Chapter 21

Romance Completed 11698

HARYANTI mematikan handphone selepas tidak menjawab dua kali panggilan daripada ketuanya. Selepas makan, dia terus tidur kerana mengantuk. Semalaman dia menghabiskan masa melawat Hazman di hospital. Dia hanya terjaga dari tidur dalam lewat petang. Mustahil baginya untuk balik ke JB dan masuk ke pejabat. Apabila handphone dihidupkannya semula, terdapat SMS daripada Azhar.

- Yanti, masuklah ke pejabat. Bos dah bising-bising ni!

Lagilah berserabut kepala Haryanti memikirkan perkara itu. Dia berdiri di tepi cermin tingkap memerhatikan pemandangan di luar termasuk bangunan-bangunan dan kenderaan yang bertali arus. Sambil itu, dia mengelamun mengenangkan nasibnya dan apa yang perlu dilakukan selepas ini. Nak tak nak, dia mesti menempuh hari-hari mendatang dengan baik.

Untuk melaporkan diri di Kuala Lumpur Isnin nanti, Haryanti langsung tak ada persediaan. Dia sepatutnya balik ke JB mengemas barang-barangnya. Kalau nak lapor diri, sekurang-kurang hari Ahad dia dah ada di KL.

Haryanti sakit kepala memikirkan semua urusannya yang masih belum selesai itu. Di KL nanti di mana dia nak tinggal? Kalau nak fikir mudah, rumah mak ayahnya pun memang di KL. Tak jauh pulak tu dengan tempat kerja. Rumah Azizah pun ada. Tetapi Haryanti tak mahu susahkan mereka semua. Dia lebih suka untuk tinggal dengan kawannya menyewa di Gombak. Biarlah jauh sikit dengan tempat kerja, yang penting ada ketenangan dan kebebasan.

Gadis itu masih memendam perasaan tak puas hati dengan pertukarannya itu. Kalau betullah keluarganya memainkan peranan dalam perpindahan ni, Haryanti hendak mereka semua tidak puas hati. Kalau mereka hendak dirinya senang dikawal di bawah ketiak ibu bapa dan adik beradik, dia berazam untuk menidakkannya. Haryanti nak duduk sendirian tanpa susahkan sesiapa. Juga tanpa dikongkong oleh sesiapa. Itu azam barunya apabila pindah ke KL nanti. Walaupun berat nak tinggalkan JB, Haryanti terpaksa akur. Dia tidak mampu bertahan di posisi pertahanan bila diserang pemain-pemain handalan dari setiap sudut.

Haryanti kuatkan semangat dan berazam untuk memulakan kerja di pejabat baru di KL nanti biarpun terpaksa tinggalkan teman-teman sepejabat di JB yang sudah dua tahun bersamanya. Mereka semua sungguh baik dan banyak membantunya selama dia di JB. Mereka banyak ajar Haryanti cara bekerja dan bergaul dengan masyarakat. Gadis itu mengakui yang dia dulu seorang yang kurang matang semasa mula-mula melangkah ke alam pekerjaan. Pengalaman bekerja di JB cukup bernilai kepada Haryanti.

Malangnya, pada hari terakhir ini dia buat hal pula di pejabat. Sedangkan sebelum ini dia merupakan seorang pegawai yang cemerlang di pejabat. Namun dia jadi begini, bermasalah dengan bos dan bermasam muka dengan kawan-kawan lain. Tidak! Tidak! Ini bukan kehendaknya. Mereka semua tak tahu masalahnya, kalau mereka tahu pun, bukanlah mereka boleh tolong pun!

Paling berat untuk Haryanti tinggalkan adalah Hazman dan gerai burgernya. Hazman adalah kekasih di hatinya. Kalau ikutkan hati, hendak saja dia terus di JB bersama Hazman. Walaupun selama ini mereka hanya bercinta, tapi Haryanti melalui hari-hari dalam hidupnya di JB dengan bahagia. Kehadiran Hazman di dalam hidup Haryanti tidak ada galang gantinya, tidak boleh ditebus dengan harta dan wang ringgit. Kalaupun hubungan mereka terhalang, kalau mereka tak dapat menikah sekalipun, mereka masih boleh berjumpa. Namun bila sudah berjauhan begini, Haryanti terasa begitu sedih dan terluka kerana terpisah dengan insan kesayangannya.

Menjelang lewat petang, Haryanti menuju ke hospital untuk menjenguk Hazman. Apabila tiba di bilik Hazman, dia disambut dengan gembira oleh ibu dan adik-adik lelaki itu. Syira menuju ke arah Haryanti di pintu dan memeluknya erat.

“Terima kasih, Kak Yanti. Terima kasih atas pertolongan Kak Yanti... Abang Man dah sedar!”

Haryanti melihat Mak Munah menangis sambil mengesat air mata. Dia faham tangisan itu adalah tangisan kegembiraan daripada seorang ibu yang satu ketika dulu pernah bertarung nyawa melahirkan seorang anak lelaki bernama Hazman.

Haryanti menuju ke katil Hazman dan berdiri sebelah kanannya. Hazman buka mata dan tangannya digerakkan seolah-olah hendak mencapai tangan Haryanti. Tetapi tiub-tiub yang dipasang pada tangannya menghalang. Mulut Hazman seolah-olah ingin bercakap sesuatu, mungkin nak memanggil nama Haryanti. Tetapi tiada suara yang keluar. Doktor sudah memberitahu kepada keluarga Hazman yang lelaki itu akan kehilangan suaranya dalam dua tiga hari akibat pembedahan yang dijalankan. Hazman cuba bangun, namun dia masih lemah dan tidak berdaya. Hanya matanya sahaja yang tak lepas memandang ke arah Haryanti yang berada di sisinya. Air mata Hazman mula mengalir.

Melihatkan keadaan itu, Haryanti tidak dapat menahan sebak dan rasa sedihnya. Walaupun dia sudah berjanji untuk kuatkan semangat, namun dia tak berdaya. Haryanti menangis sepuasnya melihat keadaan Hazman sebegitu. Lelaki yang sebelum ini sentiasa tersenyum dan bersikap ramah terhadap orang di sekelilingnya, kini terlantar tanpa suara. Tubuhnya pula semakin kurus dan lemah. Hati Haryanti bagai disiat-siat.

Bagaimanapun, gadis itu tetap gembira dan bersyukur kerana Hazman dah selamat. Dia benar-benar berharap Hazman dapat memaafkan dirinya dan keluarganya. Kerana dialah, lelaki itu sampai jadi begitu. Haryanti benar-benar dihimpit rasa bersalah.

Tak lama kemudian, Haryanti menerima satu panggilan telefon dari pejabatnya di JB. Dia meminta diri dan keluar dari bilik Hazman dengan segera. Dia serba salah untuk jawab atau tidak jawab panggilan kali pertama itu. Perasaannya berdebar-debar dan tertanya-tanya tentang siapakah yang memanggil itu. Tasim? Azhar? Noor? Atau ketuanya? Atau ada sesiapa yang lain pula di pejabat?

Kemudian sekali lagi telefon berbunyi, panggilan dari nombor yang sama, nombor pejabatnya. Kali ini, Haryanti menguatkan hatinya dan membuat keputusan untuk menjawab panggilan tersebut. Dia tak mahu terus berteka-teki tentang siapa yang membuat panggilan itu.

“Yanti, sebentar. Ada panggilan dari pejabat,” kata operator telefon wanita di pejabatnya.

Jantung Haryanti terus berdebar. Siapa pemanggilnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience