Chapter 12

Romance Completed 11698

HAZMAN hanya memerhatikan dari dalam van, apa yang berlaku. Dia merenung dengan teliti, kenapa jiran-jirannya mengerumuni rumahnya? Apakah yang berlaku sebenarnya? Mulanya dia terasa takut nak keluar tapi apabila Hazman rasa tidak ada apa yang perlu dirisaukan, dia keluar dan menuju ke pintu pagar rumahnya.

Alangkah terkejutnya dia apabila melihat pagar rumahnya disimbah dengan cat merah. Proton Wajanya turut disimbah cat merah di bahagian bonet belakang. Hazman terus jadi panik, dia duduk mencangkung mengadap keretanya sambil kedua-dua tangannya memegang kepala.

Hazman ditenangkan oleh jiran sebelah rumahnya, Haji Ali, yang merupakan orang paling awal menyedari kejadian ini. Semasa Haji Ali di dalam rumah tadi, dia terdengar bunyi berdentum. Apabila dia keluar, dilihatnya sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki sedang meningggalkan tempat itu. Mungkin mereka menyedari kehadiran Haji Ali, menyebabkan mereka segera melarikan diri. Haji Ali sedar, dentuman itu adalah bunyi tin cat sederhana besar yang kena pada bonet kereta Hazman yang berada dalam kawasan pagar itu.

Hazman memandang sayu ke arah kereta kesayangannya yang kemik, kesan terkena tin cat.

“Man, lepas maghrib nanti ikut pak cik pergi balai polis, buat report,” kata Haji Ali.

Hazman terdiam dan menggelengkan kepala. Dia masih trauma dengan dua kejadian itu. Selepas dibelasah teruk, rumahnya disimbah cat pula.

“Tak apa, pak cik. Saya rasa tak ada apa-apa. Hal kecil saja ni,” jawab Hazman dengan perlahan. Dia cuba mengawal perasaannya.

“Tak boleh macam tu, Man. Nanti kalau berlaku lagi sekali, susah. Sebagai AJK penduduk taman ni, pak cik rasa kita kena bertindak. Jangan kita senyap. Bagaimana kalau rumah lain pula kena?” desak Haji Ali.

Hazman terasa serba salah. Desakan jirannya itu merupakan satu tekanan kepadanya. Melihat reaksi Hazman yang terus mendiamkan itu, Haji Ali tak dapat buat apa. Dalam hatinya terasa tak puas hati pada pemuda itu. Mana tidak, Haji Ali adalah saksi utama kejadian ni dan orang kuat persatuan penduduk taman tu. Malangnya tanpa kerjasama daripada Hazman, dia tak dapat berbuat apa-apa.

Malam itu Hazman ajak Aboi temankannya di rumah. Dia masih berada dalam ketakutan sehingga langsung tak keluar rumah. Aboi yang tolong belikan makanan nasi bungkus.

Aboi baru berusia 19 tahun. Rumahnya di taman itu juga, rumah kos rendah. Lepas habis SPM, Aboi tak sambung belajar walaupun dapat keputusan yang baik. Ayah Aboi dah meninggal dunia dan ibunya hanya bekerja sebagai tukang cuci di sekolah berhampiran rumah mereka. Kerana memikirkan masalah kewangan, Aboi tolak tawaran belajar lepas SPM sebab nak bantu ibunya. Sebagai anak sulung, Aboi mahu empat orang adik-adiknya berjaya dalam pelajaran sehingga berjaya ke universiti.

Sejak bekerja dengan Hazman hampir setahun lalu, telah merubah hidup Aboi. Aboi mula kenal Hazman semasa dia bekerja di sebuah kedai mamak. Tujuh bulan kerja kedai mamak, Aboi berhenti apabila ditawarkan kerja oleh Hazman. Kebetulan semasa tu, pekerja Hazman baru saja berhenti sebab menyambung pelajaran. Sekarang gaji Aboi dikira cukup lumayan, sekitar RM 50 sehari atau RM 70 sehari kalau jualan lebih. Aboi anggap Hazman macam abang sendiri. Dia cukup kenal hati budi pemuda itu.

Aboi juga tahu kisah Hazman yang sedang hangat bercinta di angin lalu dengan Haryanti. Kejadian yang berlaku hari ini meyakinkan Aboi yang ia ada kaitannya dengan keluarga Haryanti. Sebelum ni Aboi pernah terdengar perbualan telefon antara Hazman dan Haryanti di gerai burger. Dari situlah Aboi tahu yang keluarga Haryanti menentang perhubungan mereka. Walaupun Hazman tak mahu bercerita, Aboi memahami semuanya. Dia pandai simpan rahsia. Apabila Haryanti datang beli burger, Aboi tak tunjukkan reaksi yang dia tahu tentang percintaan gadis itu dengan majikannya.

Nasi ayam bungkus yang Aboi beli, tak lalu dimakan Hazman. Mana taknya, mulut dan bibir Hazman pecah akibat tumbukan samseng tadi. Dia tinggalkan nasi ayam itu untuk Aboi habiskan. Dari maghrib tadi, beberapa panggilan dibuat oleh Haryanti, tapi satu pun Hazman tak jawab. Tak pernah dia rasa setakut itu. Hazman sendiri tak tahu kenapa dia tak mahu jawab panggilan kekasihnya itu. SMS saja yang dibaca, tapi tetap tak dibalasnya.

- Abang Man, buat apa tu? Kenapa tak niaga hari ni?

Kalau sebelum ini Hazman rindukan SMS dan panggilan Haryanti, tapi malam ini tidak lagi. Masih terngiang-ngiang amaran samseng-samseng itu di telinganya.

Hazman cuba tidur awal malam itu. Namun, matanya terlalu sukar untuk dilelapkan. Mana taknya, dia biasa tidur paling awal pun pukul 12 malam lepas niaga. Dia makan dua biji panadol yang ada tersimpan dalam laci almari. Hazman cuba nak legakan sikit kesakitan yang dialaminya. Perutnya terasa senak tapi dia yakin tak bahaya, mungkin sehari dua lagi akan sembuh semula.

Hazman bersyukur kerana giginya tak patah kena tumbuk. Kalau patah gigi depan, dah tentu senyumannya tak memikat Haryanti lagi. Kenalah buat gigi palsu. Pernah ada seorang kawan Hazman kemalangan motosikal sehingga patah gigi depan. Terpaksalah masuk skru tanam gigi baru.

Sedang dia lena tidur, Hazman terasa ada orang datang di luar dan membakar rumahnya. Dia terdengar bunyi jiran-jiran menjerit dan Hazman cuba melarikan diri dengan keluar dari dalam bilik. Api semakin marak dan dia gagal melarikan diri. Hazman menjerit minta tolong...!

Tiba-tiba Hazman tersedar. Rupanya dia bermimpi. Walaupun begitu, dia benar-benar ketakutan seolah-olah mimpi itu benar-benar berlaku. Seluruh badannya berpeluh walaupun kipas terpasang. Hazman bersyukur yang semua itu hanya mimpi. Dia bangun dan keluar dari bilik. Dilihatnya Aboi sedang asyik tengok perlawanan bolasepak yang ditayangkan di tv. Hazman tengok jam baru pukul 12.30 malam.

Hazman duduk sekejap dan periksa telefonnya. Ada lebih 20 missed call daripada Haryanti. Hazman rasa buat masa ini dia tak mahu berhubung dengan Haryanti. Mimpi tadi menakutkannya. Hazman tak mahu rumahnya kena bakar hanya sebab berkawan dengan Haryanti. Kalau betul-betul terbakar, apalah nasibnya nanti. Silap-silap rentung dalam api!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience