Chapter 63

Romance Completed 11698

HARYANTI terkejut yang amat sangat. Lelaki itu tidak lain adalah Hazman, berbaju kemeja biru lengan pendek dan seluar slack hitam dan berkasut. Tersentak jantung Haryanti.

Satu lagi... Hazman bukan seorang, tetapi ada seorang wanita berkaca mata, berbaju dan tudung warna coklat di sebelahnya. Haryanti dan Syira nampak, Hazman begitu rapat dengan wanita itu.

Haryanti terundur ke belakang, supaya Hazman tidak sedar kehadirannya di kedai itu, di celah-celah baju wanita yang bergantungan. Malangnya dia terpijak kaki Syira yang ada di belakangnya dan Syira sedikit sakit. Haryanti pula hampir terjatuh tetapi dipegang Syira. Dalam keadaan begitu, pelayan wanita di kedai itu cuba membantu kerana menyangka Haryanti terjatuh.

Hazman yang berada di depan itu terus tersedar. Mula sekali Hazman perasan adalah adik perempuannya, Syira, tetapi kemudian Hazman merenung tajam ke arah seorang wanita cantik, wajahnya seperti Sheila Majid, itulah Haryanti. Hazman tunduk dan seakan cuba mahu melarikan diri pula. Dalam keadaan itu, wanita yang bersebelah Hazman tadi memegang tangan Hazman secara tidak sengaja untuk tidak mahu dia lari dari situ. Syira tergamam dan macam tak tahu hendak buat apa-apa pada mulanya.

Syira bertukar menjadi marah, marah kerana wanita yang bersama Hazman itu dia kenal sangat. Itulah Cikgu Syikin, cikgunya yang dulu dia juga perkenalkan pada abangnya. Paling marah kerana Cikgu Syikin keluar bersama Hazman berdua dengan begitu mesra dan berpegangan tangan pula. Lebih Syira marah lagi, perbuatan seperti itu ditunjukkan di depan mata Haryanti. Bagaimana Syira boleh menahan sabar kepada abangnya itu dan Cikgu Syikin?

Syira menerpa ke arah Hazman dalam keadaan marah, seperti mahu menyerang Hazman dan berlaku tolak menolak antara Syira, Hazman dan Cikgu Syikin.

“Kejam! Kejam!” Teriak Syira.

Nizar tiba-tiba muncul. Haryanti dan Cikgu Syikin tak kata apa-apa walaupun berpandangan sesama sendiri. Pelayan kedai juga cuba menenangkan keadaan kerana merasakan ada pergaduhan di kedainya. Orang ramai yang lalu lalang juga singgah dan melihat drama itu, yang hendak tahu apa hujung pangkal pertelingkahan itu. Ada juga yang berbisik-bisik, bergaduh kerana buah hatikah? Tapi tak tahu mana satu dari tiga wanita itu buah hati Hazman. Hazman rasa dirinya teramat malu tetapi Syira terus menyerang Hazman dengan kata-kata pedasnya sambil menangis teresak-esak.

Keadaan Syira semakin tidak dapat dikawal. Dia pergi ke arah Hazman dan bertindak membaling beg plastik berisi kasut yang baru dibeli dan terkena bahu abangnya. Nizar yang tidak berkata apa-apa dari tadi, membantu mengutip kasut yang jatuh itu.

Sekali lagi Syira menerkam ke arah Hazman dan menumbuk-numbuk dada dan sesekali ke kepala abangnya itu. Hazman sedikit pun tak melawan, cuma menggosok dadanya yang sakit itu. Syikin cuba menenangkan Syira dengan cuba memegang Syira tetapi Syira meronta dan Syikin terkena beberapa tumbukan Syira. Tak lama kemudian, muncul beberapa pengawal keselamatan lelaki dan wanita. Hazman telah ditarik dan dipegang oleh pengawal lelaki manakala dua pengawal perempuan telah berjaya menghalang Syira.

Mereka telah berjaya dipisahkan, Syikin bersama Hazman. Manakala Syira, Haryanti dan Nizar dibawa ke tingkat bawah.

“Maaf, encik… ini perselisihan keluarga,” kata Syikin kepada pengawal apabila Hazman dikatakan akan dihantar kepada polis.

“Kami tak salah, ini selisih faham antara abang dan adik perempuan,” kata Syikin menerangkan lagi.

Hazman terus menangis dan berdiam diri. Setelah pengawal itu berpuas hati tidak ada unsur jenayah, barulah Hazman tidak dihantar kepada polis.

“Sampai hati Abang Man buat perkara ini, sampai hati...!” luah Syira pada pengawal wanita itu di bilik keselamatan. Fahamlah pengawal itu, ini kes adik beradik dan tidak perlu dihantar kepada polis.

Haryanti hendak hantar Syira dan Nizar balik rumah. Di dalam kereta, setelah dihidupkan enjin, sebelum kereta bergerak, Haryanti berkata sesuatu. Dia di tempat pemandu, Syira di sebelah, manakala Nizar di belakang.

“Sabar, Syira. Jadilah adik yang baik. Jangan jadi adik yang derhaka dan tidak mengenang jasa. Jangan keluarkan kata-kata sebegitu pada Abang Man, dia seorang abang yang baik…!”

Syira terus menangis dan tak kata apa-apa.

“Terimalah takdir Allah yang kakak dan Abang Man tidak dapat hidup bersama. Maafkan kakak, Syira. Tapi, kakak akan anggap Syira dan Nizar macam adik kandung kakak. Kakak tak ada adik, kakak anak bongsu. Kakak hendak sangat ada adik...,” katanya lagi.

Syira tidak dapat menahan sebak. Syira meletakkan mukanya di bahu Haryanti dan tangisannya makin kuat.

“Kak... maafkan Syira. Syira tak dapat membantu Abang Man dan Kak Yanti untuk hidup sebagai suami isteri. Syira menyesal yang amat sangat, Syira sudah berusaha sedaya upaya...,” tangis Syira.

“Syira tak ada salah apa-apa. Abang Man juga tak salah. Ini semua ketentuan Allah. Kakak tidak sedih hari ini, Syira. Kakak tak tahu, kenapa tiba-tiba kakak dapat semangat baru hari ini. Syukur alhamdulillah, kakak tenang menghadapi semua ini dengan izin Allah,” pujuk Haryanti.

“Kak… satu lagi, maafkan Syira sebab Syira tidak memberikan hadiah yang kakak kasi itu kepada Abang Man. Maafkan Syira. Bukan tak mahu kasi, tapi Syira terfikir, bilakah masa yang sesuai.”

“Tu tak apa, itu hadiah ikhlas dari kakak pada Man. Berilah pada Man, mungkin pada hari bahagianya nanti…,” kata Haryanti perlahan.

Tersentuh sangat Syira bila disebut ‘hari bahagia’. Adakah hari bahagia itu dengan Cikgu Syikin? Tidak, tidak! Bisik hati kecil Syira. Haryanti hantar Syira dan Nizar sampai rumah. Kereta Hazman nampaknya tak ada.

“Sabar Man, sabar…,” pujuk Syikin yang memandu kereta dari Angsana ke Larkin.

Tadi Hazman ambil Syikin di kelas tusyen di Larkin. Syikin sebenarnya setiap hujung minggu, selain ada kelas di UTM, dia juga mengajar di kelas tambahan sambilan di Larkin. Dapat juga menambah pendapatannya.

“Syikin, maafkan Man apa yang berlaku sebentar tadi, Man malu…” kata Hazman semasa sampai saja di Larkin.

“Syikin faham dan Syikin minta maaf kalau-kalau kehadiran Syikin dalam hidup Man menyusahkan Man dan keluarga Man. Kalau Man tidak perlukan Syikin dalam hidup Man, Syikin reda demi kebahagian Man dan keluarga. Maafkan Syikin, Man…,” kata Syikin dengan sayu.

Hazman tidak bersuara apa-apa. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Syikin tak faham apa maksud mengeleng itu? Tertanya-tanya juga.

“Syikin... apa kata kalau malam ini kita berdua jumpa Ustaz Khalil. Man rasa hari ini adalah hari yang penuh ujian dalam hidup Man.”

Syikin keberatan kerana tak pernah jumpa Khalil, cuma dengar cerita. Lagi pun, sudah jauh malam, rasa segan pula dia seorang cikgu wanita keluar dengan lelaki larut malam sebegini. Setelah Syikin pulang, Hazman meneruskan hasrat bertemu Khalil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience