Chapter 16

Romance Completed 11698

PEMANDU teksi gerakkan Hazman dari tidur lena tadi bila masuk saja kawasan rumah. Hazman terlena rupanya dan terjaga tapi masih mamai-mamai. Hazman tunjuk arah rumahnya dan teksi menuju ke depan halaman rumahnya. Sebelum keluar kereta, Hazman hantar SMS kepada Aboi, beritahu dia dah selamat sampai rumah. Kemudian dia keluar dari kereta bersama begnya. Mak Munah keluar melihat teksi yang datang itu. Rupanya anak sulungnya itu yang balik. Mak Munah pada mulanya kehairanan sebab biasanya Hazman akan balik dengan kereta sendiri.

Hazman bersalam dan memeluk ibunya sambil menangis. Mak Munah kehairanan dengan tingkah-laku spontan Hazman. Mulanya Mak Munah tak perasan bengkak pada muka anaknya itu. Bila perasan, dia terkejut.

“Man! Kenapa jadi begini, nak? Kenapa?”

Hazman tak mampu berbohong kepada ibunya sendiri seperti sebelum ini dia menipu Haryanti. Sambil menangis dia berkata, “Man kena pukul, mak... Man kena pukul...!”

Mak Munah terus meraung memeluk Hazman dan didengari adik-adik Hazman yang sejak tadi sedang menonton tv di dalam rumah.

“Hazman! Man! Kenapa kena pukul, Man? Kau bergaduh ke?” soal Mak Munah dalam suasana yang kelam-kabut.

Hazman tidak mampu bersuara, dia hanya boleh menangis. Tak lama kemudian, Pak Din balik dari kedai. Hazman bersalaman dan mencium tangannya.

“Kenapa muka kau, Man?

Hazman tak jawab, sebaliknya Mak Munah yang jawab, “Tengoklah anak kita ini, bang. Dia kena pukul di bandar sana! Daripada dulu mak dah risau kau duduk di bandar. Tengok apa jadi!”

Pak Din hanya bertenang saja seolah tidak mahu ikut rentak Mak Munah yang risau sangat dan kecoh sejak tadi.

“Biarkan Man masuk dulu, tak elok duduk kat luar. Dah nak maghrib ni,” kata Pak Din.

Mereka semua masuk ke dalam rumah. Syira, adik Hazman, membawakan segelas air suam untuk abangnya itu. Hazman minum macam orang dahaga benar. Memang sejak mula naik bas tadi, dia tak minum seteguk air pun. Lepas mandi dan solat maghrib, mereka makan nasi bersama. Hazman nampaknya tak berapa lalu makan walaupun lauk yang dimasak ibunya itu adalah lauk kegemarannya. Mulut dan bibir Hazman belum baik betul dan terasa sakit apabila terkena makanan. Beberapa suap saja, Hazman dah berhenti makan dan pergi basuh tangan. Melihat keadaan Hazman, ibunya menangis kesedihan.

“Man, nanti mak masakkan bubur untuk Man,” kata Mak Munah, sayu.

“Tak apa, mak. Mak sebenarnya dah kenyang minum air tadi,” pujuk Hazman.

Hazman terus berbaring atas sofa di ruang tamu depan tv ketika yang lain sedang makan lagi. Hazman kata, dia pening sebab dah lama tak naik bas. Sedang baring, Hazman seakan terlelap. Tak lama kemudian, Hazman terjaga semula apabila menyedari kehadiran ibu, ayah dan adik-adiknya di ruang tamu itu. Mak Munah memicit-micit kaki Hazman yang terasa sejuk. Dia terperasan sesuatu yang aneh pada bantal yang menjadi alas kepala anaknya itu. Mak Munah kembali cemas.

“Man! Apa ni, Man? Darah ni, Man... darah!” kata Mak Munah dalam keadaan yang cukup cemas.

Pak Din mengangkat kepala Hazman dan mendapati darah keluar dari dalam telinga sebelah kanan anaknya itu. Darahnya agak pekat, namun tak begitu banyak. Hazman seakan tak percaya apa yang berlaku. Tangan kanan Hazman menggosok-gosok ke bawah telinga kanan dan didapatinya memang ada darah. Mak Munah mengesat darah itu dengan bajunya dan darah masih belum berhenti.

“Kita pergi ke hospital sekarang, Man!” kata Pak Din.

Hazman tiada pilihan lagi. Dia tak mahu ibu bapa dan adiknya dalam kerisauan. Pak Din memandu kereta, manakala Mak Munah menemani Hazman di belakang. Ibunya memangku Hazman di ribanya. Darah semakin kurang keluar. Setiap kali darah keluar, Mak Munah akan mengesatnya dengan tuala kecil. Perjalanan sekitar 30 minit itu terasa cukup lama. Dia dalam kerisauan. Sepanjang jalan, Mak Munah memanggil-manggil Hazman.

“Celik mata, Man... Man! Jangan tidur, Man...,” Mak Munah berulang-kali mengucapkan ayat itu.

Sampai di hospital, Pak Din memapah Hazman dibantu oleh petugas di hospital itu. Hazman dibawa ke wad kecemasan untuk rawatan segera. Selepas menerangkan kepada doktor, ayah dan ibu Hazman diminta tunggu di luar sementara doktor melakukan pemeriksaan lanjut. Di hospital, baru Mak Munah tersedar yang dia hanya berkaki ayam. Dia masih menangis teresak-esak di kerusi menunggu kerana terlalu risau.

Lebih kurang setengah jam kemudian, Hazman dibawa keluar dari bilik rawatan itu dengan katil beroda dan ditolak oleh dua orang petugas hospital. Pak Din dan Mak Munah menerpa dan bertanya tentang keadaan anak sulung mereka itu. Hazman akan dibawa ke wad dan perlu ditahan beberapa hari di hospital. Mereka terkejut mendengar berita itu.

Hazman terkenangkan Haryanti. Sejak tiba di kampung, dia langsung tidak menghubungi gadis itu. Handphone Hazman pula tertinggal di dalam beg di rumah. Dia juga terkenangkan Aboi, yang menjadi teman jual burgernya setiap hari. Pada Hazman, Haryanti dan Aboi adalah nadi penting dalam hidupnya selain keluarganya di kampung.

Hazman buat keputusan merahsiakan keadaannya sekarang daripada mereka. Dia tak mahu menyusahkan mereka. Apatah lagi nak biarkan mereka di dalam kerisauan. Sudah tentu mereka akan risau kalau dengar berita Hazman kena tahan wad selama beberapa hari. Dia sendiri tak tahu berapa lama dia akan duduk di katil hospital itu. Kalau boleh, Hazman lebih rela duduk di rumah saja, tapi apakan daya. Sabar sajalah!

Tak lama kemudian, Hazman menerima suntikan di punggung. Kemudian tangan kirinya dicucuk untuk dimasukkan tiub dan disambung dengan air. Hazman nampak air itu menitik sedikit demi sedikit, mengalir masuk ke dalam badannya. Pergerakannya terbatas dan tidak sebebas dulu. Malam itu Hazman cipta sejarah pertama dalam hidupnya dengan tidur di hospital.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience