Chapter 26

Romance Completed 11698

MASUK ke rumah, Puan Nisah sedang duduk di ruang tamu. Dia berasa sungguh gembira melihat kedatangan anak gadisnya itu dan terus memanggil Tuan Hashim yang sedang berehat di dalam bilik. Haryanti sedikit berdebar menunggu ayahnya keluar dari bilik. Sementara itu, dia sempat memerhatikan di dinding ruang tamu yang perhiasannya nampak ada perubahan susun aturnya. Dia terkejut apabila melihat beberapa gambarnya tergantung di dinding. Antaranya, gambar Haryanti berjubah bersama ayahnya selepas menerima ijazah. Kemudian, Haryanti memerhatikan gambar-gambar lain.

Ada satu gambar tu, gambar Haryanti sekeluarga pada satu hari raya Idulfitri yang dia tak ingat bila, tapi itu masa dia masih kecil dan adik beradiknya semuanya belum kahwin. Apa yang menyentuh hati Haryanti, dalam gambar keluarga itu dia duduk di sebelah Fuad dengan begitu mesra. Itu dulu... sekarang Haryanti dan Fuad bagaimana? Bolehkah keriangan itu kembali?

Tak lama kemudian, Haryanti dengar suara bapanya batuk, baru keluar dari bilik. Haryanti menuju ke arah bapanya yang berbaju Melayu putih, berkain pelekat dan berkopiah putih. Haryanti bersalaman dan memeluk bapanya sambil menangis.

“Abah... ampunkan Yanti, abah!”

Tuan Hashim menggosok-gosok kepala anak gadisnya itu. Haryanti terasa, abahnya kelihatan kurus dan tak seperti dulu. Nani memerhatikan saja. Nani gembira kerana Haryanti sudi mendengar nasihatnya supaya menjenguk keluarga. Mereka makan malam bersama. Haryanti akui, dia sudah lama tak makan bersama bapanya. Dia duduk di sebelah bapanya dan banyak bertanyakan tentang kesihatan bapanya.

“Abah sekarang kena ke hospital seminggu sekali. Doktor kata buah pinggang abah lemah sebab dah mengecut sikit. Yanti doakanlah semoga buah pinggang abah sihat. Kalau tidak, doktor kata abah kena dialisis,” beritahu Tuan Hashim.

“Abah hari-hari kena makan ubat kencing manis dan darah tinggi dah beberapa tahun. Kadang-kadang abah ada alahan dengan ubat tu, jadi cirit-birit. Mak cepat-cepat bawa pergi hospital,” sahut Puan Nisah pula.

Haryanti hanya terdiam sambil makan.

“Yanti, mak kadang-kadang pun tak berapa sihat. Kepala pening, mata sakit. Nak bawak kereta tu macam tak berapa berani, lebih lagi jalan jem nak ke hospital tu. Jadi kalau Yanti duduk rumah ni, kurang-kurang dapat bantu hantar abah ke hospital kalau abah ada temujanji dan kecemasan,” pujuk Puan Nisah dengan lembut.

Haryanti terus terdiam dan memandang ke arah Nani. Nani hanya tersenyum dan mengangguk saja.

“Nanti, mak... sekarang Yanti masih sibuk dengan kerja. Kadang-kadang balik sampai malam,”kata Haryanti perlahan. Hati dan perasaannya masih serba salah.

Haryanti tak lama di rumah ibu bapanya. Perasaannya tak tenang, dia takut kalau abang-abangnya datang ke situ malam tu. Dia fikir kalau ada abangnya, mugkin ada berlaku pergaduhan besar malam itu. Haryanti tak mahu bergaduh lagi, dia mahu ketenangan.

Semasa di dalam kereta, Haryanti dan Nani berbual. Antaranya adakah patut dia duduk di rumah ibu bapanya di Kuala Lumpur.

“Kenapa tak patutnya, itu kan rumah kau, rumah mak ayah kau. Bukan rumah adik beradik,” kata Nani.

“Aku tahu, tapi adik beradik aku pasti akan kerap datang. Aku tak mahu berdepan dengan adik beradik aku pada masa ni. Entahlah, kecewa ada, malu pun ada. Aku rasa malu dengan mereka, aku jadi bahan ejekan dalam keluarga aku. Semua orang salahkan aku...,” kata Haryanti sayu.

“Tapi itu dulu, Yanti. Sekarang belum tentu. Bergaduh adik beradik ni lambat laun akan berdamai juga. Lebih lagi masa mak ayah kau masih ada ni.”

Haryanti dan Nani singgah di sebuah kedai mamak di Gombak, nampak meriah kedai tu. Waktu itu jam dah menunjukkan lewat pukul 12 malam tapi mereka belum boleh tidur. Dalam perbualan di kedai itu, Haryanti bertanyakan pendapat Nani tentang hubungannya dengan Hazman, patut diteruskan atau tidak.

“Nani, kalau kaulah, kalau kau di tempat aku, perlukah kau teruskan perhubungan dengan Man?” tanya Yanti serius.

“Yanti, maafkan aku kalau aku mengguris hati kau. Bukan niat aku,” kata Nani, berhati-hati.

Haryanti terdiam sambil menggangguk dan mendengar baik-baik apa yang dikatakan oleh kawan baiknya itu.

“Kau sanggup terima Man, sedangkan kau kehilangan mak ayah yang melahirkan dan membesarkan kau dan kehilangan adik beradik kau?” Nani bertanya.

Soalan itu sukar dijawab oleh Haryanti, dia terus terdiam. Jantungnya tersentak dengan soalan keras Nani itu, tajam dan tepat menyentuh sanubarinya.

“Tapi kalau kau tolak cinta Man, kau akan terus ada keluarga kau. Mana yang lebih jadi keutamaan dalam diri kau, Yanti? Maafkan aku sebab tanya soalan macam ni.”

“Entahlah, Nani... aku sukar nak jawab. Aku tak mahu hilang sesiapa pun dalam idup aku. Aku tak nak hilang mak, ayah, adik beradik dan dalam masa yang sama aku tak nak kehilangan Abang Man,” kata Haryanti yang mula kedengaran sayu.

“Kau tak akan dapat semua, kau akan hilang salah satu. Kau kena korbankan salah satu daripadanya...,” kata Nani dengan tegas.

“Betul kata kau, Nani. Aku tahu, abang-abang aku keras kepala. Mereka sampai sanggup jadi samseng supaya aku tinggalkan Abang Man...,” Haryanti hampir menangis.

“Aku nampak semua tu. Abang kau akan buat apa saja supaya hidup kau tak bahagia walaupun kau dah kahwin dengan Man tu. Kalau kau dah kahwin pun, abang kau akan terus kacau. Jadi, sampai bila hidup kau nanti diselubungi ketakutan dan masalah?”

Haryanti hanya mengangguk-angguk dan tidak menjawab. Kemudian mereka pulang ke rumah.

Walaupun malam sudah semakin lewat, namun Haryanti tak dapat melelapkan mata. Banyak perkara yang bermain di fikirannya dan membebankan perasaannya. Haryanti tengok, Nani sudah lama tidur lena sampai berdengkur.

Sudah beberapa minggu Haryanti berpindah ke KL dan dia tidak pun meng_ hubungi Hazman. Bagaimana kesihatannya? Sudah sihat ke belum? Sudah boleh jawab SMS atau boleh bercakap dalam telefon, ke belum? Haryanti tak tahu. Tetapi dia mahu sendirian sekarang. Disebabkan itu, dia tahan kerinduan yang penuh dendam kesumat pada Hazman.

Haryanti teringat kata-kata Nani. Mungkin dia patut duduk di rumahnya saja. Rumahnya pun tak jauh dengan pejabat. Boleh juga jaga abahnya yang tak berapa sihat. Sebagai anak perempuan, bila lagi nak jaga abah dalam keadaan macam ni? Anak perempuan bukan macam anak lelaki. Fikiran Haryanti kembali berkecamuk. Wajarkah dia pindah ke rumah ayahnya? Nani pun dalam lima, enam bulan lagi nak kahwin.

Haryanti pula akan ke Kemaman, Terengganu. Dia terpilih menjadi urus setia kursus induksi pegawai, dua minggu di sana. Dia buat keputusan untuk membuat keputusan selepas pulang dari kursus tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience