Chapter 69

Romance Completed 11698

HARYANTI tidak dapat merahsiakan kesedihannya dan seakan terpaksa menceritakan pada rakan sebiliknya berkenaan kisah hidupnya termasuk percintaan tragis bersama Mat Burger. Kawannya yang sudah kawin dari Kelantan ini seorang yang lembut serta penyabar orangnya dan banyak memberi nasihat pada Haryanti.

“Yanti... Mat Burger atau sesiapa saja di dunia ini adalah milik Allah, bukan milik kita. Kalau Allah takdirkan kita ada jodoh dengannya, maka adalah. Sebaliknya kalau Allah kata kita tak ada jodoh, maka tak ada jodohlah. Banyakkan bersabar, berdoa, semoga Allah beri kekuatan kepada kita dalam melalui liku-liku hidup ini,” nasihat kawannya.

“Terima kasih, kak... tapi kak, apa yang berlaku semalam paling menyedihkan dalam hidup Yanti. Kenapa ini berlaku pada diri Yanti? Yanti tiada tempat mengadu. Mak, abah, abang, kakak Yanti sendiri semuanya tidak memahami perasaan Yanti. Mereka seolah-olah tidak mahu melihat hidup Yanti bahagia. Kenapa? Apa salah Yanti?” Haryanti duduk di kerusi dan tangisannya semakin berterusan.

“Bersabarlah, Yanti. Setiap kesulitan yang kita alami, pasti ada hikmah di sebaliknya. Kita serah pada Allah, mudah-mudahan kita jadi hamba-Nya yang penyabar dan dicintai oleh Allah. Yanti, lain orang lain pula dugaan hidupnya. Kakak yakin, selepas ini kebahagian akan muncul dalam hidup Yanti. Insya-Allah!”

“Ya, terima kasih, kak. Hari ini Yanti nak balik awal, Yanti tak boleh tumpu pada kursus ini lagi. Lepas sarapan ni Yanti nak terus balik KL,” kata Haryanti.

“Kenapa begitu, Yanti? Cuma tinggal satu ceramah dan majlis penutup saja lagi. Baik tunggu saja Yanti, bukan lama sangat,” pujuk kawannya.

Haryanti diam dan tak kata apa-apa. Perbualan mereka dalam bilik sampai di situ saja, masa sarapan dah tiba. Dia dan teman sebiliknya pergi sarapan bersama. Hari itu hari terakhir kursus di hotel itu, selepas makan tengah hari semua peserta kursus balik ke negeri masing-masing. Peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Sedang sarapan, tiba-tiba rakan sepejabat Haryanti di JB dulu, Azhar dan Tasim muncul dan duduk semeja dengan Haryanti. Gadis itu terkejut dan Haryanti cuba menyembunyikan kesedihan yang dialaminya waktu itu, dia buat-buat ceria. Kalau tengok muka Haryanti, nampak semacam sembab sikit sebab banyak menangis malam tadi.

“Azhar, Encik Tasim, kenapa ada di sini?” tanya Haryanti yang masih terkejut.

“Nak jumpa kaulah, Yanti!” jawab Azhar sambal ketawa. Kemudian dia berkata, “Sebenarnya aku penceramah untuk sesi yang ini.”

“Penceramah? Tak ada dalam jadual pun nama kau?” Haryanti bertanya kehairanan.

“Petang semalam bos telefon aku, dia kata penceramah yang sepatutnya tak dapat datang, jadi bos suruh aku ganti,” kata Azhar. Encik Tasim juga kelihatan menganggukkan kepala.

“Kau Azhar?” kata Haryanti sambil ketawa besar.

“Kau jangan gelak, aku segan kat kau seorang saja tau!”

Rancak mereka berbual terutama gelagat Azhar yang lucu-lucu sikit. Haryanti tahu, ceramah kalau Azhar sampaikan memang menarik dan diselitkan dengan lawak jenakanya serta berjaya memukau pendengar. Kalau nak bandingkan ceramah Haryanti dan Azhar, kalau bab isi dan kandungan, Haryanti memang lebih tapi dia tak pandai buat lawak.

Bila berlaku keadaan ini, Haryanti tak jadi balik terus, dia kena masuk juga ceramah dan majlis penutup. Dia pun sudah berhenti menangis dan banyak ketawa melayan lawak jenaka Azhar semasa makan tu.

Pagi itu dalam jam 9.00 pagi, Khalil mendapat maklumat daripada penguat kuasa Zakri yang kes diintipnya sudah boleh diambil tindakan. Khalil bergegas ke sana menaiki kenderaannya. Sampai di lokasi, turut berada di situ adalah penguat kuasa Razali dan Zakri. Tak lama kemudian pegawai polis datang dan membantu.

Kes mengandung luar nikah kemudian percubaan menjual bayinya kepada orang lain berjaya dipatahkan oleh penguat kuasa dan pegawai polis di klinik itu. Selesai kes itu dalam jam 10.45 pagi ustaz Khalil ajak Razali dan Zakri minum.

“Saya belum sarapan sejak pagi tadi, tak sempat,” kata Khalil sewaktu duduk di kedai mamak di Skudai.

“Saya pun samalah tuan, tadi baru nak sarapan, sudah dapat panggilan dari Zakri,” kata Razali.

“Razali, Zakri, inilah kerja kita yang tak kenal siang dan malam, hari kerja atau cuti, semua kita kena korbankan. Inilah kerja sebagai penguat kuasa. Bukan ada kepentingan yang kita hendakkan, tapi kepuasan bekerja yang lebih penting bagi kita semua, kata Khalil dengan bersemangat. Razali dan Zakri mendengar dengan penuh minat bila bos mereka bercerita.

“Saya dah lama di bahagian penguat kuasa, sudah lebih lapan tahun jadi penolong pengarah unit operasi. Kekadang ada terfikir yang kerja saya ini sukar, tak macam pegawai lain. Terfikir juga untuk keluar saja dari bahagian ini, nak duduk bahagian lain yang tenang sikit, macam pegawai yang lain.”

“Tapi tuan, masa pengarah dulu Dato’ Wahid, dia nak tuan terus duduk di bahagian ini sampai bila-bila,” kata Razali.

“Tak perlulah kamu buat-buat cerita. Dato’ Wahid pun dah pindah jadi Datuk Bandar JB. Sebut pasal Datuk Wahid, saya hormat pada dia walaupun dia bukan lagi pengarah kita. Walau susah dan letih mana kita kerja tapi Dato’ banyak beri sokongan pada saya dan penguat kuasa lain. Pernah sekali saya jumpa Dato’ masa saya kena ugut dengan samseng. Saya luahkan hasrat untuk saya keluar dari bahagian ini, tapi Dato’ berikan semangat pada saya untuk terus kekal. Katanya saya dulu dapat didikan tentera, rasa macam menyesal juga tunjuk tauliah saya sebagai Leftenan Muda pada dia. Tapi semangat yang diberikan oleh pengarah kita, saya dapat semangat baru juga...!”

Perbualan mereka terhenti seketika apabila mamak tu hantar roti canai dan teh tarik. Mereka makan macam orang kebuluran. Mana tidaknya, jam dah dekat 11.00 pagi baru jumpa sarapan.

“Oh, ya! Zakri, tugas kita hari ni dah selesai. Jadi ke nak ikut saya?” tanya Khalil.

“Mesti jadi tuan, saya dah sedia. Ada kes baik ke kat sana, tuan?” tanya Zakri.

“Kes baik apa? Kamu dah hafal pantun ke?” tanya Khalil lagi.

“Pantun? Tuan, Razali nak ikut sekali boleh ke?” tanya Zakri sebab dia macam tak berapa pandai pantun.

“Nak ikut sekali? Tapi ini bukan ada operasi tau!”

“Saya tak ada kerja hari ni, tuan. Nampak macam ada yang menarik. Saya pun nak pergi!” Razali turut teruja.

“Razali, sebenarnya kes kita kali ni lebih kurang macam kes “Hantaran 10,000” dulu, kamu ingat kan?” tanya Khalil.

“Ya, mesti ingat, tuan,” kata Razali.

Kemudian Zakri pula bersuara dan nak tahu pasal kes “Hantaran 10,000 itu”, “Tuan, siapa sebenarnya pengadu kes itu?”

“Pengadu? Cuba kau agaklah sendiri siapa pengadu. Yang penting, kes ini dah selesai dan hidup dia orang suami isteri bahagia. Dengar cerita dah ada anak sekarang dan ekonomi dia dah bertambah baik,” kata Khalil.

“Oh... jadi hari ni kesnya lebih kurang macam kes ni ke, tuan?” tanya Razali.

“Macam nilah, tapi ini rahsia kita bertiga saja tau... kita hari ini nak pergi masuk meminang...!”

“Meminang? Kenapa tak beritahu awal-awal, tuan?” kata Zakri yang macam terkejut sambil tersenyum.

Khalil tak jawab soalan tu.

Razali dan Zakri berpandangan sesama sendiri sambil main kenyit-kenyit mata dan nak senyum pun ada. Kemudian Razali berkata, “Tak apa tuan, ditanggung beres, kami ni memang penyimpan rahsia terbaik, kalau tak takkan jadi penguat kuasa. Tuan kenal kat mana perempuan tu? Kerja apa?”

“Kau ni banyak tanya pulak, okey sekarang kita bergerak ke sana,” kata Khalil dan mereka terus naik kereta menuju ke lokasi.

Kereta mereka masuk ke lebuh raya dan Khalil ada menelefon seseorang dan orang itu akan tunggu dia di satu lokasi.

“Kau orang ni ada bawak songkok ke?” tanya Khalil.

“Songkok memang tak adalah, tak bawak!”

“Kau bukak laci tu ada songkok, Zakri muat. Razali pulak, nanti kat bonet tu ada songkok Wak bomoh yang kita tangkap hari tu, tak sempat nak simpan kat pejabat,” kata Khalil.

“Boleh, tuan. Tuan punya pasal bomoh pun bomohlah...!” kata Razali sambil tergelak.

Tak lama kemudian, Zakri yang duduk di belakang mencuit Razali macam nak suruh cakap sesuatu. Kemudian Razali tanya, “Tuan, isteri tuan tahu ke kita pergi ni?”

“Kenapa pulak tanya?” soal Khalil.

“Tak apa tuan, kalau tak tahu tak apa, kita orang akan rahsiakan,” kata Razali.

Khalil tak jawab soalan tu dan terus senyap. Razali dan Zakri jadi macam rasa bersalah pulak, mereka rasa soalan itu tak sesuai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience