Chapter 2

Romance Completed 11698

HARI demi hari yang berlalu menyebabkan Hazman semakin memikirkan cara yang terbaik untuk meluahkan perasaannya kepada gadis tersebut. Ruang pemikiran Hazman hanya dipenuhi dengan persoalan tentang si gadis misteri yang telah berjaya mencuri hatinya. Siapa namanya? Kerja apa? Asal mana? Apa yang pasti, gadis tersebut bukan “minah kilang”. Hazman yakin sebab gadis itu tidak memakai sebarang uniform.

Kalau tengok pada keretanya pula, huruf pertama pada nombor plat ialah “W”. Adakah si gadis idamannya itu orang Kuala Lumpur? Entah-entah beli saja kereta kat KL. Satria merahnya itu memang mengancam! Nampak macam kereta baru. Satria boleh dikira kereta sport. Kiranya gadis ni bawak kereta laju juga agaknya. Cuma dia tak pernah tengok pulak gadis tu bawa kereta laju-laju, maklumlah kawasan taman. Sekali pandang, nampak gadis ni seperti orang berada.Mungkin datang daripada keluarga yang kaya. Mungkin.

Dari segi pakaian, gadis ni ikut fesyen terkini. Kalau balik kerja, pakai baju kurung. Kalau dari rumah, pakai seluar slack dan t-shirt atau blaus lengan panjang. Tudungnya pula berfesyen ala gadis sekarang. Kira gaya macam orang bandarlah. Gadis ni jaga penampilan, kalau datang beli burger pun siap bermekap dan pakai minyak wangi. Jauh kalau nak dibandingkan dengan Hazman. 24 jam berbau burger saja. Kalau letak pakai minyak wangi banyak mana pun tak jalan. Gadis idamannya itu paling kurang pun akan mencalitkan gincu nipis. Senyumannya membuatkan jantung Hazman meletup-letup macam bunyi mercun padi. Ayu dan manis!

Wajahnya yang iras-iras penyanyi Sheila Majid itu menyebabkan dalam diam-diam Hazman memanggilnya “Sheila”. Hazman teringin betul nak tanya nama sebenarnya. Malangnya bila si “Sheila” ni muncul, teruslah Hazmah lemah dan datang senggugut tiba-tiba. Bercakap pun jadi tergagap-gagap.

Macam-macam mana pun, Hazman tahu yang dia kena juga mulakan langkah. Kalau tidak, alamatnya berputih matalah dia melihat “Sheila Majid”nya dikebas orang lain. Pada mulanya, Hazman mulakan strategi dengan memberi diskaun istimewa untuk pelanggannya yang istimewa itu.

“Burger ni RM 1.90, kira RM 1.50 sajalah untuk pelanggan istimewa.”

Hazman mula masuk jarum sikit walaupun mulanya tak berani. Kalau nak kira malu, memanglah malu, tapi dia dah cukup tekad kali ni. Takut nanti melepas. Pekerja Hazman, lelaki baru lepas sekolah tu kehairanan dan mula syak sesuatu. Tergelak juga pekerja dia tu, tengok tauke dia mengorat tapi macam tak jadi.

“Terima kasih,” ringkas sahaja jawapan si gadis.

Terkedu Hazman dibuatnya. Hatinya tertanya-tanya, tak perasan ke dia ucap ayat “pelanggan istimewa” tadi? Nampaknya macam tak ada kesan. Tak apa, sekurang-kurangnya Hazman dah berani sikit. Dia bercadang nak ulang lagi sekali ayat tu. Manalah tahu ada respon nanti.

Esoknya, Hazman sudah bersiap sedia dengan ayat yang lagi power. Kali ni Man nak bahasakan dirinya “abang”, tengok macam mana reaksi “Sheila Majid”. Suka atau tak.

“Hari ni abang belanja burger untuk pelanggan istimewa abang,” kata Hazman seorang diri berlatih dulu kat rumah.

Walaupun pemikiran dan hati Hazman dipenuhi dengan bunga-bunga cinta terhadap “Sheila Majid” idamannya itu, namun dia masih waras. Terfikir juga dia, nak kasi free burger sempena apa. Kalau ditolak, kan malu. Paling malu tentulah pada pekerja dia tu.

“Hari ni abang belanja, sempena hari lahir abang. Khas untuk pelanggan istimewa abang.”

Hazman lebih yakin kali ini. Paling kurang pun tentu “Sheila Majid” akan ucap tahniah sempena hari lahirnya. Wah, seronoknya! Walaupun hari tu bukan hari lahirnya, Hazman terasa tak apa. Tipu sikit, bukannya kena penjara pun.

Petang itu, Hazman sudah bersedia menunggu nak ucapkan ayat tu. Dia siap dah pesan pada pekerjanya hari tu suruh balik rumah rehat di antara pukul enam hingga tujuh petang, gaji jalan. Terkejut juga pekerjanya.

Tepat jam 6.30 petang, “Sheila Majid” datang seperti yang dijangka. Masalahnya, ketika itu jugalah pelanggan lain tengah ramai. Hazman terpaksalah membatalkan hasrat nak “jual minyak”. Kacau daun betul, hancur lebur harapan setinggi gunung.

Hazman rasa, dia nak mintak nombor telefon gadis itu untuk memudahkan dia bercakap, atau kurang-kurang pun boleh sms. Kalau dalam mesej ni, dia beranilah sikit. Soalnya sekarang ni, macam mana dia nak minta nombor telefon gadis idamannya itu? Sudahnya Hazman dapat satu idea. Dia akan bagi nombor telefonnya pada “Sheila Majid”. Alasannya untuk memudahkan gadis tu buat tempahan awal sebelum datang ke kedainya. Bagus juga idea tu!

Esoknya bila “Sheila Majid” datang, Hazman segera menghulurkan kertas yang sudah tertulis nombor telefonnya bersama bungkusan burger. “Lain kali kalau nak burger, sms dulu. Nanti datang ambil saja. Tak payah tunggu lama,” kata Hazman bersahaja. Dia rasa macam nak melompat bila “Sheila Majid” ambil kertas itu dan memasukkannya ke dalam beg tangannya.

“Ok, nanti kita sms ye?”

Semenjak hari tu, Hazman tak pernah berenggang dengan handphone. Sebelum ni, kalau masak burger, jarang dia jawab telefon. Takut burger hangus. Tapi sekarang, setiap panggilan dijawab. Manalah tahu, kalau “Shiela Majid” yang dirindui tu telefon. Malangnya, strategi Hazman macam tak menjadi. Si dia tak pernah hantar sms. Telefon jauh sekali.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience