Chapter 55

Romance Completed 11698

HARYANTI masuk ke bilik semula. Nampaknya hasrat dia nak keluar malam tu kira tak jadilah. Rakannya sudah tidur dan berselimut, tentu dah penat sangat. Dia duduk di atas kerusi dan kalau nak buka tv, rasa boleh ganggu tidur kawannya pulak. Haryanti tengok nombor-nombor telefon kawan lamanya di JB terutama yang satu pejabatnya dulu. Nombor itu dia masih simpan dan tiba-tiba terasa nak SMS mereka, nak beritahu yang dia ada di JB sekarang. Tapi sekali lagi fikir, rasa macam tak perlu pulak, lagipun Haryanti datang ada kursus yang atur caranya padat di hotel tu. Dia terasa boring sangat malam tu, nak tidur, malam masih awal.

Badrul mulanya tak tahu yang Haryanti ke JB, sedikit pun gadis itu tak beritahu. Dari semalam, panggilan dan SMS Badrul pada Haryanti tidak berbalas. Akhirnya Badrul tahu juga buah hatinya itu ke mana. Bila panggilan kepada Haryanti tak berjawab, Badrul telefon Azizah. Azizah pun beritahu yang Haryanti ada kursus di JB. Timbul rasa cemburu pada Badrul bila tahu Yanti ke JB. Tambahan pula, Badrul fikir, apa perlunya nak berahsia kalau nak ke JB, beritahu pun tak apa. Perasaan seorang yang menaruh perasaan terhadap orang lain sememangnya begitu. Bukan nak mengongkong, tapi kalau boleh nak tahu buah hati dia ke mana.

Pada Haryanti, dia tak mahu diganggu sepanjang dia di JB. Selain berkursus, dia anggap sebagai satu percutian percuma dan untuk mencari ketenangan di JB tu. Dia sedang melayan perasaan dan mengingati kenangan lamanya di JB. Haryanti rasa tak mahu ada gangguan daripada Badrul.

Badrul terus rasa syak dan rasa cemburu. Tak payahlah nak korek rahsia Haryanti, telefon dan SMS dah tak berjawab. Selama ini pun Badrul dan Haryanti kira rapat juga, tapi bila disentuh bab percintaan, gadis itu nampaknya mahu mengelak. Badrul tak boleh tidur malam tu dan memaksa dirinya menelefon Azizah sekali lagi. Memang tak sesuai menelefon seorang yang bergelar isteri dan ibu pada malam-malam tu, tapi Badrul telefon juga.

“Kak, Yanti ada cakap dengan kakak apa-apa ke sebelum ke Johor?” tanya Badrul. Azizah semacam pelik dengan pertanyaan itu.

“Tak ada apa, cakap biasa-biasa saja. Kenapa Badrul?” kata Azizah.

“Nak tanya sikit boleh tak, kak?”

Hairan juga Azizah. Azizah kemudiannya masuk ke bilik dan meninggalkan suaminya di ruang tamu supaya suaminya tidak dengar perbualan itu. Azizah sudah rasa ada sesuatu yang Badrul nak tanya.

“Kak, masa Yanti di Johor dulu, dia ada teman lelaki istimewa ke?”

Pertanyaan itu sememangnya menjadikan Azizah serba salah. Terlintas di fikiran Azizah, mungkin juga Haryanti yang cerita sendiri pada Badrul, mungkin juga.

“Kenapa tanya soalan ni, Badrul?”

“Tak ada apa kak, tanya saja. Rasanya macam dia dah ada teman lelaki. Betul ke?” tanya Badrul sekali lagi.

Azizah terdiam seketika, serba salah dibuatnya. Pada Azizah, nak berterus terang salah, tak beritahu pun macam salah juga. Kemudian Azizah jawab, “Dulu masa kat JB memang ada, sekarang dah tak ada rasanya.”

Mendengar kata Azizah itu, perasaan Badrul terus berubah. Keceriaannya sudah bertukar, suaranya pun sudah mula sebak. Muka Badrul jadi pucat.

“Tak apa, kak. Badrul saja nak tahu...,” kata Badrul dengan suara yang agak menggeletar. Kemudian perbualan mereka berakhir di situ. Badrul tidak dapat meneruskan perbualan itu.

Di ruang tamu, suami Azizah bertanya, “Siapa yang telefon? Badrul ke?”

“Ya...,” jawab Azizah ringkas.

“Pasal apa tu?” tanya suami Azizah lagi.

“Adalah cerita sikit,” jawab Azizah, seolah mahu berahsia lagi, tapi nampaknya macam dah tak boleh berahsia pada suaminya.

“Pasal apa? Pasal Yanti ke?”

“Hm... ya,” jawab Azizah seakan menggelabah sikit.

Suami Azizah terdiam seketika sambil baring menonton tv. Azizah duduk di sofa mengadap tv. Anak-anak mereka masa itu sedang di bilik masing-masing.

“Kenapa kita tak jodohkan saja Yanti dengan Mat Burger tu?” kata suami Azizah. Perkataan itu mengejutkan Azizah sehingga Azizah tak dapat berkata-kata.

“Sampai bila kita nak tahan jodoh Yanti tu? Kalau dia dah suka sama suka, kenapa perlu kita nak halang?” kata suami Azizah.

“Abang... kita nak tengok Yanti bahagia dalam perkahwinannya. Sebab tu kita nak ambil tahu juga siapa bakal suami dia. Ramai-ramai lelaki, kenapalah Mat Burger tu yang dia pilih? Yanti kan cantik, ada ramai orang nak berkenalan. Ramai lagi lelaki yang lebih baik daripada Mat Burger tu, tapi Yanti tolak!”

“Sekarang siapa nak kahwin? Yanti ke orang lain? Boleh ke perasaan seseorang itu diubah dan kita pula yang menentukan perasaan cinta mereka? Ingat senang ke?” kata suami Azizah.

“Betul. Tapi Yanti kenalah pandang banyak perkara, jangan disebabkan cintakan seseorang sampai membelakangkan keluarga. Lelaki tu nanti akan jadi sebahagian daripada keluarga kita juga. Kalau Yanti kahwin dengan Mat Burger tu, nanti ada masalah, kita juga dia cari. Ingatlah, perkahwinan ini bukan sekadar main-main. Yanti belum matang dalam hal ini,” kata Azizah, suaranya sudah mula tinggi.

“Jangan cepat pandang rendah pada orang. Betul dia adik bongsu tapi jangan anggap dia tak matang. Dia pun belajar sampai universiti juga dan kerja pegawai tinggi, takkanlah dia tak matang lagi? Kenapa kita pandang rendah pada Mat Burger dan orang-orang yang kerja biasa. Seolah-olah kita dan keluarga kita rasa berada dalam kedudukan tinggi. Mana kita tahu dia takkan bahagia berdua?”

“Saya dan adik beradik saya tak pernah pandang rendah pada Mat Burger, tidak!”

“Tak pandang rendah, tapi tak habis-habis menghina dia. Apa ni? Azizah... dari mula lagi abang dah tak setuju kita menentang jodoh Yanti dengan Mat Burger tu. Sebab tu abang tak mahu masuk campur dalam hal ini... kita belum sempat tanya latar belakang lelaki tu. Bagaimana keluarga dia, ibadat dia, ekonomi dia, pergaulan dia dan sebagainya? Terus kita tolak tanpa usul periksa disebabkan dia jual burger. Patut ke begitu...?”

Azizah terdiam dan mula mengesat-ngesat air mata. Dia tak mahu melatah dengan mengeluarkan perkataan yang boleh memulakan pertengkaran. Dia dah faham dengan suaminya itu, kalau jadi pertengkaran sudah tentu suaminya saja yang nak menang. Kekadang pertengkaran kecil boleh berlarutan hingga dua tiga hari. Maka berdiam diri adalah baik bagi Azizah. Suaminya meneruskan kata-kata.

“Abang bukan datang dari keluarga kaya. Mak ayah abang dulu kerja kampung yang tak seberapa. Abang cukup sensitif kalau seseorang dihina kerana pekerjaannya. Kita yang hidup senang ni belum tahu lebih mulia daripada mereka. Tak kiralah dia kerja apa, tukang pungut sampah ke, cuci longkang ke, penjaja tepi jalan ke, janji dia cari rezeki cara halal. Bukan dia perompak atau hisap dadah. Di sisi Allah, belum tentu kita ni lebih mulia dari mereka. Mungkin kita ni yang lebih hina. Ingat, hari ini orang pandang mulia pada kita, tapi esok lusa belum tahu...!”

Sementara itu, Haryanti baring dan cuba untuk tidur tapi seakan tak boleh. Perasaannya meronta-ronta mahu keluar ronda-ronda malam itu. Paling tidak pun, dia dapat tengok gerai burger Hazman dari jauh. Itu pun sudah cukup untuk malam itu.

Akhirnya, Haryanti salin baju semula dan keluar dari bilik menuju ke tingkat atas di tempat letak kereta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience