Chapter 61

Romance Completed 11698

SYIRA salam dan cium tangan Hazman. Tak terkeluar pula dari mulutnya untuk tanya pasal abangnya yang pakai baju Melayu tu.

“Nizar, salam dengan Abang Man,” kata Syira bila lihat Nizar baring saja dan tak bersalam pun dengan Hazman. Nizar bangun, salam dan cium tangan abangnya.

“Dah makan kenyang ke tadi ni?” Tanya Hazman.

“Dah, Aboi yang hantar nasi ayam tadi.”

Hazman duduk di meja makan mengadap Syira manakala Nizar baring mengadap tv berhampiran meja makan itu.

“Bila keputusan masuk universiti?” Tanya Hazman yang sememangnya prihatin dengan pelajaran dan masa depan adiknya.

Sekali lagi terencat untuk Syira tanya kenapa Hazman pakai baju Melayu.

“Mungkin dalam dua bulan lagi dapat jawapan,” jawab Syira ringkas.

“Syira, Nizar... abang harapkan kejayaan kau berdua. Teruskan belajar sebab ilmu, sijil dan ijazah itu sangat berguna dalam hidup. Jangan hidup macam abang yang tak ada apa-apa kelulusan ini,” pesan Hazman.

Cerita pasal suruh adik-adik belajar bukan hari ini saja dengar, tapi dah berpuluh kali. Syira menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang abangnya katakan. Nizar pula mula memasang telinga walaupun masih baring sambil memperlahankan suara tv.

“Abang rasa bersalah pada mak dan abah sebab menghampakan harapan nak tengok abang masuk universiti. Tapi abang masa tu terlalu bersimpati dengan mak, kita orang susah. Sampai yuran sekolah dan yuran perperiksaan SPM, abang tak bayar sebab tak ada duit. Abang hampir tak dapat ambil periksa,” cerita Hazman, Syira terdiam dan terus menangis.

“Abah dan mak marah abang, cikgu pun marah abang bila tahu abang nak berhenti sekolah. Mak gadaikan barang kemas peninggalan arwah nenek pada kedai pajak gadai untuk bayar yuran sekolah dan yuran SPM. Paling menyedihkan, seminggu sebelum SPM, barang kemas tu dirampas terus oleh kedai pajak gadai sebab mak tak berjaya tebus. Mak terpaksa bergaduh dengan mak cik-mak cik bila tahu barang kemas itu adalah pusaka peninggalan nenek. Abang sangat sedih sehingga menjejaskan periksa SPM abang waktu itu. Abang jawab periksa tak sepenuh hati, sebab... tak tahulah nak kata macam mana. Mungkin abang fikir, kalau abang dapat tinggi nanti, abang tak sanggup melihat mak ayah terus berhutang lagi masa tu, supaya abang terus belajar...,” cerita Hazman lagi.

Syira terus mengeluarkan air mata dengan derasnya. Cerita ini sungguh sedih melibatkan keluarganya.

“Abang tak mahu tengok mak abah bersusah payah kalau abang sambung belajar lagi, cukuplah. Abang ke JB kerja kilang lepas tu jual burger nak bantu adik-adik. Alhamdulillah, Syira dan Nizar berjaya dengan cemerlang. Pesan abang, jangan lupa dengan mak abah kalau dah senang. Kekadang kalau kita dah senang kita lupa asal usul kita, jangan....”

Syira terus menagis, kini semakin kuat dan teresak-esak. Nizar sedih juga tapi dia berjaya menahan air matanya. Hazman meneruskan kata-katanya.

“Sekarang abang terfikir, kalau ada sijil, diploma atau ijazah, abang tidak akan jadi penjual burger macam sekarang. Dulu abang bercita-cita nak jadi cikgu sekolah, tapi tak kesampaian. Kalau abang jadi cikgu sekarang, orang tak akan pandang hina pada abang. Sudah nasibku jadi Mat Burger....”

Syira mengesat-ngesat air mata dan mula mengeluarkan kata-kata dalam keadaan masih teresak-esak itu, “Tak, abang... kita jangan membelakangkan takdir dan ketentuan Allah!”

“Abang tak membelakangkan takdir. Abang tahu itu qada dan qadar Allah. Cuma abang nak pesan pada adik abang terutama Syira dan Nizar, supaya jadilah anak yang baik. Balas jasa ibu bapa dengan kejayaan dalam pelajaran. Abang dah gagal tapi abang tak mahu adik-adik ikut jejak kegagalan seperti yang abang lalui,” kata Hazman. Syira menggangguk-nganguk dan air matanya semakin deras.

“Ada suatu yang abang nak pesankan pada semua, harap Syira, Nizar, mak dan abah setuju dengan keputusan abang ini...,” kata Hazman dengan nada sayu.

Syira terkejut dan kemudian panggil Nizar untuk sama duduk di kerusi meja makan itu. Sudah tentu ada suatu yang penting Hazman nak beritahu. Tapi Hazman tunduk saja, perkataannya terhenti di situ seolah-olah mahu berfikir, adakah sesuai atau tidak apa yang nak dicakapkan.

“Cakaplah, Abang Man,” soal Syira seperti mendesak.

“Tidak Syira, maafkan abang. Belum masanya abang ceritakan semuanya, nantilah.”

Syira seperti tak puas hati dan terus mendesak sambil menangis, “Kenapa abang? Kenapa dengan Syira abang nak berahsia, kenapa? Apa yang penting itu, cakaplah!”

“Tak ada apa-apa, Syira. Jangan risau, abang tak apa-apa!”

Perbualan mereka terhenti apabila azan berkumandang dan selepas maghrib Hazman terus keluar. Katanya nak ke gerai burger tapi dia pakai baju kemeja lengan pendek dan baju masuk dalam serta pakai minyak wangi.

“Nizar, kau rasa abang pergi mana? Ke gerai burger ke?” tanya Syira pada Nizar bila Hazman dah keluar.

“Tak adalah, kalau ke gerai mesti pakai tshirt saja,” jawab Nizar jujur.

“Dah tu, kau agak Abang Man pergi mana?”

“Biasanya kalau pakaian macam tu, jumpa Cikgu Syikin!”

Terkejut besar Syira dengan jawapan Nizar itu tapi pada Syira, Nizar bukan suka cakap tipu-tipu.

“Cikgu Syikin?” Sergah Syira. “Kenapa kau sebut nama Cikgu Syikin? Kau tahu tak Nizar, akak dengar nama tu pun dah naik menyampah tau!”

“Nizar teka saja. Dulu masa sebulan lebih Nizar kat sini, kalau hari Jumaat, Sabtu, Ahad, biasa abang keluar dengan Cikgu Syikin. Pakaian pun kemas. Gerai burger tu, Aboi dan Nizar yang tunggu,” kata Nizar selamba.

Syira malas nak layan cakap Nizar lagi, kalau dilayan lama-lama, makin sakit hati dibuatnya. Ke mana Hazman pergi? Satu lagi, yang tadi Hazman pakai baju Melayu kenapa? Semuanya belum terjawab lagi. Paling menggemparkan, apa yang Hazman nak perkatakan yang dikatakan sangat penting itu. Syira tahu, dah pasti ada sesuatu cuma tak mahu diceritakan saja. Tiba-tiba Haryanti telefon Syira.

“Syira, nak jumpa kat mana? Kakak program sampai pukul 9, lepas tu kakak ke sana.”

“Kita jumpa di Angsana dalam 9.30. Nanti Syira dan Nizar akan ke sana.”

Syira akan jumpa Haryanti di Angsana sebentar lagi. Tapi fikiran Syira masih kusut, banyak persoalan yang masih belum terjawab.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience