Chapter 42

Romance Completed 11698

PAGI Ahad itu selepas bangun tidur, Haryanti tak balik terus. Lagipun kalau balik KL awal-awal bukan ada apa juga. Nani dah kahwin dan lepas ni akan terus pindah duduk dengan suami di KL. Maka akan tinggallah Haryanti, macam tak ada kawan, kawan lain tak rapat sangat, bercakap pun jarang-jarang. Nani lain, boleh kata semua masalah yang Haryanti hadapi, diceritakan pada Nani.

Haryanti serba salah dan teringat hadiah yang diberikan pada Syira untuk diberikan pada Hazman tu. Haryanti semacam rasa tak patut dia kasi hadiah tu pada Hazman, tapi dah diserah pada Syira. Lagi tak patut kalau dia telefon Syira supaya jangan beri pada Hazman. Syira pula beberapa hari ni nak periksa STPM, tak sepatutnya diganggu perasaannya. Apa-apa pun, dia dah kasi hadiah tu, maka terimalah seadanya. Rasa takut pula menanti apa reaksi Hazman padanya nanti. Tapi apa boleh buat.

Pagi tu, Haryanti sibuk layan SMS daripada Badrul. Bukan SMS biasa, tetapi ayat-ayat cinta. Haryanti balas walaupun bukan sepenuh perasaannya. Bagi Haryanti, Badrul sebagai kawan saja atau sekadar teman masa lapang. Boleh juga jadi teman SMS dan berbual dalam telefon. Kalau ajak keluar tu, lima kali Badrul ajak, adalah dia keluar sekali. Badrul memang tak tahu kisah cinta Haryanti dengan Hazman.

Dalam pukul 10, selepas Haryanti sarapan dan naik ke bilik, dia terima panggilan telefon daripada Azizah.

“Yanti, kat mana sekarang? Cepat balik rumah. Tadi mak telefon, kata abah pengsan jatuh bilik air. Ni kakak nak ke sana ni...!”

“Apa? Abah pengsan, terjatuh?”

“Ya! Cepat-cepat datang tengok abah!” kata Azizah.

“Kak, sekarang Yanti balik. Yanti kat Johor, datang majlis kahwin Nani. Sekarang Yanti bertolak, kak!” kata Haryanti dalam keadaan mencemaskan.

Haryanti terus kemas barang dan terus ke KL dengan keretanya. Dalam perjalanan, banyak kali Badrul SMS, tapi Haryanti tak kuasa nak jawab. Tak lama kemudian, Azizah telefon, menyatakan abahnya dibawa ke hospital pakar di sana. Abahnya masih belum sedarkan diri. Haryanti cuba memecut keretanya di lebuh raya tapi tak selaju mana.

Di hospital, abahnya dimasukkan ke wad kecemasan kemudian diletakkan di dalam bilik yang menempatkan seorang saja pesakit. Semua adik beradik Haryanti ada di situ kecuali Haryanti saja.

“Azizah, mana Yanti? Dah telefon dia ke?” tanya Kamal.

“Yanti ke Johor, tadi dia dah bertolak balik,” jawab Azizah jujur.

Fuad kurang senang dengan jawapan itu. Padanya, selama ini pun, masa abah tak berapa sihat, Haryanti tak nak duduk rumah tapi duduk pula di rumah sewa. Dalam hati Fuad berkata, dah duduk KL pun, jenguk abah pun jarang sangat, malah yang paling jarang dalam adik beradik.

“Yanti kat Johor? Anak tak guna! Derhaka pada mak bapak! Tak habis-habis dengan Mat Burger tu! Sampai abah dah jadi macam ni pun, masih gilakan Mat Burger tu!” kata Fuad dengan nada yang kuat.

Azizah dan Kamal menggeleng-gelengkan kepala dan terdiam. Azizah tak mahu menjawab atau menjelaskan sebab apa Haryanti ke Johor. Sebenarnya untuk hadir majlis kawan baiknya, bukan berasmaradana dengan Hazman. Tetapi Azizah diam saja sebab diam dirasakan lebih baik pada masa itu. Yang lain semuanya terdiam juga kerana tahu, itu hospital, bukan kedai makan yang boleh buat bising macam tu. Mereka tak sangka Fuad bercakap begitu, lagi pun depan abahnya yang sekarang kritikal. Isteri Fuad memegang lengan Fuad, tapi terus ditepisnya. Fuad sudah naik angin dan terus keluar dari bilik itu.

Azizah mundar-mandir dalam bilik dan keluar bilik. Dia mahu Haryanti berada di situ segera, kalau tak nanti, kalau berlaku apa-apa pada bapanya, Haryanti tak ada. Azizah juga takut kalau Fuad bertindak di luar batasan terhadap Haryanti nanti. Paling teruk sekali lagi Fuad menggunakan kaki pukul untuk membelasah Hazman yang dah tak ada kena mengena dengan mereka. Azizah sangat takut kerana dia syak abangnya itu terlibat membelasah Hazman walaupun tak ada bukti kukuh.

Tak lama kemudian, Azizah telefon Haryanti di luar bilik. “Yanti di mana sekarang?”

“Dalam perjalanan kak, lebuh raya, baru lepas Air Keroh.”

“Pandu hati-hati,” pesan Azizah.

“Abah macam mana?” Haryanti bertanya ingin tahu.

“Abah masih belum buka mata, darah dia naik tinggi. Doktor sedang rawat abah. Yanti jangan risau sangat, tapi Yanti nanti terus ke hospital ni,” kata Azizah.

Jawapan Azizah itu sedikit melegakan Haryanti. Sekurang-kurang dia tahu abahnya masih panjang umur. Tapi Haryanti macam tak berapa percaya juga segala kata-kata kakaknya itu, sebab mungkin sekadar nak menyedapkan hatinya. Kereta Satria Haryanti terus memecut tanpa berhenti walaupun perut Yanti lapar. Perjalanan tetap diteruskan.

Bagaimana keadaan Tuan Hashim? Adakah selamat? Atau....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience