Chapter 28

Romance Completed 11698

PETANG Jumaat, seperti biasa Mak Munah bersama kumpulan Yasinnya ziarah dari satu rumah ke satu rumah secara bergilir-gilir. Kali ini rumah Mak Cik Siah yang jaraknya lebih kurang 2 km dari rumah Hazman. Mak Munah mintak Hazman hantarkan. Hari itu ramai juga, dalam 40 orang. Masa makan tu, Mak Munah nampak seorang wanita yang cantik dan menarik perhatiannya. Sebelum ni, dia tak pernah nampak gadis itu. Mungkin bukan orang kampung itu. Timbul hasrat di hati Mak Munah untuk mengetahui lanjut gadis itu, dah berpunya ke belum? Nampak macam belum kahwin sebab masih muda, mungkin awal 20-an.

“Siapa perempuan yang baju biru tu, Siah?”tanya Mak Munah seperti berbisik.

“Oh, tu Azura, anak sedara kita, baru sampai semalam,” jawab Mak Cik Siah.

“Anak sapa, kerja apa dia?” Mak Munah menyoal lagi, berminat.

“Anak Abang Dolah yang kat Kota Tinggi tu. Tak kerja lagi, baru lepas sekolah. Dia tak sambung mana-mana, tolong mak ayah kat kampung.”

Mak Munah memerhati dengan betul-betul gadis itu, nampak rajin di dapur dan peramah melayan tetamu. Terdetik di hati Mak Munah untuk menjodohkan Hazman dengan gadis itu. Itu pun kalau-kalau belum ditanda orang. Azura datang ke rumah Mak Cik Siah dengan adik lelakinya semalam, naik bas. Saja jalan-jalan, lagipun rumah Mak Cik Siah buat kenduri doa selamat. Oleh kerana mak ayah dia tak sempat datang, maka Azura kira wakil keluarga Pak Cik Dolah.

“Siah... Azura tu dan berpunya ke belum?” tanya Mak Munah bila tetamu lainnya dah ramai yang balik. Hanya keluarga saja yang tinggal.

“Bertunang tu belum. Tapi tak tahulah dah ada kawan ke belum. Ada hajat ke ni? Benda baik apa salahnya!”

“Cadang nak carikan Si Man tu, umur pun dah nak masuk 30 dah. Risau juga kita tak kahwin-kahwin lagi,” jawab Mak Munah.

Ketika itu, kereta Hazman sampai di perkarangan rumah Mak Cik Siah. Selepas dia tengok orang lain dari kumpulan Yasin dah balik, Hazman datang ambil maknya.

“Itu pun Man. Panjang umur dia!” kata Mak Cik Siah.

“Kita beransur dululah, Siah...,” kata Mak Munah.

“Nantilah dulu, ajaklah Man tu naik ke rumah. Makanan pun ada lagi.”

“Betul juga. Nanti kita panggilkan Man!”

Mak Munah menuju ke kereta dan ajak Hazman naik ke rumah Mak Cik Siah. Mulanya Hazman malu dan tak mahu. Maklumlah, kumpulan Yasin tu kumpulan perempuan saja, mana ada lelaki. Tapi bila Mak Munah kata orang lain dah balik dan Mak Cik Siah nak tanya khabar tentang kesihatannya, akhirnya Hazman naik juga ke rumah. Dia duduk bersila di ruang tamu di sebelah ibunya.

“Bagaimana sekarang, dah sihat betul ke Man?” tanya Mak Cik Siah.

“Alhamdulillah mak cik, dah beransur baik, cuma kalau matahari panas terik, terasa macam sakit kepala,” jawab Hazman.

“Berehatlah dulu sampai baik-baik betul, Man. Kesihatan kena jaga. Tidur dan rehat kena cukup.”

“Itulah, Siah... Man ni degil, belum baik betul-betul dah nak balik ke Johor Bahru. Nantilah dulu sampai sihat betul,” sahut Mak Munah.

Tiba-tiba Azura muncul sambil mengangkat makanan dan diletakkan di hadapan Hazman. Memang dia seorang saja yang belum makan. Ada nasi ayam, mi goreng dan air sirap. Hazman terkejut melihat gadis yang cantik itu. Mukanya putih, kurus dan ayu berbaju kurung dan bertudung. Dia terdiam, terpaku melihat gadis itu.

Mak Munah nampak perubahan pada diri Hazman yang asyik menjeling gadis itu. Lepas tu Azura turun ke dapur semula barulah Hazman menikmati jamuan ditemani ibunya.

Di dapur, Azura tersenyum sendirian. Secara tak sengaja tadi dia bertentang mata dengan seorang lelaki tampan yang belum dikenalinya. Pada fikiran Azura, lelaki itu mungkin orang berada dengan kereta yang berkilat baru cat. Waktu itu, orang yang pakai kereta Waja dianggap macam orang kaya. Cara Hazman merenungnya tadi, membuatkan jantung Azura bergetar. Azura cuba curi-curi pandang ke arah Hazman di dapur dan mengintai-intai dari celah lansir pintu. Kemudian, terdengar suara Mak Cik Siah memanggil Azura. Terkejut beruk Azura dibuatnya, orang tengah mengintai-intai, rasa tersergah pulak.

“Azura! Tolong ambilkan air basuh tangan!”

Azura tersipu-sipu dan cepat ambil air basuh tangan lalu membawanya ke atas diletakkan di depan Hazman. Sekali lagi Hazman menjeling Azura dengan penuh minat, tapi dia tak kata apa-apa. Azura turun ke dapur semula, tak manis dia di atas sebab ada lelaki yang bukan saudara-maranya. Waktu Hazman dan Mak Munah balik, Mak Cik Siah hantar sampai ke kereta. Azura pula di tangga sambil berbual dengan keluarga yang lain. Hazman sempat memerhatikan wajah Azura. Azura pun begitu juga, nampak malu-malu.

Di dalam kereta, Mak Munah nampak perlakuan anaknya yang sedikit berbeza. Tetapi Mak Munah belum boleh membuka mulut lagi nak cerita pasal benda tu. Sebelum pulang tadi, dia sempat berbisik dengan Mak Cik Siah supaya tanyakan Azura, dah ada kawan ke belum. Kalau belum tolong tanyakan, bagaimana kalau ada lelaki nak masuk meminang. Mak Munah masih bersabar tunggu berita selanjutnya dari Mak Cik Siah. Hazman pula diam saja, macam tak ada apa-apa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience