Chapter 6

Romance Completed 11698

APABILA Hazman mengetahui tentang hal itu, dia serba sedikit terasa cemas. Tidak mustahil dia akan berpisah dengan Haryanti jika gadis itu bertukar ke Kuala Lumpur atau Selangor. Hazman memberanikan diri menyatakan hasrat untuk meminang Haryanti dalam tempoh terdekat. Mak dan ayahnya sudah bersetuju tetapi Haryanti pula yang bermasalah untuk memberitahu keluarganya. Bagaimanapun, mahu tak mahu, dia terpaksa berterus-terang. Kalau boleh, Yanti mahu terus tinggal di JB untuk membina rumahtangga bersama lelaki pilihannya. Kalau nak difikirkan jauh, JB- KL bukannya jauh sangat. Kalau Haryanti terus menetap di JB pun, dia tetap boleh menjenguk ibu dan bapanya pada hujung minggu.

Masalahnya, untuk membuka mulut itulah yang paling sukar untuk Haryanti. Dia tidak tahu bagaimana nak mula bercakap.

Oleh itu, dia meminta bantuan kakaknya yang nombor tiga sebagai perantara. Kakaknya, Azizah, bekerja sebagai pegawai eksekutif di Selangor, sudah kahwin dan beranak tiga. Haryanti lebih mesra dengan kakaknya ini sebab semasa belajar dulu, dia sering ke rumah kakaknya.

Suatu malam, Haryanti memberanikan diri menelefon kakaknya itu dan menyatakan hasratnya. Dalam berbual, kakaknya tidak terlepas untuk bertanya soalan mengenai pekerjaan lelaki pilihan Haryanti.

“Dia berniaga makanan di JB,” jawab Haryanti seolah-olah tidak mahu menjawab dengan tepat.

“Ada restoran sendiri ke? Apa nama restorannya?” tanya Azizah lagi. Soalan ini membuatkan Haryanti terperangkap.

Mahu tidak mahu, Haryanti beritahu juga yang lelaki pilihannya itu seorang peniaga burger di JB. Mendengar jawapan itu, Azizah seakan terkejut dan terdiam seketika. Haryanti menanti dengan penuh debaran di dada.

“Kak, walaupun dia cuma jual burger, dia ada pendapatan yang tetap. Dia layan Yanti dengan baik, dan kami serasi bersama,” Haryanti menjelaskan dengan lembut.

Mendengarkan kata-kata itu, Azizah kedengaran tenang semula. Dia cuba memahami perasaan adiknya itu. Sebagai kakak yang sudah berkeluarga, Azizah cuba bersikap terbuka dan adil. Mereka berdua berbual lama. Azizah tidak menentang, malah dia memberi kata-kata perangsang pada Haryanti.

“Yanti, nak bina rumahtangga ini bukan semudah yang kita sangka. Kakak harap pilihan Yanti ini tepat dan sesuai dengan Yanti. Kakak tak kisah lelaki itu kerja apa, asalkan hidup Yanti bahagia. Suami yang berjawatan tinggi pun belum tentu dapat membahagiakan keluarga,” kata Azizah.

Haryanti berasa lega selepas bercakap panjang dengan kakaknya. Dia berterima kasih dan meminta bantuan supaya hasratnya itu dipanjangkan kepada mak dan ayah mereka. Haryanti berharap, kakaknya dapat meyakinkan mak dan ayah mereka nanti.

Malam itu juga, Haryanti ke gerai burger Hazman dan berbual panjang mengenai perkara itu. Berita itu sedikit sebanyak melegakan perasaan Hazman. Mereka berharap Azizah akan dapat memujuk keluarga Haryanti untuk menerima pinangan Hazman nanti.

Keesokannya abang kedua Haryanti, Fuad, menelefonnya. Fuad nak tahu lelaki pilihan adiknya itu berniaga di mana. Haryanti memberitahu lokasi dan nama jalan tempat Hazman berniaga. Fuad selalu ada urusan kerja di JB dan Haryanti fikir mungkin abangnya itu nak berkenalan dengan Hazman.

Tidak lama kemudian, Tuan Hashim pula telefon. Dia meminta anak gadisnya itu balik ke KL pada hujung minggu ini. Pada mulanya Haryanti keberatan kerana ada tugasan luar di JB pada hari Sabtu. Bagaimanapun, ayahnya tetap mahukan dia balik ke KL juga petang Sabtu. Sebagai anak, Haryanti akur dengan kemahuan ayah dan ibunya. Oleh kerana kepenatan untuk memandu kereta dan tak mahu terkejar-kejar naik bas, Haryanti mengajak Hazman sama-sama ke KL.

“Man. Kalau Man sayangkan Yanti, Man ikut sama Yanti ke KL Sabtu ni.”

Hazman terdiam seketika sambil merenung kekasihnya. Dia jadi hairan dan terkejut, kenapa pula Haryanti ajaknya ke KL?

“Ikut ke KL? Bagaimana dengan keluarga Yanti nanti, apa kata mereka?”

“Tak apalah, kalau Man tak mahu teman Yanti tak apalah,” kata Haryanti perlahan. Suaranya sudah mula sebak seolah-olah mahu menangis.

“Bukan begitu, sayang. Bukan Man tak sayangkan Yanti. Man tak berani nak berdepan dengan keluarga Yanti secara tiba-tiba macam ni,” pujuk Hazman dengan lembut.

“Bukan suruh Man jumpa keluarga Yanti. Man hantar saja Yanti dan Man tidur di mana-mana hotel di KL tu. Kurang-kurang Man ada di KL, Yanti rasa lebih berani nak hadapi semua ini. Kalau mak ayah tanya, Yanti kata Yanti naik bas.”

Mendengar penjelasan itu, Hazman pun faham dan bersetuju untuk ikut sama ke KL. Maka hari Sabtu, mereka bertolak dari JB dalam pukul satu tengah hari naik Proton Waja Hazman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience