini, berjaya bernikah secara wali hakim selepas mahkamah benarkan.”

“Tapi ustaz, bagaimana penerimaan keluarga Yanti dan keluarga saya nanti? Mereka tentu bermusuhan dengan kami berdua,” kata Hazman, bimbang.

“Itu kamu fikirkanlah sendiri... tapi ada beberapa kes, keluarga menentang pada peringkat permulaan saja. Lepas bernikah dalam setahun, bila dah dapat anak pertama, bapa dan keluarga pun reda. Ada pula satu kes tu, bapa mula tak nak walikan. Tapi bila mahkamah dah perintah wali hakim, bapa dia pula datang waktu majlis akad nikah, nak walikan anak dia, ada juga kes begitu. Jadi, terpulang pada kamulah, Man. Kalau kamu nak teruskan, ada prosedur atau caranya.”

“Ya ustaz, saya faham. Tapi ustaz agak, kalau kes saya ni boleh berjaya ke?”

“Itu bidang kuasa mahkamah, Man. Biar hakim yang putuskan. Kamu bawaklah akaun simpanan dan keluar masuk kira-kira perniagaan kamu di mahkamah nanti. Man, gaji kamu berbelas ribu sebulan, kalah gaji pegawai tahu. Saya ingat, saya yang ada ijazah ni, kalau pencen nanti pun belum tahu gaji sebesar kamu ni. Saya rasa, dari segi pendapatan, mahkamah boleh terima. Tapi saya tak boleh cakaplah kamu berjaya atau tidak, ini budi bicara mahkamah.”

“Ustaz, lagi satu, Yanti pernah ajak saya nikah di Thailand saja. Orang yang uruskan itu kata dia kenal rapat dengan Jabatan Agama Johor dan boleh daftar kat sini. Apa pandangan ustaz, kalau saya nak cari jalan mudah, pergi ke Thailand saja?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience