Chapter 19

Romance Completed 11698

DI dalam hotel, Haryanti seakan sukar hendak lelapkan mata, memikirkan keadaan Hazman. Tadi sebelum balik, dia sempat berpesan pada Syira, kalau Hazman dah selesai pembedahan, hubunginya segera. Haryanti ternanti-nanti penggilan daripada Syira. Haryanti teringatkan cadangannya untuk bernikah senyap-senyap dengan Hazman di Thailand. Hari itu, dia berkobar-kobar beritahu pada Hazman, seakan memaksa lelaki itu menerima cadangan peliknya itu.

Haryanti terasa sangat bersalah kerana semua itu. Dia terfikir, tidak patut seorang wanita yang beriya-iya meminta lelaki berbuat demikian, sedangkan reaksi Hazman nampaknya hambar. Apatah lagi, dia seperti memaksa Hazman melangsungkan perkahwinan segera dalam sehari dua ini. Tetapi, dengan kejadian Hazman masuk hospital dan menjalani pemedahan, Haryanti kira cadangannya itu terpaksa dibatalkan. Haryanti juga bertekad mahu menjauhkan dirinya dengan ahli keluarganya, terutamanya Fuad, yang mana perbuatan abangnya itu tidak dapat dimaafkan.

Sedang Haryanti baring dan mengelamun, Azizah telefon. Walaupun pada mulanya berat untuk menjawabnya, tapi dia jawab juga.

“Yanti, abah tak sihat dan selalu sebut nama Yanti...,” Azizah memulakan cerita selepas salam diberi dan dijawab Haryanti.

Haryanti tersentak tetapi dia seakan tidak percaya dengan cerita itu. Dia terasa yang semua itu hanya helah untuk memaksanya pulang ke rumah.

“Abah sakit? Macam mana keadaannya?”

“Sejak akhir-akhir ni, abah selalu sebut nama Yanti. Setiap kali dia panggil, abah nampak semakin tak sihat. Kami semua risaukan kesihatan abah,” kata Azizah lagi. Dia cuba memujuk adiknya itu untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Emosi Haryanti bertukar jadi sedih. Hatinya sayu mengenangkan kesihatan bapanya yang memang dari dulu tidak menentu. Namun, sesekali hati kerasnya berkata semua ini terjadi kerana kedegilan keluarganya. Bukankah lebih elok kalau terima saja lelaki pilihan hatinya? Semua orang akan gembira.

Haryanti tahu, dia anak kesayangan abahnya. Dia anak bongsu yang paling dapat perhatian dan paling dimanjakan dalam keluarga. Waktu kecil, hampir ke mana saja mak dan ayahnya pergi, dia akan ikut. Kebiasaannya antara ibu dan ayah, orang lebih manja dengan ibu, tapi Haryanti tidak. Dia lebih rapat dan manja dengan ayahnya. Tuan Hashim tak pernah marah dan tinggi suara dengan Haryanti selama ini. Berbanding dengan Puan Nisah yang suka bising-bising walaupun dia sudah besar. Oleh sebab itu, Haryanti lebih rapat dengan ayahnya berbanding ibunya.

Hampir semua kemahuan Haryanti dituruti oleh bapanya. Cuma ada beberapa perkara yang membuatkan dia terasa kecil hati dengan bapanya. Pertama, masa nak belajar ke luar negara, bapanya halang selepas dengar nasihat abang-abang Haryanti. Itu yang dia terasa sukar menerimanya, lantas menaruh rasa kesal dengan sikap bapanya. Pernah Haryanti fikir, Tuan Hashim tak mahu dia pergi jauh ke luar negara kerana mahu dekat dengannya, tapi Haryanti tidak boleh menerima alasan itu.

Untuk Haryanti, cita-citanya sejak di bangku sekolah adalah untuk belajar ke luar negara. Jadi, kenapa perlu dihalang? Soal kewangan bukan masalah, ada biasiswa dan pinjaman. Kenapa bapanya tidak mahu memahami perasaan hatinya? Hati Haryanti terluka dan memberontak, dia dah besar! Bukan budak-budak kecil lagi yang semuanya ibu bapa nak menjadi penentu hala tuju hidupnya.

Kedua, dalam soal jodoh dan memilih bakal suami, sekali lagi bapanya menghalang setelah dipengaruhi abang-abang Haryanti. Dalam hal ini, walaupun dia tahu yang menentang ini adalah abangnya, tapi Haryanti tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa pada bapanya sendiri. Padanya, kalau Tuan Hashim sayangkan dirinya, fikirkanlah kebahagiannya dan bukannya apa yang abang-abangnya cakap.

Perbualan telefon antara Haryanti dan Azizah tadi terdiam seketika apabila gadis itu lama mengelamun. Kemudian kakaknya meneruskan bicara, “Yanti, kau tak boleh berterusan begini. Abah terasa hati dengan kau, hingga kesihatannya terganggu. Ini abah kita, kita pun tak tahu berapa lama lagi umur abah, kita mesti ingat.”

Haryanti menangis mendengar ayat itu. Umur Tuan Hashim sudah lanjut, menjangkau 70-an. Gadis itu kenangkan bapanya yang tidak berapa sihat dan pernah menjalani pembedahan jantung beberapa tahun lepas. Darah tinggi pula, kadang-kadang normal dan kadang-kadang tak berapa menentu, ditambah lagi kalau dalam kerunsingan. Haryanti tidak menolak kemungkinan, kesihatan ayahnya kembali tak stabil bila dia seolah-olah menyalahkan abahnya dan juga adik beradik lain dalam isu jodohnya.

“Maafkan Yanti, kak...,” kata Haryanti.

“Yanti, telefonlah abah sekarang, dia rindukan kau. Abah nak sangat dengar suara anak kesayangannya. Mak kata, hari-hari abah tanya kau. Dia tanya bila kau nak telefon, tak larat mak nak jawab. Mak beri alasan macam-macam, kata kau sibuk kerja dan ada kursus. Sampai bila mak nak bohong abah hari-hari? Kau telefonlah abah, sekurangnya tanya-tanya khabar,” pujuk Azizah lagi.

Perbualan hari itu walaupun agak ringkas, tapi mendatangkan kesan yang mendalam pada jiwa Haryanti. Terlintas rasa bersalah pada abahnya. Sebelum peristiwa itu, hampir setiap hari, pasti dia telefon dan berbual dengan abahnya. Tapi sejak peristiwa kemarahan keluarganya pada Hazman, Haryanti tidak lagi menelefon bapanya. Rajuknya berpanjangan. Kerinduan mula terasa.

Haryanti teringat, masa dia dalam umur enam tahun, dia selalu ikut abahnya memancing di tepi sawah padi di kampung abah di Kedah. Dalam ramai adik beradiknya, Tuan Hashim lebih suka bawa Haryanti hampir ke mana-mana saja masa kecil dulu. Sedang abahnya seronok memancing, dia bermain seorang diri di tepi batas. Tiba-tiba, Haryanti terjatuh ke dalam sawah kerana tergelincir dan menjerit meminta tolong. Tuan Hashim terus mencampakkan joran pancing dan terjun ke dalam sawah yang tak berapa dalam itu menyelamatkan Haryanti. Walaupun airnya cetek, tapi kalau Tuan Hashim tak sedar, Haryanti boleh kelemasan dalam air itu. Balik ke rumah, Puan Nisah pula membebel pada Tuan Hashim. Katanya abahnya itu cuai jaga anak. Mengimbas kembali peristiwa silam ini, Haryanti semakin banyak menangis, teringatkan abahnya.

Haryanti berterima kasih dengan nasihat kakaknya supaya telefon abah. Mulanya, dia nak saja menelefon abahnya. Tetapi bila dikenangkan semula betapa terguris hatinya, dia tak jadi telefon. Haryanti mahu bersendirian buat masa ini dan tak mahu diganggu. Mungkin sehari dua atau esok lusa, dia akan telefon bapanya. Hari ini, fikirannya masih bercelaru dalam banyak perkara yang belum selesai-selesai.

Sekitar tengah malam, Haryanti terjaga daripada tidur. Rupanya dia terlelap. Dia memeriksa handphone. Tiada satu pun missed call atau SMS. Tiada pun panggilan daripada Syira untuk beritahu keadaan Hazman. Dia terasa tak sedap hati lalu ambil keputusan untuk pergi ke hospital yang tak jauh dari hotel tempatnya menginap.

Tiba di hospital, Haryanti kehairanan bila dilihatnya bilik dan katil Hazman kosong saja. Hati Haryanti gusar dan cemas. Kalau ikutkan pembedahan hanya sejam. Dia mencari-cari tunjuk arah ke bilik pembedahan di tingkat tiga. Sedang Haryanti menuju ke kaunter pertanyaan, dia ternampak Pak Din, Mak Munah juga adik-adik Hazman yang lain di kerusi menunggu. Lebih mencemaskan, Mak Munah menangis teresak-esak. Apabila melihat kehadiran Haryanti, wanita itu mengesat air mata dengan lengan bajunya. Haryanti tidak dapat berkata apa-apa, perasaannya terus jadi sedih. Adakah sesuatu yang buruk telah berlaku ke atas Hazman...?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience