Chapter 31

Romance Completed 11698

MAK MUNAH telefon banyak kali tapi Hazman tak jawab. Ini merisaukan keluarganya. Ke mana dia pergi? Ke JB, tak mungkin! Pakaian dan ubat langsung tidak dibawanya.

“Bang, saya risaukan si Man tu....” Mak Munah mula mengesat matanya yang berair.

“Apa yang awak nak risau sangat? Dia tu lelaki!” Pak Din pula menjawab.

Mak Munah kecewa dengan kata-kata suaminya itu. Dia tak sangka keadaan akan jadi seburuk itu. Syira juga risau, ke mana dan bagaimana kesihatan abangnya? Syira dan Mak Munah terus cuba menghubungi handphone Hazman, namun handphone itu telah pun dimatikan. Sehinggalah ke malam, bayang Hazman masih belum kelihatan.

“Bang, kita usahalah cari ke mana Man. Takkan kita nak biarkan saja anak kita tu.

Saya risau, dah lewat ni Man masih belum pulang. Telefon dia pulak tutup,” pujuk Mak Munah.

Pak Din tak kata apa-apa. Dari tadi dia diam saja, mungkin rasa menyesal dengan apa yang berlaku siang tadi.

“Saya rasa dia ada di Johor Bahru. Bagi sini telefon, saya nak telefon kawan dia yang jual burger tu, Aboi,” kata Pak Din, kemudian dia mendail nombor telefon Aboi.

“Pak cik, ni Aboi cakap,” kata Aboi yang macam terkejut apabila Pak Din telefon.

“Pak cik nak tanya, ada nampak Man ke di sana?” tanya Pak Din.

“Abang Man? Tak adalah, pak cik. Saya dekat gerai burger ni, kalau dia ada mesti dia datang sini. Kalau kat rumah dia, saya tak tahulah pulak. Hm... kenapa pak cik? Man dah balik JB ke?” tanya Aboi.

“Ingatkan dia ada situ. Tadi dia keluar sejak petang lagi naik kereta, tak tahulah dia pegi mana. Aboi, boleh tolong tengokkan Man kat rumah dia ke, manalah tahu dia ada kat rumah,” kata Pak Din.

“Sekarang saya pergi ke rumah abang Man. Nanti lepas ni saya telefon pak cik semula!”

Aboi terus pergi ke rumah Hazman yang jaraknya sekitar 2 km saja. Dia tinggalkan gerai pada adiknya yang setiap hari membantunya. Sampai di rumah Hazman, dilihat rumah itu gelap saja luar dan dalam. Di halaman, penuh dengan daun pokok yang kering, menunjukkan sudah lama orang tak masuk rumah tu. Aboi telefon Pak Din dan beritahu, Hazman tiada di situ. Aboi kembali semula ke gerai burger.

Dalam hati Aboi, apa yang sudah berlaku pada Hazman... adakah Hazman kena culik? Tetapi tak mungkin, tadi Pak Din kata Hazman keluar naik kereta. Aboi syak, mungkin ada sesuatu terjadi pada Hazman. Mungkin ada perbalahan dengan keluarga. Aboi cuba telefon Hazman tapi tak dapat. Kemudian Aboi hantar SMS.

- Abang Man, ada di mana sekarang?

Rumah Hazman di kampung diselubungi kesedihan dan kerisauan. Pak Din daripada tadi keluar masuk bilik dan ruang tamu, tak sedap duduk. Mak Munah tak henti-henti mulutnya berzikir dan baca al-Quran. Syira berkurung dalam bilik, sudah banyak air matanya mengalir. Adakah mereka akan kehilangan Hazman selama-lamanya? Lampu rumah diterangkan luar dan dalam. Sekali-sekala Mak Munah buka pintu, lihat kalau-kalau ada Hazman balik. Jam sudah hampir tengah malam, bayang Hazman masih belum kelihatan. Syira hantar SMS pada abangnya itu.

- Abang Man, baliklah ke rumah. Jangan tinggalkan kami, Abang Man.

Namun tiada jawapan daripada Hazman, handphone masih tutup. Kehilangan Hazman semakin menjadi tanda tanya.

Kemudian, Pak Din berkata pada Mak Munah, “Saya rasa Man ke Kuala Lumpur jumpa perempuan tu....”

“Takkanlah Man ke Kuala Lumpur. Jauh tu. Kain bajunya langsung tak dibawa,” sanggah Mak Munah.

“Kuala Lumpur tu bukan jauh sangat. Saya rasa dia pergi jumpa perempuan tu. Kalau Johor Bahru tak ada, mesti dia ke Kuala Lumpur!” kata Pak Din lagi.

“Dah tu macam mana, bang? Takkanlah kita nak pergi cari dia sampai ke sana?”

“Nanti dulu. Awak ada simpan ke nombor telefon perempuan, anak orang kaya tu? Kita tanya dia dulu,” cadang Pak Din.

“Saya tak simpan, tapi Syira ada simpan, nanti saya minta.”

Mak Munah masuk ke bilik dan panggil Syira keluar. Atas nasihat Mak Munah, Syira mendail nombor telefon Haryanti. Bagaimanapun, tiga kali dail, telefon tidak dijawab.

Hari itu hari terakhir Haryanti jadi urus setia kursus di Kemaman. Malam tu dia sibuk dengan program termasuk makan-makan dan persembahan karaoke berkumpulan daripada semua peserta. Jadi, handphone Haryanti tertinggal dalam bilik. Gadis itu rasa terhibur hari itu melihat gelagat dan kerenah para peserta yang bersamanya selama dua minggu. Esok mereka akan berpisah.

Esok pagi selepas sarapan, semua akan pulang ke destinasi masing-masing. Ada yang dekat, ada yang jauh. KL, Johor, Kedah, Perlis, Sabah, Sarawak pun ada. Peserta dan urus setia, masing-masing sedih untuk berpisah esok setelah bersama-sama menempuh kursus dengan jayanya.

Haryanti dan Badrul duduk semeja menikmati jamuan sambil melihat persembahan karaoke. Selepas para peserta menyanyi, juru acara iaitu salah seorang peserta menjemput para urus setia pula menyanyi. Mula-mulanya urus setia semuanya mengelak, sebab mereka semua tak biasa dengan karaoke. Bagaimanapun, juru acara secara spontan memanggil nama Haryanti, kemudian orang lain bertepuk tangan dan memanggilnya ke pentas. Gadis itu memang ramai peminat, sebab dia seorang saja urus setia perempuan yang masih anak dara, yang lain dah tak ada dara. Ops, salah! Maaf ya? Semua yang lain dah kahwin.

Dalam tersipu-sipu, Haryanti ke depan juga dengan diiringi oleh Badrul yang menghantarnya sampai ke pentas, kemudian Badrul turun semula. Sebenarnya, dia memang sudah biasa karaoke. Dulu masa di universiti, Haryanti selalu berkaraoke dengan kawan-kawan di bilik. Dia pilih lagu nyanyian P. Ramlee tajuk Jeritan Batinku dalam filem Ibu Mentuaku.

Di mana, kanku cari ganti,

Serupa denganmu,

Tak sanggupku berpisah,

dan berhati patah,

hidup gelisah.

Alangkah,

pedih rasa hati,

selama kau pergi,

Tinggalku sendirian,

tiada berteman dalam kesepian,

Dunia terang, menjadi gelita....

Cahaya indah, tiada berguna....

Haryanti menyanyi penuh perasaan, suaranya merdu dan lunak membuatkan semua terpegun. Ramai yang kata dia ada bakat sebagai penyanyi. Sebenarnya Haryanti menjiwai lagu itu, sebab itu dia berjaya buat persembahan terbaik. Air matanya mengalir sewaktu menyanyi, bukan lakonan seperti orang lain sangka. Air mata itu adalah, terjemahan kepada cinta terluka Haryanti kepada Hazman.

Di mana kanku cari ganti? Malam itu Haryanti ditemani Badrul yang mengiringinya hingga ke pentas. Bukan itu saja, malah selama dua minggu Badrul berada di samping Haryanti. Bolehkah dia melupakan Hazman dan mengambil Badrul sebagai ganti?

Beberapa malam sebelum tamat kursus, Badrul ada menyatakan hasrat untuk menjadikan Haryanti sebagai isteri. Mereka sebaya, dua-dua ada ijazah universiti, dua-dua pegawai tinggi, duduk pula tak berapa jauh, Kuala Lumpur dan Shah Alam. Haryanti belum menjawab pelawaan Badrul itu, tetapi belum juga menolaknya. Badrul tidak kurang juga tampannya dan anak orang bandar juga seperti dirinya. Sesekali dia terfikir, kalau dia pilih Badrul, kebarangkalian keluarganya akan terima cukup tinggi. Keluarga Haryanti pasti tak akan menghina Badrul seperti Hazman yang sebelum ini disumpah seranah oleh abang-abangnya.

Haryanti cepat-cepat kesat air matanya dan duduk semula semeja dengan Badrul dan cuba tersenyum. Badrul puji sedapnya lagu tadi. Haryanti lepas itu minta diri untuk balik ke bilik, katanya sudah mengantuk. Jam sudah tengah malam tapi masih ada makanan dan persembahan lagi sebenarnya. Haryanti kata dia terlalu penat dan hendak berehat.

Badrul ada sesuatu yang hendak diberikan pada Haryanti malam itu, tapi dia serba salah dan bercampur segan untuk menyerahkan sendiri pada Haryanti. Bila Haryanti dah masuk bilik, Badrul berbisik dengan Maria supaya menyerahkan satu hadiah itu pada gadis idamannya itu. Badrul mengeluarkan satu bungkusan kotak kecil sebesar kotak kasut dari beg dan serahkan pada Maria.

“Ni jadi posmen ni kena belanja ni...!” usik Maria. Maria tahu, Badrul minat Haryanti dan berhasrat nak jadikan gadis itu sebagai isteri.

Haryanti balik ke bilik dan didapati ada beberapa missed call, antaranya daripada Syira. Haryanti terkejut dan hairan. Dia tertanya-tanya, kenapa Syira menelefonnya, adakah sesuatu yang penting? Ini mesti ada kaitan dengan Hazman. Kenapa? Adakah ada kaitan dengan kesihatan lelaki itu. Haryanti nak telefon semula, tapi dah lewat tengah malam. Macam tak sesuai. Mungkin dia patut tunggu pagi esok saja. Malangnya, rasa ingin tahu membuak-buak dalam dadanya tak dapat ditahan.

Haryanti kuatkan semangat untuk telefon Syira. Tetapi, dia batalkan semula hasratnya. Dia mesti fikir betul-betul dulu, patut atau tidak... serba salah betul Haryanti. Akhirnya, dia nekad untuk menelefon Syira setelah bersedia. Waktu itu Syira sedang baring dalam bilik.

“Syira, apa khabar, tadi ada telefon Kak Yanti ye? Maaf tadi kakak ada program, kakak kursus kat Kemaman ni,” kata Haryanti.

“Oh, maaf ganggu kak. Cuma Syira nak tanya, kakak tahu ke di mana Abang Man berada waktu ni?”

“Abang Man di mana? Kakak... kakak tak tahu. Kakak kursus di Kemaman dah dua minggu. Syira, apa dah berlaku? Bagaimana keadaan Abang Man sekarang?”

Syira terus terdiam dan suaranya tersekat-sekat. Perasaannya terus risau dan tidak lega lagi. Tadi kalau Haryanti kata Hazman ada di KL, mungkin Syira boleh rasa lega.

“Abang Man gaduh dengan abah. Dia keluar rumah petang tadi, terus tak balik. Tak tahu pergi mana. Di JB pun tak ada,” jelas Syira.

Berita ini merisaukan Haryanti. Malam ini sepatutnya dia gembira tapi suasana sudah bertukar. Dia pula teringatkan Hazman. Bagaimana keadaan Hazman? Ditimpa kemalangankah? Semuanya bermain di fikiran Haryanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience