Chapter 3

Romance Completed 11698

HAZMAN masih menaruh harapan yang satu hari nanti, gadis idamannya itu akan menelefonnya. Mungkin waktu hujung bulan, bila orang dapat gaji dan gerai burgernya ramai dengan pelanggan, mungkin gadis itu akan menelefonnya untuk membuat tempahan. Dia tak sabar rasanya mahu mendapatkan nombor telefon “Sheila Majid” yang menawan itu. Malangnya anggapan Hazman terus meleset. Gadis itu datang ke gerainya membeli burger seperti biasa dan sanggup menunggu lama. Langsung dia tak telefon pun. Hazman pula taklah tanya kenapa tak telefon, malulah dia.

Hazman mula terfikir, mungkin gadis pujaannya itu sudah ada buah hati atau lebih parah lagi, dah bertunang. Rasanya tak mungkin gadis secantik itu masih solo. Apa pun dia tak kisah semua tu. Dia tetap akan teruskan usaha. Hatinya sudah terpaut.

PM 19

Suatu hari, pagi Ahad dalam pukul sebelas pagi, Hazman ke sebuah pasar raya di JB. Biasalah kalau hari Ahad, dia memang akan bangun lewat sebab malamnya sekitar pukul dua pagi baru dia tutup kedai. Orang cukup ramai pada hujung minggu. Sedang Hazman menolak troli berisi sayur timun dan salad serta telur, dia terpandang seseorang.

Tidak syak lagi! Gadis idamannya itu sedang membeli-belah di situ bersama seorang kawannya. Mungkin teman serumah “Sheila Majid” agaknya. Hazman rasa malu nak tegur sebab mereka berdua dan dia hanya seorang diri. Bila berselisih ketika sama-sama menolak troli, tiba-tiba....

“Hai, banyak beli barang? tegur “Sheila Majid” dengan ramah sambil tersenyum manis.

“Er... ye! Beli barang untuk niaga,” jawab Hazman tergagap-gagap, nampak sangat gemuruhnya. Itu saja perbualan mereka.

Hazman tak boleh nak bersembang lama kerana trolinya menghalang laluan orang di belakang. Terpaksalah dia meninggalkan “Sheila Majid” dan berjalan ke depan. Dalam beberapa tapak melangkah, Hazman berhenti semula dan menoleh ke belakang. Dilihatnya gadis itu sudah pun menuju keluar dan hendak pulang. Hazman terasa nak ikut, tapi dia belum habis membeli lagi. Macam mana ni? Menyesal pula dia tak berbual lama-lama tadi. Tetapi dalam hati, Hazman cukup gembira sebab gadis pujaannya itu yang menyapanya dulu tadi. Tidaklah macam dia yang terhegeh-hegeh sangat. Hazman memang tak sangka. Hari itu adalah hari yang mengembirakan dalam hidupnya.

Pernah suatu hari yang lain, semasa Hazman sedang memandu Wajanya, dia ternampak Satria merah milik “Sheila Majid” yang cukup dikenalinya itu. Apa lagi, dia terus memecut untuk mengekori kereta tu kerana Hazman percaya gadis tu nak pulang ke rumah. Dia nak tahu juga di mana rumah gadis idamannya tu.

Dilihatnya Satria merah itu membelok ke sebuah pangsapuri yang siap dengan pengawal keselamatan. Barulah Hazman tahu, “Sheila Majid” tinggal tak jauh dari kawasan gerai burgernya. Setahu Hazman, pengawal keselamatan tu tak berapa tegas dan biasanya membenarkan kereta luar untuk masuk. Namun hari tu dia tak bercadang untuk masuk ke dalam kawasan pangsapuri tu. Cukuplah Hazman tahu di situ tinggalnya si gadis.

Keesokannya, barulah Hazman masuk ke dalam kawasan pangsapuri itu. Dia sempat angkat tangan pada pengawal dan dibenarkan masuk begitu sahaja. Dia tak berniat buruk pun. Dia cuma nak tengok kereta dan nak tahu “Sheila Majid” duduk di blok mana.

Hazman ternampak kereta tu di parkir di bawah pokok berhampiran dengan Blok A. Apabila terlihat kereta tu saja, kerinduannya mula terubat. Kira dahsyat tu, tengok kereta pun boleh terubat rindu. Hazman jeling-jeling, agaknya di rumah yang mana satu gadis itu tinggal? Blok A saja ada empat tingkat, lebih kurang 20 buah rumah. Memang susah nak tahu tapi pada dia cukuplah setakat tu dulu. Mungkin pada hari lain dia akan tahu yang mana satu rumah “Sheila Majid”. Hazman rasa kalau tahu rumah, makin terubatlah kerinduannya. Lebih-lebih lagi kalau dapat tengok baju “Shiela Majid” yang tersidai di ampaian.

Suatu petang, Hazman buka gerai lebih kurang dalam pukul enam petang bersama pembantunya. Masuk hari tu, dah lebih sebulan Hazman bagi nombor telefonnya pada “Sheila Majid”. Hampa hatinya kerana masih belum menerima satu pun panggilan. Tetapi dia terus sabar menunggu. Dalam hatinya sudah bertekad, bukan setakat sebulan, setahun pun dia sanggup tunggu. Bagaimanapun, tak berapa lama kemudian, handphone Hazman berbunyi. Dia jawab macam biasa.

“Hello, ini Man ke? Man yang jual burger tu, kan?” kedengaran suara seorang gadis tidak dikenali di hujung talian.

“Ye, ini Man. Boleh tahu siapa cakap ni?” soal Hazman dengan sopan. Maklumlah, perempuan yang telefon tu, kenalah bersopan-santun.

“Ini Haryanti. Yanti yang selalu beli burger tu.”

“Yanti? Yanti yang mana satu ni ye?” Hazman tak pasti. Tapi dalam hati dia terdetik. Mungkinkah hari ini hari bertuahnya? Mungkinkah Yanti ini adalah “Sheila Majid” idamannya?

“Yanti yang bawak Satria merah tu.”

Hazman nyaris koma. Dadanya meletup-letup dengan bunga api.


“Oh! Yanti nak burger apa hari ni? Ayam ke daging?” Hazman masih mengawal suaranya. Dia terasa macam nak melompat-lompat kerana terlalu gembira.

“Tak, bukan nak beli burger. Nak mintak tolong sikit sekarang, boleh tak? ”kata Yanti.

“Minta tolong? Boleh. Tolong apa? ”kata Hazman dengan penuh yakin, walaupun dia sendiri tak pasti sama ada dia boleh menolong atau tak.

“Kereta Yanti sekarang mati kat traffic light dekat dengan bank Bumiputra ni. Boleh tak tolong datang tengokkan. Yanti seorang kat sini, rasa takut pulak. Tak tahu nak buat apa,” kata Yanti penuh berharap. Suaranya kedengaran risau.

“Boleh! Kejap lagi Man datang, tunggu kat situ,” kata Hazman dengan bersemangat. Terus dia tinggalkan gerai pada pembantunya.

Semasa memandu, Hazman sempat berangan. Gadis idamannya itu bernama Haryanti. Dia pula, Hazman. Haryanti dan Hazman... eh, macam pinang dibelah dua bila digandingkan!

Lebih kurang 10 minit memandu Proton Waja kesayangannya itu, Hazman sampai ke tempat yang dimaksudkan. Dia segera ternampak Satria merah yang diparkir di tepi jalan, namun kelibat Haryanti tidak kelihatan. Rupanya gadis itu duduk di tempat menunggu bas yang terletak tak jauh dari situ.

“Assalamualaikum. Kenapa kereta ye?” Hazman menyapa sambil matanya menjeling pada wajah ayu Haryanti.

Terubat kerinduannya yang sudah dua hari tak berjumpa. Haryanti, nama yang semanis orangnya. Hari itu gadis idamannya itu bertudung corak-corak warna coklat, dipadankan dengan baju-t putih dan seluar slack kelabu. Nampak cantik, bisik hati Hazman.

“Tak tahulah. Lepas basuh kereta tadi, sampai sini terus mati. Tadi orang lain yang tolong tolakkan kereta ke tepi,” jelas Haryanti.

Hazman buka hud depan dan menengok enjin. Berkali-kali dia cuba hidupkan kereta, tapi gagal. Dia sebenarnya tak berapa tahu sangat bab nak baiki kereta ni. Kalau setakat tengok bateri dan air tu bolehlah. Bateri elok lagi. Sudahnya Hazman telefon kawannya, Ajis. Ajis mempunyai bengkel yang tak jauh dengan gerai burgernya.

“Hello, Ajis. Sibuk tak? Boleh datang kat traffic light depan bank Bumiputra ni? Kereta rosaklah,” kata Hazman.

“Boleh, tapi rosak apa?” soal Ajis di hujung talian.

“Tak boleh hidup. Lepas basuh kereta tadi, tiba-tiba mati,” lapor Hazman.

“Oh, mungkin ada cuci enjin tu. Air masuk enjin agaknya. Nanti saya datang tengok.”

Mereka menunggu kedatangan Ajis lebih kurang dalam 10 minit. Inilah peluang Hazman untuk terus bersembang dan berada di sisi Haryanti. Kadang-kadang Hazman rasa dia tengah bermimpi. Banyak kali juga dia terpaksa mencubit dirinya sendiri untuk meyakinkan yang itu semua bukan mimpi dan dia tidak tidur. Dadanya terus berdetup-detap sedangkan dilihatnya Haryanti hanya bersikap seperti biasa.

Darah gemuruh pun, masa nilah nak datangnya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience