Chapter 53

Romance Completed 11698

ESOKNYA pagi-pagi, Syira, Nizar dan mak ayahnya sedang bersedia nak ke bandar, nak ambil borang universiti di pejabat pos. Sedang mereka bersiap, tiba-tiba ada kereta datang. Itu Cikgu Syikin dan dia seorang saja datang. Terkejut juga semua, apa halnya pula pagi-pagi ni. Rupanya Syikin nak beri borang universiti untuk Syira dan Nizar. Gembira mereka sekeluarga kerana Syikin begitu mengambil berat tentang keluarga mereka. Jadi tak payahlah mereka ke bandar, hingga Pak Din tukar baju semula nak ke kebun.

Pilihan pertama Syira adalah nak ambil jurusan undang-undang. Antara pilihannya adalah UKM, UM dan UIA, semuanya di kawasan sebelah Kuala Lumpur. Nizar pula nak masuk matrikulasi Sains, mana-mana pun tak apa. Cikgu Syikin menerangkan jurusan mana yang sesuai pada mereka. Mak Munah puji betul Cikgu Syikin, katanya tak pernah ada guru yang begitu prihatin sebegitu pada keluarganya.

Haryanti baru terima surat ada kursus di Johor Bahru selama tiga hari esok, ganti bosnya. Entah macam mana nama Haryanti yang naik. Tak apalah pergi saja, Haryanti kan dah biasa JB tu. Hari tu, Haryanti keluar ke sebuah pasar raya seorang diri waktu rehat tengah hari. Haryanti nak belikan hadiah pada Syira dan Nizar. Dulu Haryanti dah cadang lama nak belikan hadiah tu kalau Syira dan Nizar berjaya. Haryanti terpandang telefon bimbit yang harga tak terlalu mahal tapi baik. Lepas pilih-pilih, akhirnya Haryanti belikan dua, satu untuk Syira dan satu untuk Nizar. Niat Haryanti nak serahkan pada Syira dan Nizar di Johor nanti.

Malam itu, Hazman makan lewat sikit sebab dah janji jam 10.00 malam nak jumpa Khalil di Restoran Osman. Tiba-tiba dalam jam 9.30 Hazman dapat panggilan telefon daripada Khalil.

“Man, maaflah malam ni. Saya belum balik JB, ada kerja yang belum beres ni di luar daerah,” kata Khalil.

Khalil pun sebenarnya memang nak jumpa Hazman, nak tahu apa yang penting dia kata tu. Tentu ada sesuatu ni. Tapi waktu itu Khalil masih di Gunung Ledang dalam satu operasi melibatkan ajaran sesat. Khalil sendiri pun tak tahu kes tu boleh selesai dan dia tak boleh meninggalkan tempat itu selagi belum selesai. Kes berkaitan perbomohan yang meragukan dan melibatkan ramai pengikut. Sebagai ketua operasi, Khalil tak dapat meninggalkan lokasi selagi orang itu masih menjalankan kegiatannya.

Esoknya Haryanti bertolak dari KL pagi, sampai di kampung Hazman dalam jam 11.00 pagi. Haryanti telefon Syira tapi Syira ke bandar nak beli barang keperluan, bukan di rumah. Haryanti terus ke bandar dan jumpa Syira untuk serahkan hadiah itu. Haryanti tak menyangka yang Syira bersama ibu dan bapanya ke bandar bersama Syira. Tadi Haryanti lupa nak tanya, Syira seorang ke ramai. Haryanti tergamam bila bertentangan dengan mak dan ayah Syira. Teringat sangat lagi Haryanti, perkataan dan kata-kata mak dan Pak Din pada Haryanti seperti yang diceritakan oleh Syira padanya. Haryanti tergamam seakan mahu melarikan diri tapi tak boleh.

Tanpa diduga, Mak Munah memanggil Haryanti. “Haryanti... mari sini, nak.”

Haryanti terkejut dengan panggilan itu. Perkatan ‘nak’ itu menusuk ke jantungnya. Kemudian Mak Munah mendapatkan Haryanti dan memeluk Haryanti. Selepas itu Mak Munah menangis. Orang yang lalu lalang di situ nampak semacam ada satu drama.

Syira juga tak dapat menahan kesedihan bila melihat maknya dan Haryanti masing-masing berjurai air mata. Pak Din yang memerhatikan aksi itu turut sedih tapi tak sampai mengeluarkan air mata. Mereka pergi makan bersama, Haryanti yang belanja dan dia nampaknya riang hari itu. Tidak timbul dan tidak diungkit kisah-kisah lama yang boleh melukakan hati mana-mana pihak.

Pak Din tidak lagi pandang serong pada Haryanti, ibu Man pun begitu. Keseronokan dan kegembiraan anaknya yang dapat keputusan peperiksaan terbaik menyebabkan hati mereka sangat riang dan melupakan kisah silam yang sedih itu. Mak Munah dan Pak Din gembira kerana Haryanti sama-sama meraikan kegembiaan itu serta memberikan hadiah. Jamuan makan itu pun dianggap sebagai belanja kesyukuran.

Tapi Syira seakan tak lalu makan kerana dia rasa ada suatu yang tak lengkap. Di mana Hazman sekarang, sudah makan tengah hari ke belum? Alangkah gembiranya keluarga itu kalau Hazman ada di situ dapat makan bersama. Tapi bukan semudah itu.... Bolehkah ini berlaku?

Syira terlalu banyak terhutang budi pada Hazman. Entah berapa ribu kali Hazman terasa hati pada Syira. Dan berapa banyak wang ringgit yang Hazman sudah curahkan sehingga dia berjaya dalam perperiksaan dan bakal masuk ke universiti. Tidak dapat terbalas semua itu. Tapi bolehkah Hazman menerima satu hadiah istimewa kerana pengorbanan itu? Hadiah itu pasti mengembirakan Hazman iaitu....

Jiwa Syira begitu bergelora untuk mengeluarkan kata-kata yang sangat mahal itu di depan ayah, mak dan Haryanti. Mulanya Syira tahankan saja apa yang nak dicakapkan. Tapi rupanya tak boleh tertahan lagi, jiwanya memberontak.

“Mak, abah... Abang Man patut menerima satu hadiah istimewa daripada kita,” kata Syira menyebabkan semua terdiam.

Semua memandang ke arah Syira dan dengar betul-betul apa yang hendak Syira katakan.

“Mak, abah... hadiahkanlah Abang Man suatu yang mengembirakan dalam hidupnya,” kata Syira.

Semua sekali terdiam lagi.

“Hadiahkanlah kebahagian Man dengan menjodohkan Abang Man dengan Kak Haryanti...,” kata Syira.

Mak Munah dan Pak Din tunduk dan terdiam. Selepas itu nampak tangan bapanya mengesat air mata yang tidak berjaya dihalang untuk keluar. Haryanti kuatkan semangat walaupun dia sangat sedih dengan kata-kata Syira itu. Jauh di sudut hati, Haryanti rasa, masih ada orang yang masih mempertahankan cintanya dengan Hazman, iaitu Syira. Haryanti sudah tidak dapat mengawal kesedihannya, kemudian mengelap tangannya dengan tisu kemudian mencapai beg tangan dan bangun meninggalkan meja makan itu. Haryanti menuju ke tangga bergerak seorang diri untuk balik tanpa bersalaman atau berkata apa-apa kepada keluarga Hazman. Fikirannya buntu. Haryanti sebenarnya tidak mahu menangis di depan Mak Munah dan Pak Din, sebab itu dia terus bingkas bangun.

Syira mengejar Haryanti hingga ke satu tingkat ke bawah menaiki tangga bergerak.

“Kak Yanti. Maaf, Kak Yanti. Maafkan Syira dengan kata-kata Syira tadi,” kata Syira sambil memegang bahu Haryanti dari belakang. Haryanti memberhentikan langkahnya.

“Tak mengapa, Syira... itu luahan perasaan Syira. Sudahlah Syira, kakak tak terasa hati pun...,” kata Haryanti.

Syira memandang ke arah Haryanti yang nampaknya tidak menangis lagi, sebaliknya mukanya serius.

“Terima kasih kerana masih mempertahankan cinta itu. Jangan disebut-sebut lagi, Syira,” tegas Haryanti.

Syira terdiam dan Syira faham, kata-katanya tadi ada menyinggung perasaan Haryanti.

“Syira, mengenai jodoh dan masa depan kakak, kakak tak kisah. Kakak terima apa saja ketentuan Ilahi. Kakak terima semua itu dan doakan kakak tabah menghadapinya. Kirim salam pada semua. Kakak kena pergi ke JB sekarang. Kakak dah lewat ni,” kata Haryanti mengakhiri bicara seterusnya menuju ke kereta di tingkat bawah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience