Chapter 70

Romance Completed 11698

HAZMAN masuk juga dengar ceramah dalam dewan walaupun fikirannya memang tidak ada tumpuan, yang penting pada Hazman, dia dapat sijil, itu saja. Tiba-tiba Hazman menerima SMS yang ditunggu-tunggunya iaitu daripada Syikin. Berdebar-debar juga Hazman membuka dan membaca SMS itu.

- Man, Syikin sekarang di Terminal Bas Larkin dengan Syira, harap Man datang sini segera.

Hazman terkejut yang amat sangat. Pertama, kenapa daripada tadi Syira dan Nizar tak naik bas terus. Tapi Hazman terfikir, mungkin tiket bas tak dapat sebelah pagi sebab tak beli awal. Sekali fikir lagi, betulkah Syikin ada di Larkin, atau saja nak kenakan dan sakitkan hati Hazman. Tapi, apa-apa hal, Hazman kena keluar tengok untuk pastikan.

Hazman keluar dari dewan ceramah dan berjumpa Ustaz Hafiz di meja urus setia.

Hazman telefon Syikin tapi tidak dijawab. Kenapalah pula tidak dijawab, apa yang berlaku sebenarnya?

“Ustaz, maafkan saya, saya ada hal penting, kena keluar sekejap,” kata Hazman dengar terketar-ketar.

Ustaz Hafiz kehairanan dan renung muka Hazman. Dia bertanya, “Ada perkara penting apa? Nak pergi mana?”

“Saya nak cari kawan saya di Terminal Larkin.” jawab Hazman jujur.

“Oh, kawan yang tak masuk kursus tu ke?”

“Ya, ustaz. Saya mintak izin nak ke sana dan nak bawa dia ke sini.”

Ustaz Hafiz mengangguk saja walaupun macam berat nak lepaskan Hazman. Beginilah asam garam urus setia yang jaga kursus kahwin. Macam-macam gelagat peserta. Tapi Hafiz dah dekat lima tahun jadi urus setia dan dah banyak ragam orang yang dia jumpa. Ada yang menipu tanda tangan tapi bila dikira jumlah peserta, tak cukup. Ada juga yang tak hadir dua tiga sesi tapi hendak juga sijil dan merayu untuk dapatkan sijil dengan pelbagai alasan. Tapi peraturan tetap perlu dijaga cuma perlulah berhemah dengan peserta, tak bolehlah gunakan bahasa kesat dan menyakitkan hati mereka.

Hazman tergesa-gesa ke Terminal Larkin yang lebih kurang lima minit saja dari situ. Di sana, Hazman tercari-cari tapi tak jumpa. Kemudian Hazman ke tempat jualan tiket tetapi masih tidak ketemu Syikin, Syira atau Nizar. Beberapa kali juga Hazman telefon Syikin tapi masih tidak dijawab. Cuma masa itu Hazman terlupa untuk telefon Syira kerana dia sedang serabut bercampur persoalan, adakah betul-betul Syikin bersama Syira atau sengaja menipu Hazman?

Sudah lebih 20 minit berpusing-pusing di situ, Hazman kemudian ke tempat teksi di sebelah belakang tapi masih tidak jumpa. Hazman hampir putus asa dan mengambil keputusan untuk kembali semula ke Hotel Seri Malaysia menyambung kursusnya, kalau keluar lambat, sudah tentu nama Hazman akan dikeluarkan dari menerima sijil.

Bagaimanapun, bila lalu di depan kedai makan di hujung perhentian teksi itu, Hazman terkejut bila dapati di dalam kedai itu ada dua orang perempuan yang dicarinya iaitu Syikin dan Syira. Lutut Hazman jadi lemah dan rasa serba salah untuk masuk atau tidak ke kedai itu. Syira yang menyedari kehadiran Hazman, sengaja menundukkan muka, seolah-olah kehadirannya seperti tidak diundang.

“Man, mari duduk di sini,” panggil Syikin.

Hazman duduk di sebelah Syira dalam keadaan yang agak lemah. Ke mana Nizar? Tetapi Hazman tak terkeluar soalan itu kerana ada banyak perkara lain yang lebih penting. Hazman terdiam dan tak berkata apa-apa, dia seolah-olah hilang semangat untuk berkata-kata. Tiba-tiba Hazman nampak Syira mengesat air matanya dan Hazman rasa, tadi tentu Syira menangis semasa berbual dengan Syikin.

“Man harus berterus terang pada Syikin dan Syira sekarang,” kata Syikin.

Lagilah Hazman tak dapat kata apa-apa, Hazman terkejut dengan soalan itu dan tidak dapat memahami apakah yang dimaksudkan Syikin.

“Syikin tak mahu merampas kebahagian Man dan keluarga Man. Syikin anggap Syira adalah anak murid Syikin. Apa yang Syikin bantu dan lakukan sebelum ini kepada keluarga dan adik beradik Man bukanlah ada udang di sebalik batu, Syikin ikhlas...,” kata Syikin dan Hazman terus terdiam.

“Eloklah kita putuskan hubungan demi kebahagian keluarga Man. Syikin tak mahu dijadikan punca keretakan keluarga Man. Syikin sedar siapa diri Syikin di sisi keluarga Man...,” kata Syikin lagi dan Hazman masih tetap belum bersuara.

“Man... antara kita sudah tidak ada apa-apa lagi!”

Hazman mula rasa sedih dan dia tidak dapat menahan air matanya kali ini.

“Syikin... maafkan Man...,” kata Hazman dengan suara yang tersekat-sekat.

Syikin mencapai beg tangannya, bangun dan pergi dari situ menuju ke kereta yang diletakkan di tempat letak kereta tak berapa jauh dari situ. Hazman tak berupaya menghalang, Hazman cuma berupaya bangun dan memanggil nama Syikin.

“Syikin... Syikin...!”

Syikin terus masuk dalam kereta dan keretanya bergerak meninggalkan tempat itu. Hazman terpinga-pinga sambil melihat Syira terus menangis semakin teresak-esak. Tiba-tiba Nizar muncul sambil memerhatikan abang dan kakaknya.

Syira dan Nizar ikut abangnya keluar dari kedai itu Hazman pergi ke tepi dinding berhampiran tangga. Dia memegang kepalanya dan kepalanya mula terasa sakit. Bila dilihat dinding itu, Hazman teringat, dinding seperti itulah yang seakan sama dengan dinding dia dibelasah oleh keluarga Haryanti dulu sehingga dia cedera. Dulu pada dinding seperti itulah tangan-tangan samseng itu menghentak kepalanya tanpa dia melawan sedikit pun. Teringat peristiwa itu, kepala Hazman terasa sakit dan dia seperti hendak pengsan.

Syira dan Nizar serta merta memegang Hazman kerana mereka sangka abang mereka hendak pengsan. Muncul dua orang pemandu teksi yang kebetulan berada di situ. Ditakdirkan salah seorang pemandu teksi itu mengenali Hazman. Pemandu teksi itu memapahnya dan membawanya berehat di tempat rehat pemandu teksi.

“Terima kasih, bang. Abang saya ada sakit di bahagian kepala, dia pernah cedera,” kata Syira.

Hazman nampaknya stabil selepas diberikan air dan roti oleh pemandu teksi tadi. Syira dan Nizar lega kerana Hazman tidak apa-apa dan dapat pulih seperti sediakala. Syira kemudian memberitahu Hazman yang basnya akan bergerak. Syira jadi serba salah untuk meninggalkan Hazman keseorangan dalam keadaan begitu.

Kemudian salah seorang pemandu teksi itu memberitahu dia kenal Hazman kerana duduk berhampiran rumah Hazman. Jadi Syira tidak risau sangat keadaan abangnya itu. Hazman yang minta kedua-dua adiknya naik bas dan balik ke kampung segera.

Khalil dan dua rakannya baru keluar tol Air Hitam. Selepas saja membayar tol, Khalil dapat satu panggilan telefon, satu berita yang mengejutkan diterima. Khalil keluar dari kereta untuk meneruskan perbualan itu supaya tidak didengari oleh dua rakannya lagi. Kira-kira 15 minit perbualan itu, Khalil masuk semula dalam kereta dalam keadaan yang macam ada yang tak kena. Kalau tadi Khalil ceria, sekarang nampaknya ada perubahan pula.

“Razali, Zakri… kita terpaksa batalkan rancangan kita nak meminang itu!”

Razali dan Zakri tertanya-tanya tetapi mereka tak mampu untuk mengajukan persoalan lanjut. Mereka turutkan saja. Lagi pun, sebelum ini pun mereka tak tahu apa rancangan sebenar, siapa yang nak meminang dan siapa yang nak dipinang?

“Kita patah balik ke JB sekarang!”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience