Chapter 52

Romance Completed 11698

KERETA Kancil itu berhenti di sebelah kereta Waja Hazman. Kereta tu dipandu Cikgu Syikin dan bersamanya dua guru lelaki iaitu Cikgu Zaman dan Cikgu Amri. Mereka semua bersalaman dengan keluarga Hazman. Cikgu Zaman, cikgu yang paling senior memberitahu yang mereka nak buat temuramah dan ambil video dan gambar mengenai keluarga pelajar cemerlang Syira dan Nizar.

Rasa terbakar Syira pada Cikgu Syikin sudah reda nampaknya. Tak eloklah tunjukkan reaksi tak elok pada guru-gurunya yang datang tu. Kelihatan keluarga Hazman tak kekok kali ini berdepan kamera video kerana ini merupakan kali kedua. Selesai temuramah dan mengambil video, mereka mengambil gambar keluarga Hazman. Gambar pertama, gambar keluarga iaitu Mak Munah, Pak Din, Syira, Nizar dan Hazman. Semasa bergambar
bersama gurunya, hanya Cikgu Syikin yang masuk, Cikgu Zaman dan Cikgu Amri tak masuk. Cikgu Syikin duduk di hujung sebelah kiri manakala Hazman di hujung sebelah kanan. Baju Hazman dan Syikin sama warna iaitu biru gelap, seakan jadi pengapit sebelah kiri dan kanan.

Sebelum pulang, Cikgu Syikin sempat main mata dengan Hazman. Seperti ada kenyit mengenyit juga. Seakan ada bahasa isyarat dari jauh antara mereka. Lepas tu Hazman angkat ibu jarinya seperti isyarat sesuatu yang bagus. Syira perhatikan saja Hazman memberi isyarat tu pada Syikin dan Syira diam saja. Apa tanda ibu jari itu? Hairan Syira dibuatnya.

Malam tu Syira rasa hendak juga telefon Haryanti tapi jadi serba salah juga. Tapi tak patut juga kalau dia tak beritahu kejayaannya itu. Malam itu juga, Syira terima panggilan telefon dari Haryanti. Dail kali pertama, Syira macam takut nak jawab tapi panggilan kedua Syira jawab. Syira tahu, Haryanti mesti nak tahu keputusan peperiksaan STPM Syira dan SPM Nizar.

“Alhamdulillah kak, Syira dan Nizar berjaya muncul pelajar terbaik di sekolah.”

“Tahniah Syira dan Nizar. Kakak tumpang gembira walaupun...,” kata-kata Haryanti terhenti, dia tak habiskan ayat itu.

“Terima kasih, Kak Yanti. Terima kasih atas bantuan, galakan dan semangat yang kakak berikan pada kami sekeluarga. Kejayaan kakak masuk ke universiti dan dapat pekerjaan baik, jadi pendorong kepada Syira!”

“Syira, kakak harap Syira dan Nizar terus sambung belajar hingga ke universiti, teruskan cita-cita dan gembirakan keluarga Syira,” pesan Haryanti.

“Esok Syira dan Nizar nak isi borang universiti. Abang Man nak sangat tengok Syira dan Nizar supaya masuk universiti macam akak.”

Haryanti terdiam seketika. Terkejut Haryanti dan perasaannya terus berubah apabila Syira menyebut nama Hazman. Haryanti cuba menahan sebak, dia terus sedih bila nama Hazman disebut. Syira perasan bila mengetahui Haryanti tiba-tiba berubah, bila menyedari suara Haryanti berubah jadi sayu. Syira sedar, dia tidak sepatutnya menyebut nama Hazman pada Haryanti kerana boleh menyinggung perasaan Haryanti.

Malam itu Hazman teringatkan Khalil. Berita adiknya berjaya dalam STPM dan SPM itu pun sepatutnya diceritakan pada Khalil juga. Sebab, itu peristiwa besar dalam keluarganya yang pernah diceritakan sebelum ni. Sekarang Khalil sudah jarang datang ke kedainya sebab dah pindah rumah. Khalil dah beli rumah lelong dan duduk rumah sendiri, agak jauh juga dengan gerai Hazman. Sebelum ini Hazman ada telefon Khalil dan tahulah cerita Khalil dah pindah rumah. Agak lega juga, ingatkan kerana merajuk dengan Hazman. Malam itu, Hazman telefon Khalil

“Ustaz, senang-senang malam ni boleh kita jumpa,” kata Hazman dalam telefon.

“Malam ni? Mintak maaflah, saya tak ada di JB ni. Ada tugas kat luar daerah. Ada apa perkara penting ke, Man?” tanya Khalil.

“Tak ustaz, biasa je. Adik saya lulus cemerlang STPM dan SPM hari ni,” kata Hazman.

“Tahniah kepada Man juga. Inilah hasil keringat Man sendiri sehingga mereka berjaya. Tahniah sekali lagi, Man,” kata Khalil.

“Terima kasih, ustaz. Tapi ustaz ada satu perkara yang sangat penting juga nak jumpa ustaz ni. Kalau tak dapat jumpa malam ni pun tak apa. Esok boleh ke ustaz?”

“Penting? Okey Man, esok malam kita jumpa dalam pukul 10.00 malam kat Restoran Osman.”

Malam tu, Hazman rasa dia perlu sangat beritahu Khalil cerita yang penting tu. Sebenarnya sudah lama dia nak beritahu Khalil tapi Hazman tunggu sehingga adik-adiknya selesai peperiksaan dan berjaya dulu. Sekarang sudah berjaya dan Hazman rasa amat sesuai.

Ada suatu yang sangat penting? Tertanya-tanya juga Khalil. Apa yang penting itu? Khalil rasa, itu pasti perkara penting. Kalau tak penting, takkanlah Hazman kata penting. Khalil cuba luangkan masa walaupun sibuk. Tapi apa yang Hazman nak beritahu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience