Chapter 33

Romance Completed 11698

SYIRA baru balik sekolah, terkejut melihat ibunya menangis seorang diri di dapur. Syira dapatlah tahu cerita, Hazman dah balik ke JB dan Syira sedih juga kerana tahu abangnya merajuk. Tak lama kemudian, Syira dapat panggilan telefon daripada Haryanti. Syira masuk ke bilik seorang diri dan jawab telefon tu.

“Syira, Abang Man dah balik rumah ke?”

“Abang Man dah balik ke rumah pagi tadi, tapi hari ni dia dah balik JB.”

“Sampai macam tu sekali Abang Man merajuk. Syira, kenapa Abang Man bergaduh dengan abah Syira?” tanya Haryanti.

“Kak... Syira tak berani nak cerita semuanya. Tapi ada kaitan dengan Kak Yanti,” jawab Syira perlahan.

“Ada kaitan dengan kakak? Kenapa Syira, apa dah berlaku?”

“Kak, kenapa kakak dah lama tak hubungi Abang Man? Kakak dah tak sayangkan Abang Man lagi ke?” soal Syira.

“Apa maksud Syira ni?”

“Kakak... Abang Man tetap sayangkan Kak Yanti. Cinta abang pada kakak tetap sejati. Cuma mak dan ayah cuba nak pisahkan kakak dengan Abang Man,” jelas Syira.

Haryanti terdiam seketika, terkejut dengan cerita itu. Dia mula sebak, sedih dan mula mengeluarkan air mata. Dalam tersedu dia berkata, “Syira, kakak sibuk sejak akhir-akhir ni dengan kerja di tempat baru dan kursus. Nak jawab telefon pun tak sempat.”

“Syira dengar pertengkaran Abang Man dengan abah. Abang Man tetap mempertahankan keikhlasan kakak memberi bantuan duit tu. Abang Man tak setuju masa abah kata, bantuan kakak itu ada tujuan lain. Sebab tu Abang Man pertahankan kakak, sehingga berlaku perselisihan faham kami sekeluarga,” kata Syira.

“Jadi, mak ayah Syira sudah tak suka dengan kakak? Kakak tak kisah, kakak pasrah dan berserah pada Allah. Kalau itu ketentuan hidup kakak, kakak terpaksa terima semua ini.

Kalau kakak tidak dijodohkan dengan Abang Man, kakak reda. Itu ketentuan Allah....”

“Kakak, tolong jangan tinggalkan Abang Man. Syira tak sanggup lihat hidup abang terseksa. Dia sudah banyak berkorban untuk kami sekeluarga. Syira tak sanggup melihat Abang Man derita kerana kehilangan kakak. Tolonglah kakak, jangan tinggalkan abang. Syira rayu,” kata Syira sebagai penutup perbualan mereka.

Perbualan itu sungguh menyedihkan Haryanti. Kalau ikutkan rindu, memanglah rindu. Tetapi Haryanti belum bersedia nak telefon lelaki itu, mungkin masanya belum sesuai. Haryanti rancang nak ke JB hujung minggu tu. Nak ambil barang-barang lainnya dan juga nak kosongkan rumah.

Hujung minggu tu, Haryanti ke JB bersama Nani. Petang Jumaat, mereka tidur di rumah keluarga Nani di Kluang. Esoknya mereka berdua ke JB, tidur di JB. Haryanti pastinya nak hadiahkan baju batik pada Hazman yang dibeli di Terengganu tu. Tiba di rumah di JB, Noor ada di rumah. Malam tu, Haryanti keluar dengan Nani dan lalu depan gerai burger Hazman. Dapatlah mereka mengintai dari jauh, Hazman dan Aboi sedang melayan tetamu dan masak burger. Mereka berdua ke kedai mamak Osman, minum teh tarik di situ.

“Nani... wajarkah aku teruskan perhubungan dengan Man?” sekali lagi Haryanti membuka persoalan itu.

“Semuanya terpulang pada kau, Yanti. Tapi kau harus fikir masa depan kau...,” jawab Nani.

“Apa maksud kau, Nani?”

“Macam aku cakap dulu, kalau kau terus pilih Man, keluarga kau akan terus menentang. Kalau kau membelakangkan keluarga, belum tentu kau boleh bahagia dengan Man tu. Kalau berlaku apa-apa antara kau dan Man, kau tak ada tempat bergantung lagi. Lagi pun keluarga Man pun sudah menentang perhubungan kau berdua. Kau akan kehilangan keluarga, Man juga akan kehilangan keluarga...,” nasihat Nani dengan lembut.

Fikiran Haryanti bertambah kusut. Dia batalkan hasrat untuk jumpa Hazman hari itu, sedangkan mereka sudah terlalu dekat. Lebih menghampakan, hadiah istimewa yang dibelikan untuk Hazman, tidak jadi diserahkan. Dia terfikir, kalau dia jumpa Hazman, cinta itu pasti akan berputik semula. Bila sudah begitu, sukar nak melepaskan atau mencari penyelesaiannya.

Hari Ahad pagi, Haryanti pulang ke KL lepas ambil barang-barangnya. Barang-barang lain dihadiahkan kepada Noor saja. Haryanti dan Nani pulang ke KL hari itu.

Hazman seperti biasa sibuk di gerai burgernya. Dia terasa dah sihat dan sudah mula berhenti makan ubat dan tak ikut nasihat doktor supaya terus makan ubat. Hazman sudah tidak risau lagi untuk tampil di gerai burgernya, tidak seperti dulu, takut pada samseng yang pernah pukulnya. Pada Hazman, dia kena pukul sebab dia berkawan dengan Haryanti. Sekarang dia dah mula jauhkan diri daripada Haryanti. Dia juga berjaga sampai jauh malam, malah malam minggu kadang-kadang sampai pukul tiga pagi sebab ramai pelanggan.

Suatu hari, Hazman seorang diri di gerai burgernya dalam tengah malam. Ada seorang lelaki datang beli burger. Lelaki itu naik kereta Proton Saga warna biru dan Hazman memang biasa dengan lelaki itu yang biasa beli burgernya. Lelaki itu selalu beli burger Hazman terutama jauh malam. Hazman tak kenal siapa nama dan apa pekerjaan lelaki itu. Selalu Man lihat, lelaki itu berambut pendek, bermisai, tiada janggut, baju selalu masuk ke dalam seluar dan selalu berkasut bukan berselipar.

“Man... kenapa dah lama tak niaga?” tanya lelaki itu selepas pesan sebiji burger ayam.

“Balik kampunglah bang, tak berapa sihat sikit,” jawab Hazman.

Hazman terus masak burger dan lelaki itu memerhatikan dia masak burger seorang diri. Tiada pelanggan lain waktu itu, lewat malam orang makin kurang. Hazman sudah kenal lelaki itu lebih setahun, tapi baru malam ni dia terasa nak tahu lanjut siapa lelaki itu.

“Abang ni kerja apa?” Hazman memulakan perbualan.

“Kerja biasa-biasa saja....”

“Abang ni polis ke?” tanya Hazman lagi.

“Bukan polislah. Kenapa kata saya ni kerja polis?”

“Sebab abang biasa keluar malam-malam. Pergi kerja malam-malam, tengok gaya abang macam polis. Betulkan?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience