Chapter 22

Romance Completed 11698

YANTI... selamat hari lahir!” Haryanti kehairanan apabila mendengar suara itu. Dia tidak dapat mengecam suara tersebut. Suara itu kurang jelas sebab suasana bising di belakang lelaki yang menelefonnya itu.

“Siapa ni?” Haryanti menyoal untuk kepastian.

“Ini Azharlah... selamat hari lahir, Yanti!” ulang Azhar.

“Oh, Azhar! Aku ingat siapalah tadi. Hari lahir siapa pulak ni!” Haryanti bertanya kehairanan.

“Hari lahir kaulah, Yanti. Kami sambut ramai-ramai di pejabat ni!”

“Eh, hari lahir aku dua bulan lagilah...,” kata Haryanti.

“Tahulah dua bulan lagi. Sebab kau dah tak ada sini dua bulan lagi, maka kami sambutlah hari ni,” jelas Azhar.

“Lah... macam tu pun boleh. Kenapalah tak bagi tau awal-awal?” Haryanti benar-benar kehairanan.

“Dah namanya pun kejutan. Kami raikan dengan semua rakan pejabat, semua sekali ada ni. Encik Tasim dan bos pun ada.”

“Bos ada?” Haryanti macam tercekik mendengarnya. Alangkah hodohnya perangai dirinya. Tak datang di majlis sendiri.

“Ada kek besar untuk kau! Hadiah yang kau dapat daripada staf-staf kita pun banyak. Nanti jangan lupa ambil... sayanglah kau tak ada sini. Tapi kalau tak ada pun tak apa, janji kami semua gembira dapat bercakap dengan kau,” kata Azhar lagi.

“Aku betul-betul mintak maaf, Har. Ada hal penting yang aku tak dapat nak elak. Aku bukan sengaja. Kirim salam pada semua orang ya?” Haryanti benar-benar rasa bersalah.

“Tak apa, Yanti. Aku kenal kau. Kau takkan buat hal kalau kau tak ada masalah. Ni, bos nak cakap dengan kau....”

Haryanti berdebar-debar apabila mendengar suaranya ketuanya. Rasa macam nak bernafas pun susah.

“Yanti, kami semua sedang meraikan awak. Terima kasih atas sumbangan dan perkhidmatan cemerlang awak sepanjang bertugas di sini,” kata ketuanya, ringkas.

“Terima kasih, tuan,” jawab Haryanti serba salah.

“Kami harap, Yanti terus berkhidmat dengan cemerlang di tempat baru nanti. Jangan lupa, selalulah berhubung dengan rakan-rakan di sini kalau ada kelapangan. Kalau datang ke JB, jangan lupa singgah di pejabat ni,” kata ketuanya lagi.

“Terima kasih, tuan. Maafkan saya kalau ada salah dan silap saya pada tuan dan staf-staf lain selama ini. Jasa dan budi baik tuan dan rakan-rakan tetap dikenang,” jawab Haryanti.

“Sama-sama. Saya dan kami semua pun minta maaf kalau selama ini ada terkasar bahasa, tersalah cakap atau tersalah beri arahan dan sebagainya.”

Haryanti terasa cukup tersentuh dengan apa yang dilakukan oleh ketua dan rakan-rakan sepejabatnya itu. Selepas bercakap dengan ketuanya, semua orang di pejabat menyanyikan lagu “Allah Selamatkan Kamu” untuk Haryanti secara beramai-ramai.

“Terima kasih... terima kasih, kawan-kawan semua!” Haryanti tersenyum lebar.

Perbualan telefon itu memberikan kesan yang mendalam pada jiwanya. Haryanti tersenyum untuk kali pertama sejak masalah menimpanya. Kata-kata nasihat daripada ketuanya itu cukup bermakna dalam hidupnya. Sambutan hangat dan meriah yang diberikan oleh rakan-rakan sekerjanya itu pula menyuntik semangat dan kegembiraan dalam jiwa Haryanti yang sedang dipenuhi kesedihan itu. Dia sekali lagi tersenyum, tak seperti sebelumnya yang asyik muram sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience