Chapter 11

Romance Completed 11698

KEESOKANNYA, sewaktu Hazman sedang berkemas untuk membuka gerai burgernya, dia dikejutkan dengan kehadiran beberapa orang lelaki yang tidak dikenali. Jumlah mereka antara 7 – 8 orang. Sewaktu itu, Aboi pula belum datang. Pada mulanya, Hazman ingatkan mereka nak beli burger atau nak bertanya sesuatu.

“Nak beli burger ke, bang? Maaf, burger belum siap. Tengah berkemas lagi ni.”

Lelaki itu tak jawab malah memandang tajam ke arah Hazman. Tiba-tiba tangannya ditarik dan diheret ke tepi tangga. Kedudukan gerai Hazman yang terletak di sebelah kedai dua tingkat menyebabkan tangga di belakang gerai itu agak terlindung. Apabila lelaki-lelaki itu merentap tangannya, Hazman tak berdaya melawan dan hanya mengikut saja.

Salah seorang lelaki itu berkata, “Hoi, Man! Engkau jangan kacau Yanti lagi. Kalau degil, pecah kepala kau aku kerjakan!”

Badan lelaki yang jauh lebih besar dan sasa berbandingnya itu, menyebabkan Hazman terdiam ketakutan. Dia sangat terkejut apabila mendengar kata-kata amaran lelaki itu. Rupanya mereka nak ugut dan belasah dirinya. Memang Hazman tak menyangka dan tak bersedia menghadapi keadaan seperti tu. Lagipun dia bukan jenis kaki gaduh. Berkawan dengan orang yang suka bergaduh pun tak.

“Tolong saya, bang. Tolong lepaskan saya...,” rayu Hazman yang sedang dalam ketakutan. Tidak ada orang lain yang melihat kejadian itu.

“Apa tolong-tolong? Tak sedar diri, penjual burger tepi jalan, nak kacau anak dara orang kaya konon! Kau sedarlah diri kau siapa, jangan nak rembat saja anak dara orang! Sekarang pun aku boleh belasah kau sampai mati tau!” kata lelaki tu sambil mencekak kolar baju Hazman dengan kuat dan menolaknya ke tepi dinding. Nafas Hazman tersekat dan suaranya terputus-putus.

“Tolong... tolong.... Saya salah, saya minta maaf, bang!”

“Minta maaf kau kata! Benda ni takkan boleh maaf. Hari ini hari pembalasan untuk kau!” kata seorang lagi lelaki lain.

Kolar baju Hazman masih dicekak. Manakala seorang lagi lelaki memukul kepala Hazman dengan topi. Sakit juga terasa. Nasib baiklah topi kain, tak keras sangat. Kemudian Hazman dilepaskan.

Perutnya tiba-tiba disepak keras. Hazman terasa sakit dan senak yang amat sangat. Kuat tendangannya itu sehingga menyebabkan dia tertunduk kesakitan. Kemudian, seorang lagi menampar dan menumbuk muka Hazman dengan kuat. Dia menutup muka. Apabila Hazman tengok tangannya, ada darah. Tepi bibirnya pecah. Hazman meraung kesakitan dan tidak terdaya membalas. Mana mampu dia seorang nak lawan mereka yang ramai tu. Sebelum meninggalkan Hazman, lelaki tu masih sempat memberi amaran terakhir.

“Lepas ni kalau kami tahu saja kau hubungi Yanti, mati kau kami kerjakan!”

Sebelum meninggalkan pemuda yang malang itu, masing-masing, setiap seorang tidak melepaskan peluang menyepak peha dan perut Hazman. Dia sudah terlalu lemah dan hampir pengsan. Kesemua lelaki itu meninggalkannya keseorangan di tepi tangga tu. Hazman terasa kejadian tu begitu pantas berlaku. Samseng-samseng yang memukulnya muncul dan menghilang dalam sekelip mata saja.

Beberapa minit Hazman tersadai di situ menahan kesakitan. Bibirnya sudah berhenti berdarah tapi masih terasa sakit. Lebih kurang 30 minit kemudian, baru dia terdaya keluar dari situ. Hazman sebenarnya terlalu takut nak keluar, bimbang kalau lelaki tu menunggunya di luar. Hazman keluar dari tepi tangga tu dalam keadaan terhincut-hincut.

Di gerai burgernya, Aboi sedang mengemas barang untuk berniaga. Dari tadi Aboi dalam kehairanan, kenapa gerai burger itu ditinggalkan kosong? Kebiasaannya kalau Hazman keluar pun, taklah lama sebegitu. Aboi terkejut apabila melihat keadaan majikannya itu.

“Bang! Kenapa ni?”

Hazman tak jawab. Sebaliknya dia menangis sambil duduk di tepi longkang. Semakin kuat tangisannya kerana menahan kesakitan dan kesedihan yang sedang ditanggung. Aboi tengok kecederaan Hazman agak teruk. Bibirnya pecah, mukanya bengkak dan kebiruan. Malah, Aboi nampak keadaan Hazman yang seakan susah nak bernafas.

“Bang Man, kenapa ni? Abang kena pukul ke?”

Hazman tak jawab juga. Malah dia hanya menggelengkan kepalanya.

“Sikit saja ni, Boi. Abang ok...,” Hazman berusaha untuk menyembunyikan keadaannya.

Aboi membantu merawat luka pada muka dan bibir Hazman. Darah dibersihkan dan luka pada bibirnya ditekap dengan tisu. Hazman membatalkan hasrat untuk berniaga dan meminta Aboi menghantarkan pulang ke rumah. Malangnya, apabila sampai ke rumah, satu lagi kejutan menanti pemuda itu. Hazman melihat ada beberapa orang lelaki yang dikenalinya sedang mengerumuni rumahnya. Mereka semua adalah jiran-jiran Hazman. Pemuda itu kehairanan yang amat sangat dan tidak terus turun dari van tetapi hanya memandang dari jauh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience