Chapter 27

Romance Completed 11698

HARYANTI memandu sendiri ke Kemaman. Maklumlah jadi urus setia kursus tiga minggu, bukannya sekejap. Nanti kalau bosan bolehlah naik kereta jalan-jalan di sana. Haryanti dah biasa memandu sendiri walaupun jauh. Jalan melalui lebuhraya Karak, kemudian Temerloh, Maran, Kuantan, barulah sampai ke Kemaman. Masa tu tak ada lebuhraya Pantai Timur macam sekarang. Urus setia kursus ada enam orang, hanya dua perempuan. Semua urus setia lain Haryanti baru kenal di situ.

Jadi urus setia kursus ni penatnya macam peserta kursus juga. Malah lebih penat lagi. Dalam tiga minggu ni, tidur pun tak cukup, paling cepat pun tidur pukul satu. Bangun tidur pulak 5.30 pagi dah bersedia untuk kawal peserta pergi solat subuh. Bagi Haryanti, dua minggu ini suatu yang menghiburkan.

Biasalah, banyak aktiviti dilakukan. Oleh itu, Haryanti nampak ceria dan macam tak ada masalah dan tak ada kerunsingan apa-apa.

Azam baru Haryanti hendak lupakan Man Burger

Melangkah saja dari satu negeri ke satu negeri, KL, Pahang dan Terengganu, Haryanti hendak kuatkan azamnya. Dia cuba sedaya upaya hendak lupakan Hazman buat selama-lamanya dalam hidupnya. Atas nasihat dan pandangan ikhlas Nani, Haryanti memutuskan untuk melupakan Hazman.

Tetapi bukan semudah itu, ini soal hati dan perasaan. Beberapa kali air matanya mengalir semasa memandu. Menandakan betapa sukarnya keputusan yang dibuat. Namun Haryanti rasa keputusannya perlu muktamad. Dia keluar dari KL ke Pahang dan Terengganu itu sebagai perumpamaan dia mahu melupakan seorang insan yang satu masa dulu berada di tempat pertama dalam hatinya.

Tidak... Haryanti tidak terburu-buru! Sebelum ini pun, waktu di universiti dia pernah kecewa dalam percintaan. Walaupun hubungan itu tidak rapat seperti hubungan sekarang. Dulu pun, bila putus cinta di universiti dan masing-masing memilih haluan masing-masing, Haryanti berazam untuk tidak mahu jatuh cinta lagi pada lelaki walaupun dia punyai ramai peminat. Beberapa tahun dia mendera perasaannya untuk tidak mahu menyukai lelaki dalam hidupnya, sehinggalah dia jatuh hati di telaga lubuk cinta dengan penjual burger. Malangnya, demi keluarga, kerjaya dan masa depannya, Haryanti sekali lagi kuatkan semangat untuk melupakan Hazman. Ish... begitu tragis perjalanan percintaannya!

Tidak... dia tidak zalim. Dia tak pernah khianati percintaannya. Cukup berat keputusan yang dia buat. Kali ini bukan lelaki yang mahu tinggalkannya, tetapi Haryanti yang mahukan hubungan ini diputuskan. Keputusan ini adalah untuk menyelamatkan pihak lain dan dia tak mahu pentingkan diri sendiri. Melangkah ke Pahang dan Terengganu, Haryanti buang rasa bersalah itu ke negeri berkenaan.

Keadaan Hazman

Hazman yang berehat di kampung sudah sihat tapi tidaklah seperti sedia kala. Sudah masuk dua minggu selepas dia menjalani pembedahan. Hazman sudah mula boleh berjalan, bercakap, mendengar dan makan minum seperti biasa.

Timbul pula rasa bosan dalam dirinya asyik duduk di rumah beberapa lama. Dia nak sangat hendak ke JB untuk berniaga burger semula tapi dilarang ibu dan bapanya. Mereka risau sebab Hazman nampak belum berapa sihat seperti sebelumnya. Ikutkan hatinya, dia dah rasa dirinya sihat. Tetapi biasalah bagi orang tua, tak habis-habis risau pasal anak.

Aboi dan Hazman sering berhubung mengenai jualan burger mereka. Aboi nampaknya seorang yang jujur dan ada potensi untuk mengikut jejak langkah kejayaan Hazman. Cuma budak tu tak berapa mesra dengan pelanggan. Adatlah, dia masih baru nak berniaga, tak pandai sangat.

Pelanggan di gerai Hazman tak seramai dulu. Maklumlah, lain orangnya yang berniaga. Rasa burger yang Aboi masak tak sama dengan burger daripada ‘tangan sakti’ Hazman. Hazman dah tahap pakar. Walaupun cara masak dan ramuan sama saja dengan burger Aboi, tapi lain rasanya. Ini menambahkan lagi rasa hati Hazman yang nak balik cepat ke JB.

Hazman juga dah boleh pandu kereta jalan dekat-dekat walaupun Mak Munah selalu membebel dan larang dia bawak kereta. Tapi Hazman bawa juga keretanya.

Suatu hari, waktu makan malam bersama, keluarga Hazman berbual.

“Man, bila-bila pergilah bank, pulang semula duit Yanti tu,” kata Pak Din.

“Nantilah, abah. Man pun belum ada masa nak pegi bank lagi.”

“Bukan apa, abah rasa tak sedap hati, kau pun ada duit. Cuma hari tu tak sempat nak bayar,” kata Pak Din lagi.

“Betul kata abah kau tu. Kita tak mahu terhutang budi banyak pada orang yang bukan keluarga kita,” kata Mak Munah pula.

Hazman rasa tersentak. Fikirannya buntu. Dia sudah hampir sebulan tak berhubung dengan Haryanti. Untuk pulangkan semula wang itu, Hazman serba salah, takut kekasihnya itu terasa hati. Pada mulanya dia ambil keputusan untuk menghubungi Haryanti. Tetapi... tiba-tiba timbul perasaan takut. Hazman masih teringatkan kejadian dia dibelasah.

Hazman tahu Haryanti sudah pindah ke KL. Dia rasa mungkin gadis itu duduk di rumah mak ayahnya. Jadi kalau dia telefon, bimbang ada adik beradik Haryanti yang jawab. Hazman juga terasa mungkin Haryanti dah berubah setelah ‘dipenjara’ dan ‘dibasuh’ oleh keluarganya. Mungkin abang Haryanti yang samseng itu kurung dan pukul gadis itu semahunya. Mungkin juga abangnya pasang pengintip dalam kalangan samseng “taik kucing” dan kawal pergerakan Haryanti di KL. Walaupun dia tak pasti semua itu, tapi dia takut.

Apabila Hazman bayangkan keadaan Haryanti di KL sekarang, dia terasa sesuatu menyucuk di kepalanya. Jadi, dia tak mahu fikir yang bukan-bukan. Hazman tak jadi nak menghubungi Haryanti dan mengambil keputusan untuk berdiam diri. Namun, perasaan rindunya pada Haryanti tetap tak hilang. Dia ternanti-nanti panggilan telefon keramat Haryanti yang tak kunjung tiba itu.

Hidup Hazman terus terseksa menanggung rindu. Sehingga satu peringkat, dia terasa tidak perlulah Haryanti selamatkan nyawanya melalui bayaran pembedahan itu perasaannya terus diseksa begini. Kenapa Haryanti tak biarkan dia mati saja, atau jadi sakit mental ataupun hilang pendengaran saja hari tu?

Adakah perasaan Haryanti dah berubah. Oh, semudah itu rupanya seorang gadis kaya dari KL yang berjawatan tinggi hendak lupakan seorang penjual burger jalanan sepertinya. Kenapa Haryanti tak telefon dirinya atau telefon adiknya, Syira? Susah sangatkah nak telefon, sekurang-kurang bertanya khabar? Kenapa? Tak apa, tak apa... kalau itulah kehendak Haryanti, Hazman terima seadanya. Dia sedar siapa dirinya. Budak kampung yang tak ada pelajaran tinggi.

Duit RM 10,000 itu bukan Hazman minta, bukan keluarganya minta. Haryanti yang bagi, tak ada siapa yang paksa. Hazman nak pulang semula suatu hari nanti tapi bukan sekarang. Dia tak tahu cara mana, bagaimana dan kepada siapa hendak dipulangkan. Jangan nanti kalau beriya-iya nak cari Haryanti di KL untuk pulangkan duit, itu rupanya perangkap untuk abang Haryanti dan samseng KL nak belasah dan bunuh Hazman. Dia tak sanggup! Tetapi kalau sekarang pun Haryanti beritahu Hazman dan minta duit itu, sekarang itu juga Hazman akan pulangkan.

Suatu hari, Pak Din sekali lagi bertanyakan soalan yang terlalu sukar untuk dijawab oleh Hazman.

“Man, kamu kena pukul di JB sebenarnya kenapa? Siapa yang pukul? Ada kaitan dengan Yanti ke?”

Hazman pandang muka bapanya kerana sangat terkejut dengan soalan itu. Kemudian dia berkata, “Abah, Man tak mahu kenangkan itu semua lagi. Man sebenarnya tak tahu siapa yang pukul Man....”

Namun, Pak Din dan Mak Munah sudah lama syak sesuatu. Lebih lagi memikirkan kenapa Haryanti sanggup mengeluarkan duit sebanyak itu tanpa berfikir panjang. Apa yang paling nyata, kenapa dia kata “... untuk menebus dosa dan kesalahan Yanti”?

Perkataan semudah itu, bagi orang tua sudah tentu tahu yang ada sesuatu yang tidak kena. Lagipun, gadis itu sanggup tunggu Hazman di hospital.

Walaupun begitu, Pak Din tidak mahu memaksa Hazman dengan mengungkit persoalan itu dengan bersungguh-sungguh. Dia tahu yang anaknya itu masih trauma. Namun ketika dia dan isterinya keluar pada suatu hari, persoalan ini diungkit.

“Saya mahu Man pulangkan juga wang pada perempuan tu. Kalau boleh putuskan hubungan dengan perempuan tu segera!”

Mak Munah tersentak. Dalam terkejut dia bertanya, “Putuskan hubungan? Kenapa? Kan Yanti itu budak baik, tinggi budi bahasa pada orang tua dan sopan santun. Dan yang paling besar, dia sanggup berkorban wang ringgit untuk kita....”

“Awak jangan singkat fikiran! Saya dah tahu semua cerita yang sebenarnya, kenapa Man kena pukul. Semuanya disebabkan keluarga perempuan tu yang pukul Man sampai jadi macam tu. Takkan saya sebagai bapak nak berdiam diri saja,” kata Pak Din sambil memandu.

“Awak tahu dari mana cerita ni? Man tak cerita apa-apa pun?” soal Mak Munah.

“Saya tahu, ada orang yang cerita pada saya sebelum ni,” kata Pak Din lagi. Mak Munah mendengar dengan teliti sambil memperlahankan radio kereta.

“Orang tu mulanya tak mahu cerita perkara sebenar, tapi akhirnya dia bercerita juga selepas saya pujuk.”

“Siapa yang cerita? Kawan yang kerja dengan Man jual burger tu ke?”

“Tak payahlah tahu siapa, tak penting. Sekarang yang penting, kita kena jaga diri

Man. Jangan pisang berbuah dua kali. Jangan lepas ni Man kena pukul sampai mati pulak dengan orang tu!” suara Pak Din sedikit meninggi.

Mak Munah terdiam seketika.

“Awak cakaplah pada Man, supaya putuskan hubungan dengan perempuan tu. Perempuan tu memang baik, tapi keluarga dia? Katanya anak orang kaya di KL. Kita ni orang kampung saja. Saya tak nak masalah lain timbul nanti. Kita sayang anak kita,” kata Pak Din.

“Awak ingat perempuan yang awak cadang nak jodohkan dengan Man dulu, anak kawan Yasin awak tu. Belum kawin lagi ke perempuan tu?”

“Dah tunang, nak langsung hujung tahun ni dengan cikgu sekolah katanya.”

Balik rumah, Mak Munah serba salah untuk menyatakan apa yang diminta suaminya. Sebagai seorang ibu, dia sangat mengetahui perasaan anak lelakinya yang sedang dalam alam percintaan, bukan senang untuk mengeluarkan perkataan sebegitu. Mak Munah juga tetap suka pada Haryanti, seorang gadis yang cantik, pandai mengambil hati orang tua dan berpelajaran tinggi. Dalam hatinya, dia setuju sangat kalau Haryanti jadi menantunya, sudah tentu jadi menantu kesayangan nanti.

Bagaimanapun, hasrat Pak Din itu perlu juga diberitahu kepada Hazman. Tapi bila? Kalau tak sekarang, lepas ni Hazman dah nak ke JB semula. Mak Munah menangguhkan hasrat untuk memberitahu Hazman perkara itu. Dia sedang mencari masa dan suasana yang paling sesuai untuk diberitahu. Tetapi bila?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience