Chapter 62

Romance Completed 11698

“USTAZ, ada apa-apa perkembangan ke?” Hazman telefon Khalil dalam kereta sebaik meninggalkan rumah.

“Oh, ya? Belum lagi, Man. Sekarang sibuk sikit, mungkin sikit masa lagi, saya usahakan.”

“Tak apa, ustaz. Saya tahu ustaz selalu sibuk. Saya tak kisah menunggu. Cuma saya harapkan semua berjaya dan tak ada halangan.”

“Kita harapkan begitu, Man. Banyakkan berdoa, moga dipermudahkan kerja-kerja kita ni.”

Waktu makan di hotel itu, Haryanti masih dalam keadaan serba salah. Terfikir juga, nanti nak diceritakan juga pada Syira, adakah dia perlu tukar ke JB atau kekal di KL. Mungkin Syira boleh beri pandangan. Tapi sekali fikir lagi, Haryanti rasa tak perlu bercerita dengan Syira. Kalau diceritakan juga, mungkin menambahkan serabut di kepala. Syira pasti beri sokongan kalau dia pindah JB semula supaya rapat semula dengan Hazman.

“Nizar... kau tahu ke abang pergi mana malam ni? Betul ke keluar dengan Cikgu Syikin?” tanya Syira pada Nizar sedang mereka bersiap nak keluar ke Angsana.

“Tak tahulah, akak….” Nizar dah malas nak melayan.

“Tadi kau kata pergi jumpa Cikgu Syikin, ini dah jawab tak pulak. Kau ni sebenarnya bohong akak ye?” desak Syira.

“Nizar agak saja. Manalah Nizar tahu ke mana Abang Man nak pergi. Dia bukan budak-budak lagi!”

Syira senyap seketika dan menuju ke dapur mengemas pinggan yang daripada tadi ada di meja ruang tamu. Kemudian Syira ke ruang tamu semula.

“Kalau Abang Man pergi jumpa Cikgu Syikin, kau marah tak?” tanya Syira. Nizar seakan terkejut dan merenung muka Syira.

“Nak marah apa, biarlah. Inikan bandar, bukan macam kat kampung nak marah-marah. Lagipun abang ada hak nak tentukan siapa yang dia nak,” jawab Nizar.

“Jadi kau sukalah ya?” tanya Syira lagi. Nizar semakin serba salah dan merenung tajam wajah kakaknya itu. Nizar terdiam tanpa ada jawapan.

“Nizar, kau tahu tak, akak hormat Cikgu Syikin sebab dia cikgu akak. Kalau dia bukan cikgu akak, dah lama akak maki hamun dia!” marah Syira. Nizar terus terdiam sambil tengok tv, dia macam malas nak layan kata-kata kakaknya lagi.

“Akak menyesal sebab kenalkan Cikgu Syikin dengan Abang Man. Ni dah jadi macam cerita lain pulak!” Syira terus membebel.

Dalam jam 9.00 malam, Syira dan Nizar keluar ke Angsana naik teksi. Walaupun Nizar cadangkan naik motosikal saja tapi Syira melarang, malah menyorokkan kunci. Hazman tak tahu adiknya ke Angsana, yang dia tahu adik-adiknya tu nak keluar sekejap ke restoran sekitar situ saja. Dia siap pesan, kalau keluar rumah, kunci rumah dan dia ada kunci pendua. Syira dan Nizar tiba di Angsana yang penuh sesak dengan manusia tu. Hari itu jualan mega, ramai yang hadir termasuk orang dari Singapura. Banyak jualan murah dan ada persembahan artis terkenal.

Hazman berada di Larkin, memberhentikan kereta sambil menghidupkan enjin dan mendengar radio seperti menunggu seseorang. Tak lama kemudian, ramai pelajar-pelajar kelas tusyen turun dari tangga dalam keadaan riuh. Hazman membetulkan kerusinya yang tadi direbahkan sedikit. Tapi pelajar itu bukan orang yang ditunggu Hazman, pelajar itu ada ibu bapanya yang jemput. Hazman tunggu orang lain, tapi orang itu belum muncul.

Khalil pergi berhampiran lokasi kes yang sedang dibuat intipan iaitu kes mengandung luar nikah dan nak jual anak itu. Khalil tunggu di sebuah kedai mamak di hujung bangunan itu dan menelefon Zakri yang dari tadi ditugaskan membuat intipan itu. Mereka makan bersama dan membincangkan perkembangan kes itu.

“Tuan, perempuan masih di hotel itu dan belum hendak bersalin lagi. Cuma lelaki yang keluar masuk, perempuan tak. Makan pun lelaki yang bungkuskan, kemungkinan dah dekat sangat nak bersalin tu,” kata Zakri dalam menerangkan secara ringkas perkembangan kes tu.

“Lelaki tu ada pergi ke mana? Ada ke dia jumpa siapa-siapa tadi?”

“Ada, petang tadi di kedai ini lelaki tu minum dengan satu pasangan suami isteri berbangsa Cina,” lapor Zakri.

“Betul ke, pasangan itu seperti dalam pengadu berikan?”

“Ada kemungkinan, tuan. Saya sempat salin nombor kereta yang dinaikinya.”

Khalil dan Zakri lama juga di kedai mamak itu, sambil-sambil memerhatikan pergerakan pasangan yang disyaki di dalam hotel tak jauh dari situ.

“Zakri, lepas habis kes ni, kau ikut aku pergi ke satu daerah. Ini bukan nak menyiasat atau nak tangkap orang, tapi nak pergi rumah orang...,” kata Khalil.

“Pergi rumah orang? Kes apa tuan, macam menarik je,” soal Zakri.

“Mungkin menarik juga. Zakri, kau pandai berpantun?”

“Berpantunlah pulak. Manalah pandai sangat, sikit-sikit bolehlah!” kata Zakri sambil ketawa.

“Tak pandai? Maknanya kau ni belum layak jadi penyiasat, pantun pun tak pandai!”

Zakri terdiam, direnunginya muka Khalil. Tak layak jadi penyiasat? Maknanya apa tu? Bila dipandang muka Khalil, nampak serius, tak senyum. Menakutkan juga. Adakah Khalil kata dia kerja tak profesional, sebab tu kata tak layak? Tadi nampak macam Khalil melawak, rupanya bukan melawak, seriuslah pulak jadinya.

Melihat keadaan Zakri yang macam pucat muka tu, Khalil tersenyum. Khalil meneruskan bicara seperti buat lawak.

“Apalah kau ni Zakri, pantun dua tiga kucing berlari pun tak pandai ke?”

“Itu saya pandailah tuan, masa sekolah lagi dah pandai!” kata Zakri yang dah mula ketawa. Baru dia sedar yang bosnya itu melawak dari tadi rupanya, bukan serius.

“Tak apa Zakri, kalau kes kita ni selesai esok, esok juga kita pergi ke daerah tu!”

Dalam 9.30 malam, seperti dijanjikan, Haryanti ke Angsana. Gembira dia bertemu Syira dan Nizar, seolah-olah macam jumpa adik beradik. Mereka makan di KFC, kemudiannya jalan-jalan dari satu kedai ke satu kedai. Nampak sikit, tapi banyak juga yang dibeli. Haryanti hadiahkan Syira baju dan kasut. Manakala Nizar dihadiahkan tshirt dan seluar jean. Gembiranya Syira dan Nizar.

Jam sudah jejak 11 malam tapi orang semakin ramai, bukan makin kurang. Haryanti dan Syira terus masuk satu kedai ke satu kedai tengok pakaian manakala Nizar menemankan dari belakang. Sedang Haryanti membelek-belek baju yang tergantung itu, tiba-tiba dia nampak seseorang yang sangat dia kenal dalam kedai yang sama, di celah-celah baju yang bergantung. Jantungnya berdebar dan timbul rasa cemas. Orang itu tak nampak dirinya sebab ramai orang di kedai itu.

Haryanti cuba memalingkan mukanya supaya tidak mahu dilihat atau dikenali. Syira di sebelah kehairanan bila gadis itu mengundur ke belakang dan hampir terlanggar Syira. Haryanti seolah macam nak keluar dari kedai tu secara tergesa-gesa. Kenapa Haryanti begitu cemas? Syira masih hairan dengan perubahan pada Haryanti. Kenapa? Apa dah berlaku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience