Chapter 5

Romance Completed 11698

PERNIAGAAN Hazman terus maju walaupun kebanyakan orang tak berapa pandang dengan seorang penjual burger. Hazman tak pedulikan semua itu dan sentiasa berusaha untuk majukan dirinya. Dia suka baca buku Jutawan Senyap, kisah seorang pemuda yang ada kelulusan tinggi sehingga PhD, tapi lingkup dalam perniagaan. Jadi, pada Hazman, tidak semestinya belajar pandai-pandai baru boleh berjaya. Perkara yang lebih penting adalah usaha. Bagaimanapun, Dr. Rosly di dalam buku yang dia baca tu, akhirnya boleh bangkit semula walaupun sudah jatuh muflis.

Hazman bukan hanya membeli sebuah buku yang ditulis oleh Dr. Rusly, malah ada tiga buah buku yang selalu dibacanya berulang-ulang. Dr. Rusly dulunya pernah berniaga daging burger, roti burger dan pelbagai peralatan lain untuk buat burger. Tetapi perniagaan besar ini akhirnya memufliskan dan melingkupkan Dr. Rusly sehingga rumahnya kena rampas oleh pihak bank depan anak-anak. Dr. Rusly sebelum berniaga besar adalah seorang pegawai bank. Dia juga pernah merampas harta orang yang tak bayar pinjaman bank. Tetapi apabila harta benda Dr. Rusly pula yang kena rampas dengan bank, barulah dia menyalahkan pihak bank dan anggap orang yang rampas rumahnya sebagai zalim. Inilah kebesaran Allah SWT yang Maha Adil pada hamba-Nya. Hidup ini ibarat roda yang berputar, ada masa kita di atas dan adakalanya terjunam ke bawah. Jadi jangan menghina seseorang yang susah, kerana suatu hari nanti mungkin kita akan mengalaminya.

Dalam buku yang dibaca oleh Hazman tu, kesimpulan yang dibuat oleh penulis adalah, berniaga daripada kecil dahulu kemudian barulah jadi besar. Jangan terus jadi besar dan tinggi lepas tu kempis dan jatuh tertiarap. Atas semangat dan rangsangan itulah, Hazman tinggalkan kampung halamannya dan hidup berhempas pulas di bandar JB. Di JB ini bukan semua orang boleh berjaya, ada yang berjaya setahun dua lepas tu hancur berkecai. Hazman tak mahu berhutang besar, cukuplah dia pinjam duit mak dia dalam RM 1,000 dulu.

Hazman terasa bersalah juga sebab dia kata duit yang dipinjam itu ditemberangnya nak beli motosikal baru. Padahal dia nak buat modal berniaga jual burger. Namun, selepas usahanya mula berjaya, dia sudah awal-awal lagi meminta maaf kepada ibunya. Hazman telah menebus kesalahannya itu dengan memberi wang bulanan yang banyak kepada ibunya termasuk membelikan seutas rantai emas buat ibu kesayangannya itu.

Hazman juga berjaya membeli sebuah Proton Waja baru yang dibeli cash, bukan hutang. Sebenarnya bukan niat dia nak beli secara tunai. Cuma sikap pegawai bank yang memandang sinis apabila Hazman memberitahu pekerjaannya adalah penjual burger.

Bank pertama yang ditujunya awal-awal lagi dah tolak. Bank kedua pula suruh dia cari penjamin yang berkerja tetap. Hazman pula tak ada kawan. Lagipun dia tak mahu kawan nanti jadi bermusuhan kalau apa-apa hal berlaku. Bank ketiga pula kata pada mulanya boleh, dan akan uruskan dalam tempoh dua minggu. Dua minggu Hazman berharap, sudahnya permohonan itu ditolak juga.

Itulah nasib Hazman sebagai “Mat Burger” yang sering diperlekehkan sedangkan pendapatan bulanannya lebih dari RM 12,000. Ada juga kawan-kawannya yang menyuruh dia tipu pekerjaan, mengaku kerja kontraktor untuk dapat pinjaman bank. Tetapi Hazman bukan manusia yang suka hidup menipu.

Hazman tak pernah beritahu sesiapa pun pendapatan bulanannya yang sebanyak itu, termasuk kepada mak dan ayahnya. Bukan apa, nanti ibu bapanya macam tak percaya pula. Hanya pekerjanya seorang sahaja yang tahu, itu pun bukan angka yang sebenar. Pekerjanya itu dibayar gaji RM 30 sehari, kemudian naik kepada RM 50 sehari sebab dah mahir.

Hazman tak dapat nak lari daripada fitnah dalam berniaga ni. Dia baru beberapa tahun berniaga di taman itu, tapi pelanggannya cukup ramai. Ada orang sampai tuduh burger Hazman taruk dadah untuk rasa sedap, tapi dia langsung tak kisah. Hazman bersedia kalau polis bahagian narkotik datang buat pemeriksaan mengejut. Resepi rahsia yang diamalkan olehnya hanyalah hubungan baik dengan para pelanggannya. Dia pandai menjaga hati pelanggan. Semua lapisan masyarakat dan pekerjaan termasuk pegawai kerajaan, kerja industri dan lain-lain, dilayan dengan baik dan saksama. Hazman tak pernah sombong.

Hidup Mat Burger itu semakin bermakna apabila dapat berkenalan dengan Haryanti, si gadis yang cantik manis itu. Hazman tak pernah menyesal berniaga burger malah bersyukur kerana dia dipertemukan dengan Haryanti di gerai burger itu. Hazman rasa, kalau dia tak berniaga burger di situ, tidaklah dia dapat kenal dengan gadis kecil molek itu. Haryanti banyak memberi galakan pada Hazman supaya bekerja dan berusaha untuk maju dalam perniagaan yang diusahakannya itu.

Kehadiran Haryanti dalam hidup Hazman semakin meningkatkan motivasi dalam diri lelaki itu. Hampir setiap hari Haryanti akan datang ke gerai burgernya, atau sekurang-kurangnya melambaikan tangan dari dalam kereta sebab susah nak cari tempat parkir. Kalau gadis itu ada tugasan luar, setiap hari akan masuk bertimbun SMS dengan kata-kata nasihat dan sudah pastinya terselit sekali ayat-ayat cinta yang manis.

Haryanti sudah meningkat usia kepada 26 tahun, manakala Hazman pula sudah 28 tahun. Hazman rasa sudah sampai seru untuk menamatkan zaman bujangnya bersama Haryanti. Masalahnya adalah selama ini, ibu bapa Haryanti dan abang-abangnya tidak tahu tentang perhubungannya dengan Hazman di JB. Ayah Haryanti tergolong dalam kategori orang berada, berasal dari utara dan sudah menetap lama di Kuala Lumpur.

Haryanti merupakan anak bongsu daripada tujuh orang adik-beradik. Semuanya sudah berkahwin. Masing-masing menyandang jawatan yang tak kurang hebatnya. Semuanya hidup mewah. Abang-abang dan kakak-kakak Haryanti semuanya belajar tinggi sehingga ke universiti. Malah ada beberapa orang yang belajar sehingga ke luar negara.

Untuk membuka mulut kepada keluarganya, bukannya mudah bagi Haryanti. Dulu masa nak masuk universiti pun, abang-abangnya banyak masuk campur. Mereka menghalang dia ke luar negara walaupun ada biasiswa. Sebab itu, dia hanya belajar di universiti tempatan saja. Peristiwa itu membuatkan Haryanti berkecil hati dengan abang-abangnya. Kenapa mereka terlalu banyak masuk campur dalam urusan pilihan hidupnya?

Suatu hari, Tuan Hashim dan Puan Nisah iaitu ibu dan bapa Haryanti bersama beberapa orang anak dan sepupu datang ke JB. Mereka tidur di hotel dan datang menjenguk rumah Haryanti sekejap. Haryanti gembira dengan kehadiran ibu bapanya di JB. Namun dia tak sangka, rupanya kehadiran mereka membawa satu persoalan.

“Yanti, abah datang ni kalau boleh nak pindahkan kamu ke KL atau Selangor. Dekat sikit dengan mak dan abah,” kata Tuan Hashim.

Haryanti tergamam seketika. Dengan berat dia berkata, “Kalau boleh, buat masa ini biar dulu abah. Yanti masih baru kerja di sini, kalau tukar-tukar nanti mungkin ada masalah lain pula.”

Selepas ibu dan bapanya pulang, Haryanti berasa cukup cemas. Nasib baiklah ayahnya boleh menerima alasan itu. Haryanti bimbang sebab ayahnya ada ramai kawan yang berpengaruh. Bila-bila masa ayahnya boleh meminta tolong untuk dia bertukar. Haryanti tidak mahu tinggalkan Hazman.

Akhirnya, Haryanti membuat keputusan untuk berbincang dengan Hazman mengenai perkara itu. Lebih mencemaskan, apabila abang Haryanti pula menelefon, mengatakan ada kekosongan tempat di Kuala Lumpur. Bila-bila masa saja dia boleh pindah meninggalkan JB. Malam itu Haryanti tidak dapat tidur. Dia benar-benar rungsing.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience