Chapter 71

Romance Completed 11698

KHALIL seakan gelabah macam ada yang tak kena. Dia keluar dari kereta yang masih hidup enjinnya dan menuju ke tandas awam di tol Air Hitam meninggalkan Razali dan Zakri dalam kereta. Kemudian Khalil membuat panggilan kepada seseorang dan dia bercakap seperti ada yang amat serius.

“Zakri... kau bawak kereta ni, kita balik JB sekarang. Bawak laju-laju, ada hal penting,” kata Khalil selepas kembali ke kereta, 10 minit kemudian.

Zakri mengangguk saja dan terus memandu kereta kepunyaan bosnya itu. Zakri dan Razali senyap saja seperti memahami yang Khalil sedang berserabut kepalanya sekarang. Kalau Khalil kata laju itu, antara 140 hingga 160 km/j. Zakri tahu, enjin kereta itu enjin Mitsubishi 1.8 cc, bukan enjin Proton biasa. Kereta meluncur laju membelah lebuh raya menuju ke JB. Kalau kelajuan begitu, 30 minit saja boleh sampai.

Haryanti duduk di bangku hadapan kerana ada banyak kerusi kosong di depan untuk mendengar ceramah terakhir daripada Azhar, kawan baiknya. Manakala Tasim duduk di kerusi belakang sikit pada Haryanti. Memang betul, memang lucu dan kelakar sangat ceramah Azhar. Azhar tidak kekok walaupun berceramah di depan Haryanti dan peserta lain.

Dulu, banyak yang Haryanti belajar cara menjadi seorang penceramah yang baik dengan Azhar. Kalau dia hendak menyampaikan ceramah memang gugup tapi Azhar banyak beri teguran. Ada masanya Haryanti macam rasa sakit hati juga dengan Azhar yang tegur gaya penyampaiannya, tapi kini dia akui yang Azhar telah banyak merubah gaya ceramahnya.

“Tahniah, Azhar... ceramah kau memang baik. Nampak semua peserta tak puas dengar kau ceramah,” kata Haryanti pada Azhar selepas ceramah tu.

“Biasa-biasa sajalah. Kau pun apa kurangnya,” jawab Azhar merendah diri.

“Azhar, nanti aku panggil kau ceramah kat KL, kau jangan tak datang pulak. Menarik isi kau hari ini.”

“Kenapa KL? Kau kan nak balik JB semula, kan?”

“Apa kau cakap ni, Azhar?” Haryanti menyoal macam terkejut sambil memandang Azhar dan Tasim dengan serius.

“Serius pulak! Aku gurau sajalah. Takkan dah tak boleh bergurau, Yanti?” kata Azhar sambil tersenyum.

Peserta lain juga menghulurkan tangan kepada Azhar sebagai tanda penghargaan pada ceramahnya yang hebat itu.

“Yanti, aku tunggu bos untuk majlis penutup pagi ni,” kata Azhar.

“Bos? Bos mana?”

“Pengarah Johorlah, bos mana lagi! Dia jadi pengiring Datuk,” kata Azhar dan Tasim menggangguk.

“Bos ada, aku malulah nak jumpa bos. Sejak pindah KL, aku dah tak jumpa bos kita lagi, cuma panggilan telefon dan kad hari raya saja yang aku terima.”

“Yanti, bos nak jumpa kau nanti lepas majlis penutup ni,” kata Tasim pula.

“Biar benar... aku lepas ni nak balik KL terus, dah rindu kat KL!”

“Hm, rindu KL ke rindu buah hati kat KL?” kata Azhar sambil ketawa.

“Banyaklah kau punya buah hati! Mana ada!”

“Yanti, bos memang nak jumpa kau, ada perkara penting,” kata Tasim serius menyebabkan Azhar dan Haryanti berhenti ketawa dan terdiam.

Pada Haryanti, kalau cakap Azhar boleh lawak-lawak merepek tapi kalau dengan Tasim yang pekat dengan loghat Jawa lebih tu, memang dia tak suka lawak-lawak. Kalau dia kata itu, memang itulah yang sebenarnya. Haryanti memandang Tasim tanpa berkata apa-apa, jantungnya berdebar.

“Biarlah bos sendiri yang beritahu pada kau, ada sesuatu yang penting,” kata Tasim lagi dengan serius.

Tiba-tiba, juruacara majlis memaklumkan ketibaan Datuk sebagai perasmi dengan diiringi oleh tiga, empat orang pegawai termasuk bos lama Haryanti. Dia segera mengambil tempat di kerusi hadapan kerana kerusi lain sudah penuh. Sepanjang majlis penutup itu, Haryanti banyak kali memandang wajah bosnya dengan pelbagai persoalan, iaitu apakah perkara penting itu.

Adakah, bosnya meminta Haryanti pindah semula ke JB? Oh... semakin berserabut kepala Haryanti! Dia fikir, kalau nak dipindahkan, mana ada tanya-tanya, cuma keluar surat arahan tukar saja. Bila teringat kata-kata Azhar yang entah bergurau, entah betul yang dia akan bertukar ke JB semula, Haryanti semacam boleh jangka. Lagipun, Tasim kata bos nak beritahu perkara penting.

Selesai majlis perasmian, semua peserta keluar dewan dan menuju ke tempat makan di tingkat bawah menggunakan lif.

“Haryanti...!”

Ada suara memanggilnya di tengah-tengah orang ramai yang hendak menuju ke lif. Haryanti terkejut, itulah bosnya. Di kiri dan kanan bosnya adalah Azhar dan Tasim.

“Haryanti, tahniah ye?” kata bosnya.

“Hm, terima kasih, tuan? Tapi, tahniah apa? Tak tahu hujung pangkal pun,” kata Haryanti kehairanan.

“Yanti, kaulah seorang pegawai yang terpilih dari ratusan pegawai muda lain. Dah rezeki kau dapat naik pangkat jadi ketua unit. Kau pegawai yang cemerlang. Saya dulu, kerja dah lebih 20 tahun baru dapat jadi ketua unit tau!” kata bosnya.

“Unit mana? Ditempatkan di mana? Ada pertukaran ke?” tanya Haryanti yang semakin kehairanan.

“Tahniah, Yanti, tahniah!” kata Azhar tersenyum-senyum dan masih buat lawak.

Dalam hati Azhar, dia umur lebih tua sikit daripada Haryanti tapi masuk kerja sama. Haryanti lebih bertuah daripadanya, akan jadi ketua unit pada usia muda. Azhar sikit pun tak terkilan sebab dia kenal siapa Haryanti, seorang pegawai yang sangat baik.

“Apa-apa hal tunggulah surat, tak lama dah tu. Tahniah sekali lagi, Haryanti,” kata bosnya. Kemudian bosnya masuk ke lif bersama VIP yang lain meninggalkan Haryanti, Tasim dan Azhar.

“Hoi, Azhar! Mari sini kau!” kata Haryanti macam geram dan nak marah. Azhar masih boleh tersenyum. Mereka bertiga masuk semula ke dalam dewan yang sudah mulai kosong itu kecuali pekerja hotel yang sedang mengemas.

“Ini apa semua ni! Apa ni? Apa yang boleh mengarut macam ni, aku tak fahamlah kau ni! Jangan sampai aku baling kau dengan beg ni sudahlah!” Haryanti meninggikan suaranya.

Haryanti duduk di kerusi sambil diperhatikan oleh Azhar dan Tasim. Beg kursus diletakkan di atas meja, kemudian Haryanti melemparnya ke meja hadapan. Beg itu terpelanting dan kena dua biji gelas dan jatuh gelas itu ke bawah. Kejadian ini menarik perhatian dua orang petugas hotel itu. Mujur gelas itu tak pecah dan Tasim segera mengambil semula gelas dan beg kursus Haryanti.

Haryanti meraung sambil memegang kepalanya sambil sikunya di atas meja. Haryanti menangis teresak-esak.

Azhar terkejut kerana pada mulanya menyangkakan Haryanti hanya bergurau macam Haryanti yang dia kenali sebelum ini. Tapi tidak… rupanya Haryanti betul-betul menangis.

“Yanti... bertenang Yanti, bertenang....”

Kata Azhar sambil menggigil ketakutan juga. Tasim pula kelihatan bercakap-cakap dengan petugas hotel seakan menjelaskan sesuatu. Mungkin Tasim kata, itu masalah sesama mereka rakan sepejabat.

“Maafkan aku, Yanti. Bertenang Yanti...,” kata Azhar yang semakin ketakutan dan keliru. Orang lain suka kalau dapat naik pangkat, tapi gadis itu sebaliknya pula.

Tiba-tiba muncul seorang wanita dari belakang yang memegang bahu Haryanti iaitu rakan sebilik Haryanti. Haryanti terus menangis dan semakin sayu apabila rakan sebiliknya memeluknya sambil memujuknya.

“Mengucap, Yanti. Ingat pesan kakak, kuatkan semangat kau. Allah tetap akan bersama kita, Allah sayang kita dan apa pun ujian yang kita hadapi, itu datangnya daripada Allah,” pujuk rakan sebilik Haryanti.

Nasihat dan pelukan rakan sebiliknya itu cukup meresapi ke jiwa Haryanti. Kalau tadi, ingin saja Haryanti lemparkan kerusi ke muka Azhar, tapi sekarang tidak lagi, dia sudah sedar keterlanjurannya. Tadi, Haryanti fikir, dia tak akan maafkan Azhar, kalaulah Azhar yang menjadi pencetus atau pelobi supaya dia ditukarkan ke JB semula.

Pada Haryanti, JB sudah tidak ada maknanya pada dia lagi setelah hatinya hancur lebur bila melihat Hazman yang dicintainya selama ini berpegangan tangan dengan Syikin yang tidak kurang cantiknya itu. Apa lagi yang hendak Haryanti cari di JB ini kalau sebutir mutiara cintanya sudah dirampas perempuan lain? Malah, Haryanti rasa, kalau KL pun dia tak dapat ketenangan, lebih baik dia pindah saja ke utara atau Sabah atau Sarawak, yang jauh daripada pengacau-pengacau hidupnya.

Haryanti kembali tenang dan air matanya sudah berhenti melimpah. Sekali fikir, kenapa pula Haryanti serang Azhar dan Tasim, apa salah mereka? Kenapa Haryanti tak marah atau serang bosnya tadi yang sekarang sedang enak menjamu santapan tengah hari?

Kemudian rakannya membawa Haryanti naik ke bilik di tingkat atas, meninggalkan Azhar dan Tasim selepas meminta maaf. Selera Haryanti untuk makan hari itu terus hilang dan dia berehat di bilik dan bersiap untuk balik ke KL.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience