Chapter 17

Romance Completed 11698

MAK MUNAH menemani Hazman di sebelah katilnya. Tak lama kemudian, Syira yang masih bersekolah tingkatan enam dan seorang lagi adik lelaki Hazman, Nizar, yang tingkatan lima datang. Pak Din balik ke rumah sekejap tadi untuk membawa anak-anaknya itu. Kemudian, Pak Din mengajak Mak Munah pulang ke rumah untuk mandi dan berehat. Pak Din berjanji akan datang semula menemani Hazman. Sebelum ibunya balik, Hazman sempat memeluknya menyebabkan wanita itu pulang dalam keadaan yang amat sedih.

Dalam perjalanan pulang, Mak Munah berkata, “Saya cadang nak pindahkan Man ke hospital pakar. Selesa sikit.”

“Hospital pakar? Hospital kerajaan kan baik juga,” kata Pak Din.

“Betul hospital kerajaan baik. Cuma saya nak anak kita lebih selesa. Kalau pakar, seorang sebilik. Kita nak datang temankan dan melawat pun selesa juga.”

“Terpulang awaklah. Tapi bayarannya tinggi, awak ada ke duit nak bayar beribu-ribu?”

“Pasal duit, kita jangan risau. Man kasi saya setiap bulan, dah tolak belanja, saya masuk Tabung Haji. Jadi kalau sesak-sesak macam ni boleh kita keluarkan. Bukan apa, bang. Saya tengok sakit Man tu teruk, di kepalanya. Bimbang pulak saya,” kata Mak Munah.

Pak Din dan Mak Munah membuat keputusan sepakat untuk masukkan ke hospital pakar di daerah itu pagi esok selepas ke Tabung Haji. Sebelum pulang tadi, mereka sempat berbual dengan doktor yang merawat Hazman. Sekarang ni, sakitnya belum dapat dipastikan tapi agak bahaya kerana melibatkan bahagian kepala. Pak Din dan Mak Munah tidak memandang ringan masalah ini.

Di hospital, Hazman berbual dengan adik-adik yang menemaninya itu. Adik-beradik Hazman ada lima orang, tiga lelaki dan dua perempuan. Semuanya masih sekolah.

“Syira, Nizar... kamu berdua kena belajar rajin-rajin, dapat keputusan SPM dan STPM yang cemerlang. Boleh masuk universiti. Kalau umur panjang, abang akan bantu semuanya, sampai kamu semua berjaya,” kata Hazman bersemangat.

“Abang dulu bukan belajar tak pandai. Keputusan SPM abang baik. Tapi abang tak sanggup tengok ayah dan mak susah. Mak marah abang tak sambung belajar, tapi abang degil, tak ikut cakap mak,” kata Hazman lagi.

“Tapi hari ni abang menyesal juga. Menyesal sebab abang tak belajar tinggi-tinggi. Orang hina abang walaupun abang tak kacau orang. Abang tak sakitkan hati orang, tapi orang sakitkan hati abang. Jadi adik-adik abang janganlah jadi macam abang, sibuk nak cari duit. Belajar dulu sampai habis.”

Syira dan Nizar mendengar nasihat abang mereka itu dengan tekun.

“Syira, Nizar... kalau umur abang tak panjang, ambillah tempat abang sebagai anak sulung. Jangan susahkan mak ayah, mereka sudah lama susah-payah untuk kita,” kata Hazman lagi.

Perbualan Hazman terhenti apabila datang doktor lelaki bersama dua orang jururawat untuk membuat pemeriksaan ke atasnya. Syira dan Nizar diminta tunggu di luar seketika. Hazman menerima satu lagi suntikan di punggung. Kemudian satu tiub dimasukkan ke dalam hidungnya. Manakala, segumpal kapas disumbatkan ke dalam telinga Hazman. Dia juga diberi makan ubat makan yang kuantitinya agak banyak.

Kesan daripada ubat itu, Hazman kemudiannya berada dalam keadaan khayal dan terlelap. Sewaktu tidur, dia mengalami mimpi ngeri. Dalam mimpi itu, Aboi pula dibelasah di Johor Bahru di hadapan gerai burger. Hazman cuba menghalang dan bergelut dengan samseng itu tapi kalah. Aboi kena tikam dengan pisau dan Hazman menjerit minta tolong.

“Tolong! Tolong! Pergi! Pergi!” Hazman meraung kuat di katil. Dia tak sedar, itu semua mimpi. Hazman kemudiannya terjaga dan cuba meronta.

“Bang...mengucap bang, mengucap...!” kata Syira, cuba menenangkan abangnya itu.

Hazman yang masih dalam keadaan separuh sedar tetap meronta. Kemudian, datang jururawat yang mendengar teriakan Hazman tadi. Jururawat menenangkan keadaan dan membetulkan semula tiub yang dipasang di hidung dan tangan Hazman, juga mesin untuk mengesan pergerakan nadi di tangannya. Hazman kembali sedar dan mengucap panjang. Syira mengambil tuala lembab dan mengelap peluh di muka Hazman. Hazman tidur semula.

Sekitar tengah malam, Hazman sekali lagi meronta dan menjerit. Dia mengalami satu lagi mimpi yang mengerikan. Jeritan Hazman mengganggu pesakit-pesakit lain yang sedang nyenyak tidur.

Esok paginya, Syira dan Nizar menceritakan kepada ibunya tentang keadaan Hazman malam tadi. Semakin kuatlah hasrat Mak Munah untuk membawa Hazman ke hospital pakar. Pak Din menguruskan hal itu dengan pihak hospital. Hazman dibawa menaiki ambulan ke hospital pakar. Duit deposit yang dikenakan adalah RM 3000 yang dibayar tunai oleh Mak Munah. Keadaan di situ nampak lebih selesa dan teliti. Katil Hazman seorang sebilik, maka mudahlah keluarganya datang menemankannya. Doktor membuat pemeriksaan di telinga dan kepala Hazman termasuk x-ray.

Hasil pemeriksaan itu memberikan satu berita yang mengejutkan. Doktor pakar mengatakan satu pembedahan kecil perlu dibuat di bahagian telinga Hazman. Pak Din dipanggil ke bilik doktor yang menunjukkan keputusan x-ray dan lain-lain pemeriksaan, bahawa ada kecederaan serius di telinga Hazman. Sekiranya dibiarkan, anaknya itu boleh menghadapi masalah pendengaran. Lebih mengejutkan, sakit ini boleh berjangkit sehingga ke saraf otak Hazman dan boleh menyebabkan gangguan mental.

Pak Din dan Mak Munah termenung mendengar berita ini. Doktor tidak memaksa pembedahan ini dilakukan tetapi terpulang kepada waris untuk memikirkannya. Kos pembedahan ini dalam lingkungan RM 10, 000 yang akan dilakukan oleh doktor pakar.

Sementara itu di rumah, Syira membuka beg baju Hazman untuk bawa pakaian ke hospital. Syira jumpa handphone Hazman dan dapati ada banyak missed call dan SMS daripada Haryanti dan Aboi. Syira kenal Haryanti yang pernah datang ke rumah mereka dulu. Syira rasa bersalah kalau tak beritahu keadaan abangnya kepada Haryanti.

“Assalamualaikum, Kak Yanti. Ini Syira, adik Man.”

“Waalaikumsalam. Syira, apa khabar?”

“Syira sihat. Kak Yanti, Syira nak beritahu ni, Abang Man sekarang ada di hospital pakar di sini....”

“Hospital? Kenapa, Syira? Abang Man sakit apa?” Haryanti menyoal pantas.

“Tak tahulah, semalam telinga Abang Man berdarah, abah terus bawak ke hospital.”

Syira minta Haryanti merahsiakan yang dia memberitahunya berita ini, bimbang abangnya marah. Semalam, Hazman beritahu Syira supaya rahsiakan daripada orang lain terutama kawan-kawannya di JB. Namun, Syira tak tergamak terus berahsia apabila melihat jumlah SMS dan missed call di handphone abangnya itu. Selepas menelefon Haryanti, Syira juga telefon Aboi dan memberitahu tentang hal itu.

Di katil hospital, Hazman kelihatan ceria saja, walaupun tangan dan hidungnya masih ada tiub. Hazman berbual dengan mak dan ayahnya. Pak Din menceritakan dan mencadangkan supaya Hazman menjalani pembedahan segera. Dia tak halang dan ikut saja. Hazman beritahu, dia akan bayar RM 10, 000 itu guna duitnya sendiri. Dia
memberikan kad banknya kepada Pak Din. Petang itu, sedang Hazman menunggu untuk pembedahan, Haryanti tiba-tiba muncul seorang diri di biliknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience