Chapter 13

Romance Completed 11698

BAGAIMANAPUN, timbul rasa bersalah dalam diri Hazman yang tak jawab SMS dan panggilan daripada Haryanti. Akhirnya, Hazman membuat keputusan untuk menghantar satu SMS kepada Haryanti. Tanpa disengaja, SMS Hazman agak berlainan kali ini.

- Yanti, doakan keselamatan abang. Doakan abang selamat.

Haryanti sudah terlena waktu itu, namun terjaga apabila terdengar bunyi SMS masuk. Dia jadi hairan kenapa Hazman berperangai pelik sebegitu. Selepas ke bilik air dan membasuh muka, Haryanti cuba menghubungi Hazman sekali lagi dengan harapan lelaki itu akan menjawabnya. Mujurlah Hazman menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum, abang. Belum tidur lagi?”

“Walaikumsalam. Hm... dah. Dah tidur tadi. Tapi terbangun.”

“Kenapa abang tak niaga malam ni? Tadi Yanti lalu, gerai tak buka pun.”

“Malam ni tak buka, ada masalah sikit,” Hazman tetap cuba menyembunyikan apa yang berlaku. Dia tak mahu gadis kesayangannya itu risau.

“Masalah? Masalah apa tu, ceritalah. Mungkin Yanti boleh bantu.”

“Masalah kecil saja, jangan risau ye? Biasalah niaga ni.”

Mendengarkan alasan niaga, Haryanti tak mahu tanya lanjut. Lagipun dia bukan tahu sangat pasal berniaga ni. Padanya, mungkin Hazman ada masalah peribadi berkaitan gerai burgernya yang tak patut bagi dirinya untuk masuk campur.

Malam itu Haryanti tidur dengan bahagianya. Terasa tenang selepas dapat berbual dengan buah hatinya yang dari tadi tak dengar berita. Hazman pula tidur dengan nyenyak kerana kesan dua biji panadol yang dia makan tadi.

Esoknya, apabila Haryanti ke pejabat, dia terkejut apabila menerima satu surat sulit. Berdebar rasanya apabila terima surat sebegitu dari ibu pejabat di Kuala Lumpur. Bila dibuka surat itu, memang ia satu kejutan. Haryanti seolah-olah tak dapat berkata apa-apa lagi. Dia menangis teresak-esak di depan rakan sepejabatnya. Kawan-kawannya diam tak berkata apa-apa dan menunjukkan simpati kepada gadis itu.

Haryanti dapat surat tukar ke pejabat di Kuala Lumpur berkuatkuasa minggu hadapan iaitu pada awal bulan. Melihat kesedihannya, kawan sepejabat menasihatkan dia supaya berjumpa dengan ketua mereka. Dalam bilik ketuanya, Haryanti masih menangis sepuashati.

“Tuan, boleh saya tahu kenapa saya ditukarkan ke Kuala Lumpur?”

“Saya juga baru menerima surat yang sama pagi ini. Ini arahan bertukar dari ibu pejabat.”

“Bolehkah tuan tolong saya untuk dikekalkan di Johor Bahru buat masa ini. Saya baru dua tahun di sini,” Haryanti cuba merayu dengan tangisan yang masih tidak berhenti.

“Maafkan saya, Yanti. Pertukaran perlu berkuat kuasa seperti arahan, cuma boleh mohon penangguhan selama seminggu untuk menyelesaikan tugas di sini,” kata ketuanya, bersimpati.

Haryanti mula faham yang ketuanya itu adalah seorang yang baik dan selalu memahami tugasnya selama ini. Dia sedar, pertukaran itu atas arahan ibu pejabat yang tidak mampu diubah. Haryanti keluar dari pejabat dan mahu pulang ke rumah segera. Semangatnya untuk bekerja terus hilang pada hari itu. Selama bekerja selama dua tahun lebih, tak pernah dia keluar begitu saja dari pejabat tanpa minta izin ketuanya. Haryanti adalah seorang pegawai yang baik dan berdisiplin.

Dalam kereta, Haryanti masih menangis teresak-esak. Dia menelefon Hazman yang waktu itu berada di rumah.

“Abang, Yanti ada perkara penting nak beritahu abang. Yanti nak jumpa sekarang.”

Hazman jadi serba salah. Dia takut nak jumpa Haryanti lagi, takut kena belasah lagi seperti hari itu. Hazman juga tak mahu Haryanti tengok mukanya yang masih lebam itu.

“Yanti, abang ada hal pagi ni. Rasanya tak sempat nak jumpa,” kata Hazman.

“Bang, ini perkara yang sangat penting. Tolonglah, abang. Yanti nak jumpa sekarang juga,” pujuk Haryanti.

Hazman akhirnya akur dan minta Haryanti mengambilnya di rumah sebab keretanya masih diselimuti cat merah. Hazman kemudiannya mencadangkan mereka pergi makan di kedai yang jauh sikit dari situ. Haryanti kehairanan tapi ikut saja. Di kedai makan, baru gadis itu sedar yang muka Hazman lebam.

“Kenapa muka abang ni?”

“Sikit saja ni. Abang jatuh membonceng dengan Aboi semalam,” tipu Hazman.

Haryanti langsung tak percaya kata-kata Hazman dan tahu yang lelaki itu menipunya. Dia terus mendesak, “Abang, lebih baik abang berterus terang. Kenapa abang perlu berselindung dan menipu Yanti? Abang Man yang Yanti kenali sebelum ini seorang yang jujur dan suka berterus terang!”

Hazman tunduk terdiam. Hazman sudah jadi serba salah kerana dalihannya tidak berjaya. Waktu Hazman masih terdiam, Haryanti terus mengajukan soalan.

“Kenapa, bang? Abang kena pukul? Siapa pukul? Kenapa jadi begini, bang?”

Hazman terus tunduk dan tidak berkata apa-apa. Dia sudah tidak dapat berselindung lagi. Haryanti terus mendesak Hazman, “Abang Man, berterus teranglah. Yanti suka insan yang jujur. Ceritalah, bang. Kenapa abang diam?”

Tiba-tiba saja Hazman menutup muka. Kemudian Haryanti nampak air mata Hazman jatuh ke meja makan. Selepas mengesat air matanya, Hazman mula bersuara, “Yanti, abang jadi begini sebab abang ini Mat Burger! Mat Burger ni seorang yang hina, macam orang terbuang tepi jalan! Abang tak layak kawan dengan orang berada seperti Yanti....”

Mendengar kata-kata Hazman itu, Haryanti pula jadi sedih.

“Abang Man, jangan ulang lagi kata-kata itu. Jangan hina diri abang lagi. Abang pernah janji pada Yanti yang abang tak akan ulangi lagi perkataan itu. Cukuplah abang, cukup!”

“Abang dah buang rasa rendah diri itu dalam diri ni. Tapi keluarga Yanti pula yang menghina abang, belasah dan ugut nak bunuh abang! Hanya sebab abang ni seorang Mat Burger. Kalau abang ada jawatan dan kedudukan, keluarga Yanti tak akan serang abang macam ni...!”

Haryanti menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak setuju dengan apa yang Hazman cakapkan.

“Tidak, abang! Yanti dah janji untuk terus bersama abang walaupun apa rintangan. Yanti sanggup berkorban untuk kebahagian abang. Tapi sanggupkah abang berkorban untuk Yanti seperti pengorbanan Yanti...?”

Soalan itu membuatkan Hazman terpaku. Sudah beberapa kali Yanti ajukan soalan itu tapi jawapan Hazman pernah tidak meyakinkan.

Haryanti kemudiannya menceritakan pada Hazman tentang dia diarahkan bertukar ke Kuala Lumpur beberapa hari lagi. Hazman bersimpati dan bersedih dengan perkembangan terbaru episod cinta mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience