Chapter 44

Romance Completed 11698

AZIZAH seakan panik melihat Haryanti terus menangis dalam kereta. Tak lama kemudian, Puan Nisah dan isteri Kamal datang ke kereta menenangkan Haryanti. Haryanti yang daripada tadi mengunci diri dalam kereta akhirnya reda, dia masih waras, belum gila lagi. Haryanti memeluk ibu dan kakaknya. Azizah mengajak Haryanti balik ke rumahnya di Shah Alam tapi Haryanti kata dia nak balik Gombak seorang diri. Walaupun berat, Azizah terpaksa melepaskan. Haryanti terus ke rumah sewanya.

Sampai di rumah sewa, Haryanti terasa ada kekosongan dalam rumah tersebut. Keadaannya sangat berbeza kerana ketiadaan Nani yang baru kahwin. Kawan-kawan lain, nampaknya tak ada di rumah, kalau ada pun biasa duduk di bilik mereka saja, jarang nak berbual. Haryanti yang belum makan tengah hari dari tadi, pergi ke dapur makan roti saja. Itu sudah cukup untuk dia hari ni. Dia masih mengeluarkan air mata sambil makan. Dia keseorangan sekarang, tiada siapa nak pujuk.

Haryanti teringat masa dia sedang hangat bercinta dengan Hazman di JB, dia kuat merajuk. Pernah mereka bergaduh dalam telefon, semalaman bergaduh itu dia tak dapat tidur. Ingatkan macam dah putus hubungan, tapi esoknya Hazman telefon dan pujuk semula. Suatu hari tu mereka gaduh pasal Haryanti kata Hazman tak ada masa untuknya. Haryanti sampai kata, kalau Hazman sayangkan burger Man, kahwinlah saja dengan Minah Burger. Haryanti tengah berangin sampai dia keluarkan kata-kata macam tu. Haryanti terus tutup telefon hari tu, tapi bila dia buka telefon, dia baca SMS Hazman, hati Haryanti terpujuk juga. Hazman adalah permata hatinya waktu itu, tapi sekarang?

Haryanti terasa dirinya kosong yang amat sangat. Dia terus menangis sehingga tidak keluar air mata lagi. Kali ini bukan menangis kerana bapanya terlantar di hospital tapi menangis sebab perasaan marah dan benci pada Fuad. Malam itu, tidur Haryanti tak lena, pertengkaran dengan abangnya itu mengganggu tidurnya. Tapi Haryanti tak boleh ke mana juga, dia terpaksa tempuh hari esok dan seterusnya dengan kesabaran.

Syira dan Nizar menduduki STPM dan SPM hari Isnin itu. Sampai di pintu sekolah, Cikgu Syikin menyambut kehadiran pelajar-pelajar. Terkejut juga Syira dan Nizar, tak disangkanya Cikgu Syikin mainkan peranan seperti itu sebab hari tu dah cuti sekolah. Syira dan Nizar bersalaman dengan Cikgu Syikin. Kehadiran Cikgu Syikin ini benar-benar memberi semangat pada Syira dan Nizar untuk menjawab soalan perperiksaan.

Hazman masih berbelah bagi walaupun dia kata keputusannya untuk memutuskan hubungan dengan Haryanti adalah muktamad. Tapi hatinya kekadang menentang keputusan itu. Ini ditambah bila Hazman terbayangkan muka Khalil yang berubah serta merta bila Hazman buat keputusan itu. Lebih menambahkan kekusutannya, ke mana menghilangnya Khalil yang sebelum ini dalam seminggu ada dua, tiga kali datang beli burger di kedainya. Nak kata Khalil kecil hati, tak juga, mungkin ada sebab lain. Setiap malam sepanjang perperiksaan SPM dan STPM, Hazman telefon Syira dan Nizar sebagai pembakar semangat untuk terus mara ke medan juang.

Hazman kuatkan semangatnya untuk meyakinkan dirinya bahawa keputusannya berpisah dengan Haryanti adalah muktamad. Cara Hazman nak lupakan Haryanti adalah dengan bekerja dengan lebih kuat. Kali ini, dia mula jual air minuman pula untuk menambahkan pendapatannya yang dah bertambah itu. Nak kata penat, memanglah penat. Dari pagi lagi Hazman dah bersiap untuk bahan buat air seperti jus dan air batu. Tapi dia buat juga, dia tak mahu duduk diam sekarang. Itu cara Hazman melupakan masalah yang sedang dihadapinya.

Tuan Hashim duduk di hospital dalam seminggu, sekali pun lepas tu Haryanti tak melawat. Mak, abang dan kakak Haryanti tak kisah Haryanti tak datang melawat, mereka dah faham. Fuad pun sama, lepas hari tu, dia tak datang melawat, cuma isterinya saja ada datang sekejap-sekejap. Tangan ayah Haryanti yang patah tu, tidak dibedah sebab adik beradik sepakat tak nak dibedah. Mereka takut sebab darah tinggi dan jantung boleh memberi kesan pada pembedahan itu. Mereka mahu ubat cara tradisional saja, jumpa bomoh patah.

Haryanti dapat berita abahnya dah dibawa pulang, tapi Haryanti masih tak mahu datang melawat. Bukan Haryanti derhaka atau tak mahu menjaga bapanya, tapi Haryanti selalu terfikir yang Fuad akan datang dan berlaku pertengkaran lagi. Tak tahulah berapa banyak caci maki yang diucapkan oleh hati Haryanti pada Fuad.

Cikgu Syikin sedang buat master dalam bidang kaunseling di sebuat pusat pengajian tinggi di JB. Biasanya hari Jumaat, Syikin dah ada di JB kerana ada kelas hampir setiap Sabtu dan Ahad. Syikin teringat kisah abang Syira dan Nizar yang katanya berjaya sebagai penjual burger itu. Kebetulan, kalau di JB, Syikin tidur di rumah kakaknya di sebuah taman yang tak berapa jauh dengan tempat Hazman berniaga. Bila sampai di JB tu, Syikin nak cari gerai Hazman berdasarkan lokasi yang diceritakan Syira padanya. Dia pun masih ingat lagi dengan muka Hazman.

Syikin cikgu berijazah, baru kerja tiga tahun sekarang buat master. Syikin rasa, gajinya yang RM 2,000 lebih itu belum cukup untuk dirinya kalau ditolak duit kereta, sewa rumah, yuran pengajian dan lain-lain. Dia rasa nak sangat tengok Hazman berniaga yang katanya cukup mewah itu. Dalam hati Syikin, boleh juga dia berniaga kat depan rumah ke petang-petang jual burger kalau betullah pendapatan lumayan Hazman seperti diceritakan Syira. Sesekali terfikir juga Syikin, betul ke apa yang Syira cerita? Oleh kerana dah dekat dengan gerai Hazman, Syikin keluar malam itu dengan anak saudaranya yang masih sekolah.

Sekali lalu, Haryanti tengok ada empat gerai burger dan keretanya tak berhenti. Dia pusing keretanya sekali lagi dan kali ini berhenti di salah satu gerai burger itu. Dari jauh, Syikin percaya yang itulah gerai Hazman yang penuh dengan pelanggan itu. Kebetulan hari itu awal bulan, kerja kerajaan dan swasta baru gaji. Syikin pergi ke kedai itu untuk beli burger macam pelanggan biasa. Ada dalam tujuh, lapan pelanggan waktu itu, masing-masing pesan tiga, empat bungkus seorang.

“Mak Ikin, kedai ni burger dia sedap, adik selalu beli kat sini,” kata anak saudara Syikin.

Syikin pesan empat burger ayam untuk dibawa balik. Nak rasa juga, apa yang dikatakan sedap tadi. Syikin tengok, Hazman buat burger pantas macam lipas kudung, kira memang dah banyak pengalaman. Walaupun orang ramai tapi burger yang ditempahnya siap tak sampai 10 minit. Syikin yakin, Hazman tak perasan atau tak kenal yang dia tu cikgu pada Syira. Lagi pun hari masa jumpa kat sekolah dulu, Hazman bukan tengok sangat pun.

Betul kata anak sedaranya itu, burger Man memang sedap, rotinya lembut dan dagingnya masak elok saja. Sepuluh minit berada di situ, Syikin kira-kira, keuntungan Hazman sudah lebih RM 50 malah mungkin lebih. Syikin percaya apa yang diceritakan Syira tu benar. Esoknya lagi, Syikin keluar ke gerai burger seorang diri dalam jam 11.00 malam seakan tak boleh tidur kalau tak rasa burger Hazman. Kali ini tak ramai orang sangat, ada dalam dua orang saja. Bila dua pelanggan tu dah balik, tinggal Syikin seorang saya menunggu Hazman masak. Hazman pula peramah juga dan menegur Syikin.

“Tak pernah nampak pun, baru pindah sini ke?” tanya Hazman memulakan bicara.

Syikin seakan terkejut dan terkedu padamulanya tak boleh berkata apa-apa.

“Taklah, datang rumah kakak,” kata Syikin.

“Oh, patutlah, dari mana? Kerja mana?” tanya Hazman lagi.

Soalan itu memerangkap Syikin. Nampaknya dia tak boleh berselindung lagi, dia perlu berterus terang. “Ini Man abang pada Syira dan Nizar ke?” tanya Syikin semula secara spontan.

Hazman terkejut yang amat. Dia tenung muka Syikin tapi masih belum dapat jawapan yang pasti. Tapi sipi-sipi juga ada jawapan hasil tenungan itu. Hati Man berkata, ini mungkin juga cikgu Syira dan Nizar. Syikin yang bercermin mata dan cara berpakaian, nampak pun macam kerja cikgu.

“Syira dan Nizar adik saya. Ni siapa ye?” tanya Hazman.

“Saya Syikin, Cikgu Syikin, cikgu pada Syira dan Nizar.”

“Cikgu Syikin?”

Apa taknya, nama tu selalu disebut oleh Syira. Hazman ingat, Cikgu Syikinlah yang datang wawancara mak ayahnya sampai buat video. Timbul rasa hormat Hazman pada Syikin lepas tahu Syikin cikgu pada adiknya. Mereka terus berbualpanjang hari tu, di kerusi yang tersedia di sebelah gerai Hazman tu. Bermula dari topik pengalamannya mula kerja niaga burger hingga pada cerita sekolah adik-adik Hazman, lama juga mereka berbual sampai jam 12.00 malam, Syikin minta diri dulu.

Syikin memang seorang yang peramah dan tak berat mulut. Hazman nampaknya cepat mesra dengan Syikin, maklumlah Syikin mengajar di kampungnya. Habis diceritanya, kecualilah cerita pasal percintaan dengan Haryanti, itu Hazman tak cerita. Hubungan Hazman dengan Syikin terus rapat dan mesra. Hampir tiap minggu Syikin ke JB, pasti singgah dan berbual dengan Hazman. Hubungan mereka secara senyap juga, Syira di kampung pun tak tahu yang Cikgu Syikin ada jumpa abangnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience