Chapter 43

Romance Completed 11698

SYIRA berfikir panjang juga sama ada hendak serah hadiah yang Haryanti kasi itu pada Hazman atau tidak. Kalau dikasi, belum tentu Hazman gembira menerimanya. Lagipun, kalau nak kasi pun, kena tunggu Hazman balik kampung atau Haryanti ke JB. Maka didiamkan saja cerita hadiah tu dan simpan baik-baik dalam almari bajunya tanpa pengetahuan ibunya.

Hazman pula hairan kenapa Khalil sudah lama tak datang ke gerainya. Fikir Hazman, mungkin Khalil merajuk pada pertemuan terakhir itu. Hazman tanya Aboi, ada ke nampak Khalil, Aboi pun kata dah lama tak datang. Dia nak telefon Khalil macam tak sesuai, lagi pun dia terasa mungkin Khalil dah bosan nak dengar ceritanya yang tak sudah-sudah itu. Lagi pun, Hazman kata keputusannya berpisah dengan Haryanti adalah muktamad. Tetapi dia tetap rasa ada suatu yang tak kena dan dia perlu jumpa Khalil lagi lepas ni.

Sementara itu Haryanti terus memecut keretanya tapi jalan sedikit sesak kerana banyak kereta dari Seremban ke Tol Sungai Besi. Dalam pukul empat petang, Haryanti selamat tiba di hospital, terus pergi ke bilik abahnya setelah menelefon Azizah untuk mendapat alamat dan bilik yang tepat.

“Kak, bagaimana keadaan abah?”

Seakan soalan itu tidak terjawab, Azizah terus membawa Haryanti ke bilik abahnya ditempatkan. Puan Nisah menyambut dengan memeluk Haryanti. Gadis itu menangis, seolah menyesal kerana dalam adik-beradik, dia yang paling lewat sampai. Di bilik itu juga ada abang sulungnya Kamal, Yanti bersalaman dengan Kamal dan kakak iparnya. Alhamdulillah, Tuan Hashim sudah boleh buka mata walaupun masih menggunakan alat pernafasan. Haryanti diberitahu, ayahnya patah tangan sebelah kanan akibat terjatuh dan terkena sinki bilik air. Darah ayahnya meningkat tinggi. Tuan Hashim cuma mampu membuka mata dan kelihatan gembira melihat kehadiran Haryanti.

Haryanti sedih, dia anak bongsu dalam adik beradik dan dia adalah anak kesayangan bapanya itu. Dulu hampir ke mana-mana abahnya pergi termasuk ke kedai, bersiar-siar, pasti Haryanti yang dibawanya berbanding adik beradik lain. Segala kehendak dan kemahuan Haryanti, abahnya tunaikan, termasuk kereta Satria yang abahnya belikan waktu menuntut lagi di universiti. Cuma yang Haryanti sedihnya, dua perkara besar dalam hidupnya, abahnya menentang iaitu hasrat Haryanti nak belajar ke luar negara setelah dapat tawaran dan juga untuk dia berkahwin dengan lelaki pilihannya.

Haryanti memangis teresak-esak sambil memegang tangan bapanya. Hati Haryanti terus berkata, bahawa dia memaafkan apa yang telah bapanya lakukan sehingga dia terasa hati sangat. Sebagai anak juga Haryanti harap segala dosa dan kesalahannya pada bapanya, semoga bapanya sempat maafkannya. Haryanti rasa, sebagai anak, dia banyak buat ayahnya terasa hati dan gagal ambil hati bapanya.

Air mata Haryanti tidak boleh berhenti mengalir, sedih kerana perasaan yang terbuku di hati. Tuan Hashim yang melihat Haryanti menangis, turut mengalirkan air mata, jatuh membasahi alat bantuan penafasannya. Puan Nisah membantu mengesat air mata dengan tuala dan menenangkan anak gadisnya itu.

Fuad, isteri dan anak-anaknya pergi makan seketika di tingkat bawah dan belum mengetahui kehadiran Haryanti. Selesai makan, Fuad naik ke bilik bapanya dan terkejut melihat Haryanti sudah ada di situ. Bila Haryanti melihat Fuad, mukanya berpaling ke tempat lain, kemudian segera hendak keluar dari bilik itu. Dia ada suatu perasaan yang kurang senang terhadap abangnya itu. Sebaik hendak melangkah keluar dari pintu, Fuad menengking Haryanti.

“Dah puas hati kau buat abah sampai jadi begini! Sekarang baru nak datang tengok abah, dulu kenapa tak nak balik rumah jenguk abah!” tengking Fuad.

Suasana sudah bertukar menjadi hingar-bingar dengan jeritan yang sangat tak sesuai berlaku di hospital. Azizah dan Kamal turut menyampuk. “Kenapa cakap macam tu, inikan hospital!” marah Azizah.

“Bertenang, Fuad! Jangan nak mulakan pertengkaran di sini,” kata Kamal pula.

Haryanti sudah tak tahan, perasannya sudah tak dapat dikawal lagi. Secara spontan, tangannya menolak meja dekat pintu keluar dan terjatuh gelas dan pinggan makan. Mujurlah gelas dan pinggan itu bukan kaca. Keadaan itu menyebabkan keadaan semakin kecoh dan tidak terkawal.

“Samseng dan kaki pukul bukan abang Yanti lagi!” Haryanti terus menjerit.

“Apa? Samseng? Kaki pukul? Anak sial, tak mengenang jasa mak ayah! Kerana Mat Burger tu kau sanggup buang mak ayah dan adik beradik. Pergi berambus dari sini, Yanti!” Kata Fuad lagi. Sambil tangannya menunjukkan arah keluar supaya Haryanti pergi berambus segera.

Fuad semakin hampir kepada Haryanti seolah-olah mahu memukul atau menamparnya. Kamal menghalang, mengadap Fuad dan Haryanti di belakangnya. Tangan Kamal memegang tangan Fuad.

“Sudah, sudah. Fuad, inikan hospital. Kita kan tengah melawat abah sakit ni. Kenapa perlu bertengkar!” marah Kamal.

Tak lama kemudian, datang tiga orang pengawal keselamatan ke bilik itu kerana mendapat tahu, ada kekecohan berlaku.

Azizah membawa Haryanti keluar dari bilik itu dan menenangkan adiknya yang terus teresak-esak menangis.

Bagaimanapun, kehadiran pengawal itu sedikit pun tidak menggentarkan Fuad untuk terus membuat kecoh di situ. Fuad terus pergi ke arah Haryanti dan terus mengeluarkan kata-kata, “Tak apa Yanti, sebab Mat Burger sial tu, kau sanggup buang keluarga sendiri. Tak apa, kau tengoklah nanti apa kesudahan hidup kau, perempuan tak guna!”

Fuad sebenarnya amat terasa dengan perkataan samseng dan kaki pukul itu. Apatah lagi perkataan itu diucapkan di depan adik beradik lain termasuk isteri Fuad sendiri. Kalau betul Fuad kaki pukul, dia tak pernah tunjukkan depan keluarga sendiri, lebih lagi isteri dan anaknya. Fuad sudah semakin hilang sabar.

Haryanti terus menuju ke keretanya dan cuba menghidupkan enjin tetapi dihalang Azizah, hanya sempat membuka pintu saja. Tetapi Azizah berjaya merampas kunci kereta Haryanti dalam usahanya menghalang adiknya memandu dalam keadaan macam tu. Haryanti tetap masuk ke dalam kereta dengan menghempas pintu kereta dengan kuat.

Tangannya memukul-mukul stereng kereta dan membaling kotak tisu dan alat pewangi lalu jatuh ke bawah kerusi. Azizah memerhatikan saja dari luar dan mengharapkan Haryanti akan kembali tenang sebentar lagi.

Di bilik rawatan, semua yang hadir termasuk mak dan adik-beradik sungguh kecewa terhadap apa yang berlaku. Tuan Hashim yang terlantar di katil itu sebenarnya sedar, mendengar dan melihat di depan matanya tadi keadaan anak-anaknya yang bercakaran. Hancur lebur hati seorang ayah. Pernafasan bapanya terus tidak menentu dan Puan Nisah memanggil jururawat untuk memeriksanya.

Kemudian, doktor dipanggil ke situ dan doktor mengarahkan pengawal keselamatan tidak membenarkan orang lain melawat Tuan Hashim kecuali Puan Nisah. Pengawal keselamatan menutup pintu dan berkawal di depan pintu, melarang orang lain melawat tanpa izin doktor. Ini menimbulkan kemarahan dan protes dari anak-anak terutama Kamal dan Azizah dan bertemu doktor semula. Doktor tetap melarang orang lain melawat semasa ayahnya belum pulih sepenuhnya supaya kesihatan bapanya tidak terganggu dengan perkara lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience