Chapter 25

Romance Completed 11698

HARYANTI membawa ibu dan kakaknya makan di restoran tak jauh dengan pejabatnya. Dia tahu, ada sesuatu perkara yang mereka nak cakapkan. Semestinya isu kenapa Haryanti tak duduk rumah ibu abahnya? Sepanjang menjamu selera, Puan Nisah dan Azizah langsung tidak membangkitkan isu itu. Mereka sekadar bertanya khabar dan berbual ringan. Semasa menikmati pencuci mulut, barulah Azizah mula bersuara.

“Yanti tinggal mana sekarang?”

“Gombak, rumah kawan lama,” jawab Haryanti, tenang.

“Kenapa Yanti tak duduk rumah saja? Gombak jauh dari pejabat, kan?”

Haryanti terdiam sambil memegang gelas dan memusingkan gelas dengan tangan kirinya.

“Rumah kita besar, bukannya ada orang lain kat rumah.”

Puan Nisah hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Hatinya terguris dengan sikap Haryanti, namun dia faham yang anaknya itu sedang tertekan dan terluka.

“Tak apalah, kak. Yanti tak mahu susahkan sesiapa lagi. Yanti dah besar, dah boleh berdikari dan menentukan masa depan Yanti,” Haryanti mula bersuara.

“Habis tu, dah besar takkan sampai nak lupakan mak ayah dan adik-beradik? Ibu dan abah tak pernah didik kita supaya melupakan keluarga bila dah besar. Kenangkanlah jasa mereka daripada kecil sehingga besar didik kita dengan susah payah. Sekarang, kita lupa jasa ibu abah?” soal Azizah dalam memujuk.

Haryanti tak bersuara dan hanya mendiamkan diri. Dia tak mampu membantah atau mengulas kata-kata kakaknya itu lagi.

“Baliklah tengok abah. Dah berapa lama kau tak telefon abah? Abah selalu sebut-sebut kau, tengok album lama kau, terutama gambar kau masa kanak-kanak dulu. Tiap kali abah sebut nama kau, abah menangis....” Azizah terhenti seketika. Dia mula terasa sebak.

“Kau tak patut buat begitu, Yanti. Kalau kau ada terasa hati pada abah pun, maafkanlah abah, dia kan abah kita. Ingatlah masa kita kecil dulu, berapa kali entah kita buat abah terasa hati, tapi abah sabar hadapi kerenah anak-anak. Sekarang kalau abah buat kita terasa hati, takkanlah kita sebagai anak tak boleh maafkan abah? Abah dah tua....”

Haryanti masih terdiam dan mula sedih. Dia mengesat air matanya dan air yang keluar dari hidungnya.

“Baliklah jenguk abah, kalau dulu kau di JB jauh. Sekarang kat KL, kau sikit pun tak jenguk abah. Abah sedih... kesihatan abah bukan baik sangat. Kita tak tahu sampai bila umur abah....” Azizah terhenti di situ. Dia sudah terlalu sebak.

Haryanti masih terdiam dan menangis, dia tak dapat berkata apa-apa lagi. Kemudian dia memegang tangan ibunya dalam keadaan menggigil. Dalam sebak dia berkata, “Mak, maafkan, Yanti. Maafkan, Yanti....”

Pertemuan mereka tiga beranak berakhir sekitar pukul dua. Haryanti perlu kembali ke pejabat. Sepanjang setengah hari itu fikiran Haryanti terganggu. Kata-kata Azizah dan wajah sayu Puan Nisah bermain-main di fikirannya.

Pulang dari kerja, Haryanti berbual dengan Nani. Peristiwa tengah hari tadi diceritakan kepada sahabatnya itu. Nani merupakan pensyarah di universiti tempatan itu mendengar dengan baik luahan hati Haryanti itu.

“Nani, fikiran aku buntu. Aku berada di dua persimpangan yang aku sendiri tak tahu nak tuju yang mana. Aku ingatkan nak tenangkan fikiran dan melupakan seketika masalah aku. Tapi tak boleh, Nani. Aku masih diganggu,” luah Haryanti.

“Tak apa, Yanti. Itu tanda dia sayangkan kau dan ambil berat pasal kau,” pujuk Nani.

“Sayangkan aku? Kalau sayangkan aku, kenapa seksa hidup aku macam ni? Nasib baik aku kuat semangat. Kalau tak, dah lama aku ni sakit mental tahu!”

“Sekurang-kurangnya, dia beri peluang untuk kau berbincang semula dengan mereka. Ini peluang untuk berbaik-baik dan berdamai semula. Pepatah Melayu kata, air dicincang tak akan putus. Begitulah kalau bergaduh adik-beradik.”

Haryanti termenung dan memikirkan, ada betulnya nasihat Nani itu. Walaupun Nani sebaya dengannya, tapi gadis itu memang berbakat dalam memberikan nasihat yang baik.

“Aku tahu, aku pun ada salah pada mak ayah aku. Tak patut aku menjauhkan diri dengan mereka. Tapi yang aku tak boleh terima sangat, sikap abang-abang aku. Masing-masing perangai macam samseng! Memang aku tak akan maafkan mereka, seumur hidup aku. Sakit hati aku ni!” Haryanti meninggikan suara, marah.

“Tapi kalau kau marahkan abang-abang kau, kenapa sampai kau melupakan mak ayah kau? Itu tak betul. Mak ayah yang melahirkan kita dan membesarkan kita, kenapa kita nak buang mereka? Jangan hukum mak ayah kau hanya sebab kau marahkan adik-beradik kau,” pujuk Nani.

Haryanti terdiam tapi menggeleng-gelengkan kepala, seolah menafikan kata-kata Nani tu.

“Yanti, aku rasa mak ayah kau tak salah dalam hal ini. Kalau kau jadi macam mereka pun, kau akan bersikap begitu. Mak ayah kau, tak mahu terima Man Burger tu sebab abang-abang kau menentang. Mereka tak mahu tengok kau adik beradik bercakaran, sebab itu ayah kau menyokong pendapat abang kau.”

“Aku tahu. Tapi tak boleh untuk sekali ini mereka menyebelahi aku dan bukannya abang-abang aku? Ini kan masa depan aku, aku tahu lelaki yang sesuai jadi suami aku. Nani... aku tak pandang wang ringgit, harta dan pangkat. Semua itu bukan jaminan kebahagian. Tapi mengapa mak ayah aku tak faham perasaan aku? Sampai bila aku nak kena beralah?”

“Aku tak masuk belah siapa-siapa. Baik bawak berbincang elok-elok, jangan sampai berpanjangan dan boleh meruntuhkan keluarga kau,” nasihat Nani lagi.

“Aku sayang mak ayah aku juga adik beradik aku. Tapi dalam masa yang sama, aku cintakan seorang lelaki yang mereka semua tolak malah membencinya. Bagaimana harus aku pilih salah satu...?”

“Yanti, hidup kau bertuah, kau masih punyai mak dan ayah. Ayah aku dah meninggal masa aku sekolah lagi...,” cerita Nani dengan nada yang agak sayu. Haryanti mendengar dengan penuh tumpuan.

“Masa tu aku masih belajar lagi, masih sekolah menengah. Aku sangat sedih, bila aku dah kerja ni aku lagi sedih. Sedih sebab tak sempat untuk balas jasa ayah aku. Selama ini dia banyak berkorban wang ringgit untuk aku. Waktu sekolah dulu aku bercita-cita nak balas segala pengorbanan arwah ayah, tapi aku tak sempat... bila aku dah kerja ni, aku rasa sangat kehilangan. Dan kehilangan itu tidak akan ada gantinya. Aku sedih bila kenangkan arwah ayah aku. Tapi kau Yanti, kau beruntung kerana masih ada ayah,” kata Nani lagi. Haryanti terus terdiam.

“Yanti, aku cadang malam ni kau pergi melawat mak ayah kau. Rasanya, abang-abang kau tak ada situ malam ni. Aku boleh temankan,” Nani terus memujuk.

Haryanti terdiam berfikir seketika, kemudian berkata, “Kau janji temankan aku, Nani. Aku takut....”

Haryanti ke rumah ibu bapanya dengan ditemani Nani menaiki kereta Haryanti. Sampai di rumah, dia menekan loceng dan kemudian dibuka oleh pembantu rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience