Chapter 1

Romance Completed 11698

HAZMAN adalah seorang pemuda yang berasal dari kampung di sebuah daerah di Johor. Selepas tamat SPM, dia tidak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya Hazman membuat keputusan untuk berhijrah ke Johor Bahru. Di bandar besar itu, Hazman berkerja di kilang. Dengan gaji empat angka, dia terasa agak lumayan juga pada awalnya. Hazman berjaya membeli sebuah motosikal. Biasalah orang muda sebegitu, kalau tak ada motosikal, kira tak sah.

Tinggal di rumah sewa berkongsi dengan lima-enam orang di bandar, sudah cukup menyeronokkan bagi orang muda sepertinya. Setiap bulan gajinya habis selepas bayar ansuran motosikal, sewa rumah dan hantar kepada ibu bapa di kampung. Tetapi kadang-kadang miss juga nak hantar pada mak di kampung.

Kira-kira dua tahun kerja di kilang, Hazman terasa hidupnya terlalu enjoy. Awek yang jambu-jambu ramai di kilang tempat kerjanya. Ramai yang senang diajak keluar makan dan jalan-jalan naik motorsikal, tetapi taklah sampai buat maksiat. Hazman pula boleh dikira handsome juga orangnya, muka jambu. Maka selepas dua tahun kerja kilang, Hazman ambil keputusan berhenti kerja. Sebelum berhenti, dia sudah fikir betul-betul selepas tanya kawan-kawan. Ramai yang menentang hasrat itu. Kata mereka kalau Hazman terus kerja kilang, nanti gajinya akan naik juga lama-kelamaan. Apa yang penting, dia kena sabar.

Hazman buat keputusan untuk berhenti sebab dia dah penat sangat. Kerja pun terlalu banyak tekanan. Duit simpanan langsung tak ada. Sampai hujung bulan saja, semuanya habis! Akhirnya, Hazman bulatkan tekad berhenti kerja dan bercadang nak jual burger di sebuah taman di JB. Ini satu tindakan berani bagi Hazman. Dia ada sedikit pengalaman. Semasa bersekolah di kampung dulu, pernah dia menolong kawan sekampung menjual burger pada waktu malam.

Bermodalkan tidak sampai RM 1000, Hazman beranikan diri membuka sebuah gerai burger berhampiran kilang yang lengkap dengan gerai, payung dan lain-lain. Kira lengkaplah sebagai gerai burger yang ala kadar. Bulan pertama berniaga, memang terasa sakitnya. Pada Hazman, itu perkara normal. Baru mula berniaga, pelanggan pun belum kenal. Tetapi bila masuk bulan kedua, ketiga dan seterusnya, keuntungan mula datang. Hazman berniaga setiap hari daripada pukul tiga petang sehingga maghrib. Cukuplah masa untuk dia bekerja dan berehat.

Pada mulanya, Hazman tak beritahu ibu bapanya di kampung yang dia dah berhenti kerja kilang. Namun lama-kelamaan, ibunya mula syak. Mana tidaknya, sejak berniaga Hazman selalu balik ke kampung menjenguk ibu bapanya. Kalau dulu, cukup payah untuknya mengambil cuti. Hari cuti pun terpaksa bekerja overtime.

Beberapa bulan kemudian, Hazman buat keputusan berpindah ke lokasi lain untuk berniaga. Kali ini di kawasan perumahan yang menjadi tumpuan ramai. Jaraknya dengan tempat lama adalah dalam 10 km. Sebelum berpindah ke situ, Hazman sempat membuat kajian. Di situ memang sudah ada empat gerai burger, namun pembeli tetap ramai. Hazman membeli dan merasa keempat-empat burger yang dijual di situ.

Pada Hazman, burger yang dibuatnya lebih sedap daripada keempat-empat burger tersebut. Bukannya dia nak mengata burger orang lain tak sedap, tetapi Hazman ada ramuan rahsia untuk membuatkan burgernya lebih sedap dan lain daripada yang lain. Dengan menyewa lori kecil, Hazman memindahkan gerai burgernya ke kawasan baru. Di situ terdapat banyak rumah yang dijadikan asrama untuk pekerja kilang, swasta dan juga kuaters kakitangan kerajaan.

Di tempat baru, Hazman menyewa tapak dengan bayaran RM 30 sebulan daripada tuan kedai. Tauke kedai tu kira macam nak tolong dia saja. Nilai itu sebenarnya bayaran untuk bil eletrik yang digunakannya.Di situ, Hazman berniaga hampir setiap hari daripada pukul enam petang sehingga ketengah malam.

Perniagaan Makin Maju

Lama-kelamaan, perniagaan Hazman semakin maju dan mempunyai ramai pelanggan tetap. Beberapa bulan berniaga di situ, pendapatannya telah jauh melebihi gajinya semasa bekerja di kilang dulu. Hazman sudah mampu menyewa sebuah rumah dengan sewa RM 500 sebulan. Rumah itu terletak berhampiran gerainya dan dia hanya tinggal seorang diri. Rumahnya itu dijadikan tempat menyimpan barang keperluan berniaganya. Hazman turut membeli sebuah peti sejuk beku yang boleh tahan mahal juga harganya untuk menyimpan daging burger dan sosej.

Setelah beberapa tahun berniaga, purata keuntungan kasar yang berjaya diperolehi Hazman sekitar RM 200 sehari. Lebih kurang dalam RM 6000 sebulan. Dia sudah mampu menggaji seorang pekerja lelaki lepasan sekolah dengan gaji RM 30 sehari. Tidak lama kemudian, keuntungannya terus meningkat sehingga RM 400 sehari, terutamanya pada waktu selepas gaji. Hazman membuat keputusan untuk membeli sebuah van terpakai untuk memudahkan pergerakannya dan mengangkut barang jualan ke gerai. Tidak berapa lama kemudian, Hazman sendiri yang menaikkan sewa daripada RM30 sebulan kepada RM100 kepada tauke kedai sebelah sebagai membalas jasa lelaki itu.

Beli Kereta

Pendapatannya yang semakin banyak menyebabkan Hazman sudah tidak segan silu lagi memberitahu ibu bapanya di kampung yang dia sudah tidak bekerja di kilang. Suatu hari, ibunya terkejut kerana Hazman balik kampung membawa kereta Proton Waja yang dibeli secara tunai, bukan hutang tau.

Ketika itu ibu Hazman minta dia balik kampung untuk kenduri arwah neneknya. Rupanya malam tersebut, ibunya ada hajat lain iaitu untuk memperkenalkan Hazman dengan jiran sekampung, anak perempuan kawan ibunya.

“Man belum bersedia untuk kahwin, Man rasa macam muda lagi,” kata Hazman selamba, sekaligus memusnahkan impian ibunya.

Ibunya tak boleh cakap apa, hampa jugalah hati ibunya nak berbesan dengan kawan satu kumpulan Yasin di kampung tu. Anak dara yang nak dijodohkan dengan Hazman itu pun tak kurang cantiknya. Jelita ala-ala selebriti juga. Pandai memasak dan menjahit, kira cukuplah syarat nak jadi menantu pilihan ibunya.

“Umur dah 27, masih kata muda?” bebel Mak Munah, ibu Hazman.

Kadang-kadang Mak Munah berasa hairan, kenapalah anak sulung dia begini. Namun, dia faham anak-anak zaman sekarang memang tak sama dengan zaman dia dulu. Kalau dulu, semuanya pun ibu dan ayah nak tentukan untuk anak-anak. Dia dengan ayah Hazman pun kahwin pilihan keluarga. Bercinta selepas kahwin. Bahagia jugak.

Hazman pula terasa rimas. Hatinya meronta-ronta nak balik ke JB. Kalau dia tahu yang tujuan ibunya suruh balik ke kampung adalah untuk menjodohkan dia, taubat mati hidup semula dia tak akan balik. Geram sungguh Hazman rasa.

Rupa-rupanya dalam diam Hazman menyimpan perasaan pada seorang gadis yang menjadi pelanggan tetap di gerainya. Gadis itu akan datang setiap hari sekitar waktu maghrib. Baru balik kerja agaknya. Bermula dari situ, hatinya terus tertawan dengan keayuan gadis itu. Selalunya bila dah dekat nak maghrib, Hazman akan sikat rambut dan tukar apron yang bersih menunggu si gadis datang membeli burger. Cintanya yang berputik semakin mekar.

Nak memikat ni, dia bukannya pandai. Sepanjang lima tahun bersekolah menengah, dia langsung tak pernah bercinta. Baru saja berkenan, dah kena kebas dengan ‘Mat Romeo’ lain. Hazman bukannya pandai nak mengayat. Merapu dia pandailah.

Hazman sedar yang usianya sekarang sudah 27 tahun. Kalau berkenan, bukan untuk dibawa bercinta sahaja lagi. Kalau boleh ingin bertahan sampai dapat berumahtangga. Masalahnya sekarang, macam mana dia nak mulakan? Hazman tak fikir dia ada keberanian nak luahkan perasaan. Setakat bertegur sapa tu bolehkah.

“Hai, apa khabar hari ni?”

“Khabar baik. Kasi burger macam biasa satu, bang,” sahut gadis itu dengan lembut.

Hancur segala tulang-temulang yang ada dalam badan Hazman apabila mendengar kelembutan suara si gadis. Sambil membuat burger yang dipesan, mata Hazman tidak putus-putus mencuri pandang ke arah gadis yang sedang menunggu di dalam Proton Satria merahnya. Bila perasan dirinya dipandang, gadis itu tersenyum, menyerlahkan keayuannya.

Hazman memang tak tahu macam mana nak mulakan langkah. Nama pun dia tak berani nak tanya, apatah lagi nak luahkan rasa. Lagi pun, masa gadis tu datang, biasanya pelanggan lain juga di situ. Bertambah-tambahlah malunya Hazman.

Perasaan dalam hati Hazman semakin mekar hari demi hari. Kalau sehari gadis tu tak datang, alamatnya malam tu Hazman memang tak tidur lena. Mulalah dia berfikir bukan-bukan dan rasa cemburu kalau-kalau gadis idamannya membeli burger di tempat lain. Hazman rasa dia tak boleh menunggu lagi. Dia kena cepat mulakan langkah. Masalahnya bagaimana nak mulakan? Susah tu...!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience