Chapter 38

Romance Completed 11698

KHALIL terus balik rumah, Hazman pula lepas kemas gerai terus balik rumah juga. Dia tidur dengan nyenyaknya malam tu, cuaca sejuk, ada sikit-sikit hujan. Lepas subuh Hazman tidur semula. Dalam pukul 10 pagi, Hazman terkejut, seperti ada beberapa orang memberi salam sambil mengetuk besi pagar dengan mangga. Dia terus keluar dan terkejut, yang datang itu adalah mak, ayah dan adik-adiknya, Syira dan Nizar. Adik-adik lain tak ikut. Hazman ambil kunci pintu pagar dan buka pintu. Mereka datang satu kereta.

“Mak, kenapa datang tak telefon dulu?” tanya Hazman kehairanan.

“Mak tak nak susahkan Man,” jawab Mak Munah ringkas.

Hazman bersalaman dengan semua. Dalam hati Mak Munah cukup gembira kerana Hazman seolah-olah tidak simpan dendam terutama kepada Pak Din.

“Mak, abah, jemput masuk. Maaf, tak sempat kemas rumah.”

“Tak apa Man, kami datang ni nak tengok-tengok kau. Sihat ke tidak. Janganlah kerja sampai jauh malam sangat. Kau ni belum sihat sangat,” kata Mak Munah.

“Alhamdulillah mak, dah beransur sihat. Man tak kerja keras macam dulu. Aboi banyak bantu kerja Man. Man kalau rasa penat, Man balik rumah, biar Aboi yang uruskan.”

Kehadiran keluarga Hazman ke rumahnya menyedihkan dirinya. Dia rasa bersalah kerana balik ke JB dulu seolah-olah macam melarikan diri. Lepas tu Hazman seolah merajuk dan tak ada telefon keluarga di kampung lagi. Hari ini seolah-olah dia sudah memaafkan semuanya, Hazman sudah tidak berasa hati lagi dengan keluarganya.

“Syira dan Nizar, macam mana belajar? Dah tinggal sebulan lagi ni nak periksa STPM dan SPM ni.”

“Abang Man, Syira datang JB ni, nak ke Angsana, nak pergi Badan Cemerlang, sana banyak buku rujukan dan soalan ramalan periksa,” kata Syira.

“Tak apa. Lepas ni boleh le kita sama-sama pergi Angsana. Abang pun dah lama sangat tak pergi sana walaupun dekat. Betul sana banyak buku. Syira dan Nizar pilihlah buku, nanti semua abang bayarkan,” kata Hazman.

“Terima kasih, Abang Man!” jawab Syira sambil tersenyum memandang Nizar.

“Beritahulah Abang Man, periksa percubaan baru ni dapat berapa. Abang Man kan belum tahu lagi,” kata Mak Munah.

Hazman hampir terkedu juga sebab dia sendiri terlupa yang adiknya baru periksa percubaan. Baru Man tersedar yang masalah dirinya baru-baru ni sedikit melupakan pelajaran adik-adiknya. Sebelum ni Hazman selalu bertanya, sekurang-kurang telefon.

“Syira pelajar terbaik dalam percubaan STPM dan Nizar terbaik dalam SPM di sekolah. Sampai mak dan abah kau dijemput ke sekolah minggu depan untuk majlis penyampaian hadiah,” kata Mak Munah dengan gembira.

“Alhamdulillah...!” kata Hazman.

Tiba-tiba hatinya terasa sedih, kerana itulah harapannya pada adik-adiknya selama ini. Hazman nak lihat adik-adiknya berjaya. Dia tak mahu adik-adiknya tercicir macam dirinya, penjual burger jalanan. Hari ini Hazman rasa bersyukur, dengan harapan periksa STPM dan SPM sebenar nanti, adik-adiknya akan mencatat keputusan yang cemerlang juga.

Syira turut sedih bila melihat Hazman mengalirkan air mata. Secara spontan, Syira berkata, “Terima kasih, Abang Man. Abang Man dan Kak Yanti sudah banyak membantu memberi semangat kepada kami. Syira mahu berjaya masuk universiti dan bekerja jadi pegawai macam Kak Yanti. Kak Yanti berjaya merubah Syira dan Nizar dari pelajar yang malas belajar kepada rajin sehingga berjaya dapat keputusan sebegini.”

Semua yang ada di situ terdiam. Pak Din menjeling ke arah Syira seolah tak bersetuju dengan kata-kata Syira itu. Pak Din macam nak suruh Syira berhenti bercakap, tapi Pak Din tidak bersuara. Mak Munah diam saja. Hazman pula tunduk, kemudian menutup muka. Lalu dia menangis teresak-esak. Mak Munah mengurut-urut leher dan kepala Hazman.

“Man, sabar. Bertenang, jangan sedih...,” kata Mak Munah.

Kemudian Pak Din pula bersuara, “Syira, pergi ke sana. Cuba jangan ganggu Abang Man lagi. Ini urusan orang tua berbual.”

Syira terasa hati dengan ayahnya. Pada Syira, dia tak salah, kenapa dia persalahkan. Dia sebut nama Haryanti kerana gadis itu adalah pemberi perangsang dan motivasi kepadanya. Kenapa seorang yang baik di hatinya tidak boleh diberi penghargaan? Itulah yang membuatkan Syira naik angin.

“Mak, abah. Maafkan Syira. Kita semua sayangkan Abang Man, kita banyak bergantung harap pada dia. Tapi kenapa kita tak mahu menjaga perasaan abang?” tanya Syira dengan nada yang agak tinggi.

Kata-kata Syira itu, merubah suasana dalam rumah itu dari tenang kepada tegang pula. Hazman terus teresak-esak dan menutup mukanya dengan tangan kirinya. Air matanya terus mengalir.

“Sudahlah, Syira. Kita datang ni bukan nak berbalah,” kata Mak Munah.

Syira macam tak puas hati lagi. Darah mudanya sukar dikawal. Syira rasa, hari ni nak jadi apa, jadilah. Inilah peluang sama-sama duduk semeja. Syira rasa, Syira tak mahu pendamkan lagi apa yang terbuku dalam hatinya selama ini.

“Mak, abah... kenapa kita halang jodoh Abang Man dengan Kak Yanti. Kalau kita sayangkan Abang Man, kita sepatutnya merasai perasaan Abang Man. Tapi abah dan mak sanggup mengecewakan Abang Man. Kita semua lupa, abang Man banyak berkorban untuk kita sekeluarga. Setiap malam berjaga sampai larut malam menjual burger untuk melihat mak, abah dan adik-adik cukup makan dan pakai. Kenapa kita lupa, kenapa?”

Semua sekali terdiam bila Syira meninggikan suaranya, bercakap sambil menangis. Hazman terus terdiam, seolah-olah membiarkan Syira terus berkata-kata.

“Bukan begitu, Syira. Kita....”

Kata-kata Pak Din dipotong oleh Mak Munah. Mak Munah seolah tak mahu suaminya bersuara. Mungkin Mak Munah bimbang, Pak Din nanti tidak boleh mengawal kemarahan.

“Siapa kata mak dan abah tak memahami perasaan Abang Man. Mak dan ayah ni lagi banyak fikir. Mak takkan tak nak tengok anak mak bahagia. Cuma mak tak mahu Man dapat halangan, kalau terus nak kawin dengan Yanti. Kita fikirlah, Yanti tu anak orang berada, bukan macam keluarga kita orang kampung. Apa yang dah jadi pada Man, sampai Man hampir mati kena pukul. Nasib baik panjang umur, kalau tak?”

Syira sedikit terdiam, nada agresifnya tadi sudah semakin kendur dengan penjelasan maknya tadi. Kemudian Pak Din pula bersuara, “Man, maafkan abah kalau Man terasa hati dengan abah di kampung dulu. Bukan niat abah nak halang kau kawan dengan perempuan kaya tu. Abah rasa, lepas ni, abah tak nak campur lagi pasal jodoh Man. Man dah besar panjang, dah masuk 30 tahun, dah boleh fikir buruk dan baik.”

Tangisan Hazman sudah mulai reda walaupun suasana belum kendur lagi. Dia bersuara seperti tidak mahu perbahasan isu ini diperdebatkan lagi.

“Man minta maaf banyak-banyak pada semua. Man, kalau boleh, tak mahu isu ini dipenjangkan lagi. Izinkan Man bersendirian buat masa ini. Man mahu menghampirkan diri dengan Allah. Man akui, Man sebelum ini agak terleka dan kadang-kadang cuai dan tinggal sembahyang. Alhamdulillah, peristiwa lalu cukup jadi pengajaran pada Man. Syukur Allah memanjangkan umur Man. Mungkin sebab Allah memberikan masa untuk Man bertaubat dan memperbaiki diri Man,” kata Hazman sehingga semua terdiam.

“Kalau umur Man tak panjang, ampunkan dosa Man pada mak dan abah. Man tak mahu jadi anak derhaka pada ibu bapa. Syira dan Nizar, teruskan hidup dan jangan melawan cakap mak abah. Kalau dah berjaya dapat ijazah dan jadi pegawai tinggi nanti, jangan lupa mak abah di kampung. Dan jangan pandang rendah pada orang miskin termasuk orang jual burger tepi jalan....” kata Hazman lagi.

Keluarga Hazman minta diri nak ke Angsana. Hazman yang mulanya kata nak ikut sama, nampaknya memberi alasan malas dan hendak sambung tidur. Hazman hulurkan duit dua ratus seorang pada Nizar dan Syira untuk beli buku. Pak Din kata, dari Angsana nanti akan terus balik ke kampung sebab adik-adik dia tak ikut.

“Man, maafkan mak dan abah. Jaga diri kau baik-baik, nak. Kalau ada masa tu, baliklah ke kampung, jenguk mak. Jaga diri baik-baik Man, kita hidup di tempat orang ni jangan suka cari gaduh dengan orang. Mak hari-hari risau pada dengan keselamatan kau, Man,” kata Mak Munah waktu bersalaman dan Hazman cium tangan ibu dan bapanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience