Chapter 23

Romance Completed 11698

SELEPAS bermalam di hotel malam itu, Haryanti bercadang hendak pulang ke JB. Dia terpaksa pulang untuk mengemas barang-barangnya dan bertolak ke Kuala Lumpur. Sebelum balik, pagi itu Haryanti melawat Hazman di hospital. Waktu itu hanya ada Pak Din dan Mak Munah sahaja yang temankan Hazman. Haryanti hanya memerhatikan Hazman yang masih lena. Menurut Mak Munah, Hazman boleh keluar wad dalam dua atau tiga hari lagi. Haryanti tersenyum gembira mendengarnya. Dia kemudiannya meminta diri dan memberitahu yang dia akan pulang. Ketika bersalaman, Mak Munah membuka mulut.

“Terima kasih, Yanti. Duit Yanti akan kami pulangkan semula bila Man dah sihat nanti.”

“Pulangkan? Tak mak cik, pertolongan Yanti ikhlas. Yanti tak minta dibayar balik duit tu semua,” kata Haryanti, terkejut.

“Man minta mak cik sampaikan pada Yanti. Dia akan bayar balik. Hari tu Man dah bagi kad bank dia. Cuma kami ingat kena bayar masa keluar hospital nanti,” jelas Mak Munah.

“Tak apa, mak cik. Pertolongan Yanti ikhlas,” Haryanti cuba menjelaskan.

“Yanti, terima kasih kerana membantu kami sekeluarga. Yanti mendahulukan duit pada malam itu pun sudah dikira pertolongan yang sangat besar. Kami hargai pertolongan Yanti itu. Cuma, duit itu terlalu banyak. Kami tak boleh terima macam tu saja. Bila Man dah sihat nanti, dia akan pulangkan semula,” kata Pak Din. Nadanya lembut, namun tegas.

Haryanti semakin serba salah. Sebenarnya pertolongannya itu ikhlas, bukan tujuan lain. Itu adalah pengorbanannya kepada Hazman. Haryanti rasa itu adil. Adil sebab kecederaan dan kesakitan dialami Hazman tidak ternilai dengan wang RM 10,000 itu. Haryanti terasa, dia perlu jelaskan keadaan sebenarnya pada keluarga Hazman.

“Mak cik, pak cik...maafkan Yanti. Ada sebab kenapa Yanti sanggup keluarkan RM 10,000 itu...,” kata Haryanti perlahan. Wajahnya tertunduk.

Mak Munah dan Pak Din terdiam seketika dan memasang telinga mendengar ayat-ayat seterusnya yang bakal keluar daripada mulut Haryanti. Haryanti pula berhati-hati mengeluarkan setiap kata-kata, jangan sampai tersalah cakap.

“Tolonglah terima pemberian Yanti ini. Jangan biarkan hidup Yanti terus dalam keadaan bersalah. Yanti anggap wang itu sebagai penebus dosa dan kesalahan Yanti pada Abang Man...!”

“Menebus dosa dan kesalahan? Apa maksud Yanti?” Pak Din menyoal serius. Haryanti terdiam seketika.

“Biarlah hanya Yanti dan Abang Man yang tahu. Yanti benar-benar berharap, duit itu jangan dipulangkan... Abang Man sepatutnya menerimanya lebih dari itu!”

Pak Din kehairanan melihat sikap Haryanti itu. Buat masa ini, dia mengalah dan malas nak bertegas lagi dengan gadis itu. Biarlah masalah itu diselesaikan oleh Hazman dan Haryanti sendiri. Lagi pun, dia tahu Haryanti nak balik ke JB hari tu.

“Nanti Yanti bincang sendirilah dengan Man. Pak cik rasa Man akan bayar juga. Apa pun, terima kasih atas segala pertolongan Yanti,” kata Pak Din

Haryanti bersalaman dan memeluk Mak Munah. Seperti biasa, wanita itu menangis kesedihan dalam dakapan Haryanti menyebabkan dia pun turut menangis. Sebelum pulang, Haryanti sempat memegang kaki Hazman yang berselimut itu dan meminta maaf.

Sampai di JB, Haryanti mula mengemas barang-barangnya. Dia tidak mempunyai terlalu banyak barang. Hanya barangan peribadi dan pakaian sahaja yang perlu dikemas. Petangnya, Haryanti keluar untuk cari makanan. Dia sengaja jenguk gerai burger Hazman. Maklumlah, dah lama dia tak ke sana. Paling kurang terubat sedikit rindunya. Sewaktu lalu di situ, dia melihat Aboi duduk di atas kerusi mengadap gerai sedang berbual dengan seorang lelaki. Gerai masih belum di buka. Aboi yang nampak kehadiran Haryanti terus menyapanya.

“Kak Yanti, apa khabar? Abang Man dah sedar ke?”

“Alhamdulillah, Abang Man dah sedar. Cuma masih belum boleh bercakap.”

“Alhamdulillah. Baguslah Abang Man dah sedar. Semoga dia cepat sembuh dan boleh berniaga semula,” kata Aboi dengan gembira.

“Insya-Allah. Kita doakan begitulah. Dua, tiga hari lagi dia boleh keluar hospital. Lepas dah sihat betul, barulah boleh niaga.”

“Kak Yanti, Aboi cadang nak buka gerai ni sementara Abang Man masih di kampung. Ramai pelanggan tanya bila gerai nak buka. Pembekal daging dan roti burger pun dah banyak kali datang. Macam mana, kak? Boleh ke saya buka?” Aboi bertanya.

“Itu kamu tanyalah pada mak atau ayah Abang Man sendiri. Sebab Abang Man pun belum boleh bercakap. Tapi akak rasa elok juga kau niaga, paling kurang pelanggan tak lari,” jawab Haryanti.

“Mintaklah nombor telefon keluarga Abang Man, nanti saya telefon.”

Haryanti memberikan nombor telefon keluarga Hazman kepada Aboi. Kemudian dia berkata, “Aboi, hari ni hari terakhir akak di JB. Esok dah pindah KL.”

“Jauhnya! Kenapa sampai nak pindah, kak?”

“Apa nak buat, Boi. Kerja macam akak ni memang ada masanya kena pindah,” jawab Haryanti perlahan.

“Macam mana dengan Abang Man, akak nak tinggalkan dia ke...?”

“Abang Man?” Haryanti spontan tergelak apabila mendengar soalan itu. Aboi kehairanan melihat sikap Haryanti yang tiba-tiba ketawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience