Chapter 75

Romance Completed 11698

CEPAT-CEPAT Syira berhenti makan, basuh tangan dan berkurung dalam bilik sebaik sahaja mengetahui Hazman dan Aboi yang balik. Menggeleng kepala Mak Munah melihat perangai Syira itu yang tak berubah dari tadi.

“Yang lain makan ye, ada lauk ni, tambahlah lagi... lepas ni pergi baca buku, Abang Nizar boleh ajar,” kata Mak Munah pada anak-anaknya yang lain.

Mak Munah membuka pintu dan memang kereta Hazman yang sampai. Manakala kereta Pak Din tidak ada lagi nampaknya. Memang dah jadi kebiasaan ayahnya berbual-bual dengan rakan-rakan surau selepas solat. Hazman dan Aboi tak keluar dari kereta dan nampak mereka berdua sedang rancak berbual berdua.

“Aboi, aku rasa cukup insaf hari ini dengan kuliah Pak Kiyai. Hm… dan aku dah nekad untuk pergi jauh dari orang lain. Aku nak cari pengalaman yang baru dalam hidup aku. Termasuklah tinggalkan kau, Aboi....”

Kata-kata Hazman terhenti di situ.

“Apa abang cakap ni?” Aboi bertanya kehairanan.

“Keputusan aku muktamad. Aku akan tinggalkan negeri Johor ini dan pergi jauh dari sini. Aku dah janji dengan diri aku sendiri selepas solat isyak tadi, dan aku akan tunaikan janji aku itu!”

“Tinggalkan Johor? Dah tu, abang nak ke mana?”

“Yang pasti bukan Kuala Lumpur! Aku cukup terhiris mendengar perkataan Kuala Lumpur tu. Aku nak pergi ke sebuah negeri lain. Malam ini juga aku akan bertolak dengan kereta aku ni. Aboi... maafkan aku. Aku terpaksa hantar kau kat Air Hitam. Nanti kau boleh tunggu mana-mana bas ekspres yang berhenti minum dan sambung perjalanan ke Johor Bahru,” putus Hazman.

“Serius ke ni, bang? Aboi tak kisah kena naik bas balik JB tapi yang merisaukan Aboi, mana abang nak pergi?” Aboi mula mendesak.

“Aku tak nak sesiapa tahu ke mana aku nak pergi. Nombor telefon pun aku akan tukar lain. Sesiapa pun tak boleh kacau aku termasuk mak ayah, adik beradik, Yanti, Syikin dan sesiapa saja…!”

“Ustaz Khalil? Kalau dia cari abang kat JB, Aboi nak jawab apa?”

Tak terjawab Hazman dengan soalan cepu emas itu. Dia cuma mampu merenung Aboi tanpa sepatah pun kata-kata yang keluar.

Tidak lama kemudian Pak Din sampai dengan Toyota LE dia. Aboi cuma mengangkat tangan sebagai isyarat mereka sedang ada perkara yang diperbualkan. Sehinggalah Pak Din masuk ke rumah disambut oleh Mak Munah di muka pintu.

“Man… masuklah, nak. Berbual kat dalam ni. Nanti mak buat air kopi,” panggil Mak Munah.

Walaupun enjin kereta hidup dan tingkap kereta semuanya rapat, Hazman dapat mendengar kata-kata ibunya itu. Namun, Hazman berasa berat hati untuk melangkah ke dalam rumah.

“Aku tak patut berkasar dengan Syira, kan…?”

Aboi hanya terdiam tanpa sepatah kata.

“Aboi, kita gerak sekarang! Malam masih belum lewat!” Hazman membuat keputusan muktamad.

“Sekarang! Malam-malam ni? Kenapa tak tunggu esok?” Aboi benar-benar terkejut.

“Aku dah janji pada diri aku malam ini. Aku tak boleh beritahu keluarga aku yang aku nak gerak malam ni. Mereka mesti menghalang!”

Cerita Hazman: Kisah Jutawan

Hazman cerita panjang dengan Aboi berkenaan satu buku yang dia baca, tulisan Dr. Rusly, penulis buku popular Jutawan Senyap. Hazman suka baca buku tulisan bekas pensyarah yang ada PhD itu yang juga peniaga pasar malam merangkap bekas pegawai bank. Hazman banyak kali baca buku itu sebagai motivasi dan suntikan kepada semangat dalam melalui dunia perniagaan jalanan sepertinya.

Apa yang menarik dengan pengalaman daripada penulis buku itu adalah, beliau pernah lingkup dalam perniagaan sehingga rugi jutaan ringgit, harta bendanya dirampas serta dilelong oleh bank. Kalau dulu beliau pernah bekerja di bank dengan rasa tiada belas kasihannya kepada orang yang tak boleh bayar hutang dengan merampas harta itu begitu saja, akhirnya bila Dr. Rusly jadi peniaga, pegawai bank pula rampas dan lelong hartanya. Paling menyedihkan adalah sikap pegawai bank yang dengan angkuhnya memegang surat peguam merampas barangan rumahnya sehingga licin di depan anak-anak yang baru balik sekolah. Masa itu, sebagai seorang lelaki terus retak berkecai dengan kesimpulan, kalau hendak rampas harta pun, janganlah dilakukan depan anak-anak yang belum mengerti erti kehidupan.

Bermula peristiwa itu, Dr. Rusly mengambil keputusan untuk meninggalkan isteri dan anak-anak dan orang lain, termasuk bekas pekerja-pekerja yang sering mengejarnya hendakkan duit gaji. Pemergian Dr. Rusly adalah ke Indonesia untuk bertemu Pak Kiyai di pasentren di sana. Isteri Dr. Rusly mengizinkan suaminya pergi untuk menimba pengalaman dalam usaha menebus kekecewaan dalam perniagaan sebelumnya. Alhamdulillah, cita-cita itu tercapai dan terbitlah sinar baru dalam hidupnya selepas muflis. Sekarang, Dr. Rusly adalah seorang yang berjaya dalam perniagaan.

Membawa Diri

Hazman minta Aboi ambil ubat-ubatnya di rumah. Aboi turutkan sahaja dan masuk ke dalam rumah untuk mencari ubat Hazman dalam beg. Mereka berdua terus meninggalkan rumah senyap-senyap dan mak ayah Hazman menyangka mereka keluar dekat saja. Mak Munah sediakan tilam dan bantal untuk Hazman dan Aboi di ruang tamu.

Tanpa memandang ke belakang, Hazman tinggalkan begitu saja keluarga tercinta dan rumah kampungnya. Dia menahan sebak di dada dan kuatkan semangatnya. Proton Wajanya terus keluar dari kampung menuju ke Air Hitam.

“Ingat, Aboi... ini rahsia kita berdua. Hidup dan mati, aku harap kau jagalah rahsia ini. Kau teruskan niaga burger dan jangan beritahu mana aku pergi kepada pelanggan. Terpulang pada kau nak uruskan niaga dan cuti. Buat macam biasa. Nanti aku bagi nombor telefon baru dan jangan bagi sesiapa nombor telefon tu,” pesan Hazman lagi.

Aboi mengangguk faham.

“Kalau keluarga aku perlukan bantuan, aku harap kau boleh datang tolong termasuk duit hasil niaga burger….”

Tak lama kemudian Ustaz Khalil telefon Hazman. Teragak-agak juga dia hendak jawab. Deringan kali kedua dan ketiga dari telefon Ustaz Khalil juga dia tak jawab. Aboi memandang saja ke arah Hazman yang sedang memandu itu. Tak lama kemudian Hazman berhenti berhampiran bahu jalan. Dia nak telefon semula Ustaz Khalil, terasa tertanya-tanya sungguh.

“Assalamualaikum, ustaz...!”

“Waalaikumsalam, Man ada di mana ni?” suara Ustaz Khalil kedengaran.

“Saya balik kampung ni. Ada apa ye, ustaz?”

“Saya sekarang di Kampung Parit Siraji, Muar, di surau, sedang jumpa ayah cikgu Syikin,” jelas Ustaz Khalil.

“Hah, Ustaz di sana! Hm, ada apa cerita Ustaz?” Hazman terkejut.

“Panjang ceritanya. Elok kita jumpa saja, boleh kita cerita panjang.”

Hazman terkedu. Dia terasa ada sesuatu yang penting kerana Ustaz Khalil sanggup ke sana malam-malam. Fikiran Hazman terus berkecamuk. Dia memandang Aboi dengan pelbagai pertanyaan. Adakah dia perlu hantar Aboi ke Air Hitam untuk naik bas ekspres sapu ke JB? Atau perlukah dia jadi pelajar semula, mengaji sekolah pondok? Aduh, pening!

Di Stesen Bas Air Hitam

Hazman akhirnya cerita juga kepada Aboi yang dia hendak ke Pahang. Mungkin dia terlepas cakap kerana seronok sangat bercerita kisah jutawan senyap. Daerahnya Hazman sebut iaitu sama ada Temerloh atau Maran. Dia sebenarnya hendak masuk sekolah pondok di sana. Hazman dulu ada kawan orang belah Pahang.

Kawannya itu kerja di sebuah kilang di JB tapi hafal al-Quran dan jadi imam di sebuah surau di JB. Kawan dia cerita yang dia dulu pernah masuk pusat serenti kerana kes dadah. Kesannya sehingga bercerai dengan isteri dan anak-anak terabai. Seperti yang diceritakan, selepas beberapa bulan di sekolah pondok di Pahang itu, dia berubah jadi hafiz al-Quran. Apabila berhijrah ke JB, dia jadi imam yang disayangi masyarakat. Orang di JB sikit pun tak tahu dia bekas penagih.

Hazman akan cari sekolah pondok seperti itu nanti. Cuma dia tak tahu ke mana kawannya sekarang, yang pasti dia telah nikah semula dengan bekas isterinya selepas enam tahun bercerai dan sekarang berada di Pahang. Untuk ke Pahang dan cari sekolah itu, Hazman akan usaha sendiri nanti.

“Bertenang, bang. Jangan tergesa-gesa buat keputusan. Aboi hormati hasrat hati abang itu, tapi, kita boleh bincang lagi. Kesihatan abang pun tak menentu, jadi macam mana abang nak memandu malam-malam begini? Fikirkan keselamatan,” nasihat Aboi.

“Tak apa... malam ni aku akan tidur tak jauh dari sini. Mungkin masjid atau R&R. Esok pagi baru teruskan perjalanan yang sebenar,” kata Hazman.

Hazman meninggalkan Aboi seorang diri di stesen bas Air Hitam dan terus memulakan perjalanannya ke destinasi yang hendak ditujunya.

Share this novel

Norita Yahya
2021-02-27 04:55:14 

dh x update ke...


NovelPlus Premium

The best ads free experience