Chapter 64

Romance Completed 11698

HAZMAN terus menangis sambil memandu, pemanduannya terganggu kerana teringat kejadian malam itu. Sungguh berat untuk ditanggungnya. Hazman rasa dia kena cepat ke Restoran Osman, bimbang nanti Khalil tertunggu-tunggu. Lagipun, itulah masa dan peluang untuk luahkan segalanya pada Khalil nanti.

Tetapi terfikir juga Hazman, bagaimana keadaan adiknya Syira dan Nizar. Adakah mereka sudah pulang ke rumah? Atau adakah mereka tak balik kerana merajuk? Jadi, ke mana mereka tidur malam itu? Adakah mereka terus pulang ke kampung? Risau Hazman dibuatnya...!

Hazman masih tertanya-tanya bagaimana Haryanti boleh ada di JB? Adakah gadis itu sudah pindah balik ke JB? Tidak mungkin rasanya. Atau mungkin jalan-jalan sehari dua di sini? Terbayang wajah Haryanti yang
cantik itu yang dulu jadi pujaan Hazman. Dan wajah Haryanti tidak berbeza, cuma nampak sedikit kurus.

Kereta Hazman menuju ke rumah kerana hatinya tak sedap kalau tak dapat tahu ke mana adiknya tidur malam itu. Sampai di rumah, nampak seperti ada orang di dalam kerana lampu ruang tamu terang. Hazman memberhentikan keretanya di luar pagar dan masuk ke dalam. Nizar yang sedar dengan bunyi kereta membuka pintu hadapan.

Rupanya Nizar belum tidur dan sedang menonton tv. Hazman dan Nizar tak berkata apa-apa. Hazman lihat pintu bilik kedua berkunci dari dalam. Dia percaya Syira ada di dalam dan mungkin sudah tidur. Hazman duduk di meja makan di ruang tamu dan minum segelas air masak, manakala Nizar baring saja depan tv tidak berkata-kata pun.

“Nizar, abang keluar kejap, nanti pintu kunci dari dalam tapi jangan selak,” pesan Hazman.

“Ok,” jawab Nizar ringkas sambil baring dan pandang ke arah Hazman.

Haryanti menelefon Nani sewaktu memberhentikan kereta di tingkat atas hotel.

“Sabar Yanti, sabar. Terimalah apa yang telah berlaku. Bertenang, jaga diri kau baik-baik...,” pujuk Nani.

Haryanti terus menangis teresak-esak dan sedih mendengar nasihat kawannya itu. Dalam sedu-sedan dia berkata, “Nani, aku tak dapat menyembunyikan perasaan sedih aku. Cuma aku cuba mengawal perasaan aku di depan adik-adik Man….”

“Aku faham perasaan kau. Aku tahu, ini terlalu berat pada kau. Tapi apa yang berlaku ini ada banyak hikmahnya yang kita sendiri tidak tahu.”

“Ya….”

“Mungkin hari ini Allah telah tunjukkan di depan mata kau dalam keadaan kau sedang berfikir sama ada hendak berpindah ke JB atau kekal di KL. Kalau tidak kerana kejadian ini, tak mustahil kau memilih berpindah ke JB. Jadi, aku rasa baiklah kau terus di KL, membina hidup dan masa depan kau dengan lebih damai dengan keluarga kau di KL.”

Haryanti terus menangis.

“Yanti, cintalah pada keluarga kita terlebih dahulu kerana macam mana pun, mereka adalah keluarga dan darah daging kita. Kau beruntung masih ada mak, ayah dan adik beradik, tak macam aku.”

“Tapi Nani... aku tak dapat menyembunyikan perasaan cinta aku pada Man. Walaupun aku berjauhan dan sudah tidak bertegur sapa, aku masih gagal melupakan dirinya. Dia pernah bertakhta di dalam hidup aku dan dia seorang yang...,” perkataannya terhenti di situ dan tak dapat meneruskan kata-kata itu. Haryanti terus menangis.

Hazman ke Restoran Osman, menunggu Khalil yang nampaknya belum sampai. Fikir Hazman, Khalil mungkin sedang sibuk dengan kerjanya walaupun jam sudah lebih 12.00 malam.

“Minum apa, abang?” tanya mamak sambil memegang kertas dan pen.

“Teh tarik!”

“Makan?” tanya mamak tu lagi.

“Mi goreng.”

“Mi goreng ayam?”

“Tak, biasa saja!”

Syira belum tidur lagi di dalam bilik. Malam itu Syira diselubungi air mata dan terlalu sukar melelapkan air mata. Tadi Syira sedar Hazman ada balik ke rumah dan dengar bunyi kereta Hazman. Abangnya keluar semula pun Syira sedar. Hancur remuk perasaan Syira malam itu. Rancangan asal Syira ke JB nak rapatkan Hazman dan Haryanti, kini Syira anggap hancur musnah. Berkecai semuanya...!

Syira kecewa, kenapa Hazman bersama dengan Cikgu Syikin dengan begitu mesra dan ditunjukkan pula di depan Haryanti. Itu tidak dapat dimaafkan terutama kepada Cikgu Syikin. Kenapa Hazman begitu biadap pada anggapan Syira? Syira terus simpan perasaan dendam pada Syikin. Dulu, Syikinlah yang menjadi pembimbing dan pendorong Syira dan Nizar sehingga berjaya jadi pelajar cemerlang di sekolah. Itu dulu, sekarang tidak. Sekarang, kenapa Syikin pula memusnahkah hidup keluarganya, kenapa? Kenapa ini berlaku?

Di sekolah, Syikin adalah antara cikgu terbaik dalam kalangan pelajar sekolah itu. Pengorbanan Syikin kepada anak-anak di kampung itu sangat tinggi dan banyak merubah prestasi pelajar di sekolah itu. Dalam lima tahun Syikin di sekolah itu telah meletakkan sekolah itu antara yang terbaik dalam SPM dan STPM dalam kalangan sekolah luar bandar. Mata pelajaran bahasa Inggeris dan Matematik yang diajar Syikin telah membuatkan pelajar mendapat keputusan yang tinggi dalam mata pelajaran itu. Dari mata pelajaran yang tidak disukai, telah membuatkan pelajaran bahasa Inggeris dan Matematik diminati pelajar.

Ini menyebabkan Syikin jadi kesayangan guru besar, guru dan pelajar, malah masyarakat di kampungnya. Sudah ramai anak murid Syikin yang berjaya sehingga ke universiti dan mendapat pekerjaan yang baik. Kesemua pelajar di kampung tidak akan lupa pada jasa cikgu yang juga pembantu kepada guru kaunseling di sekolah itu.

Tugas Syikin bukan hanya waktu sekolah sahaja, malah dia banyak buat kelas tambahan di luar waktu sekolah terutama waktu malam. Mungkin kerana bapanya seorang guru yang kini pesara, jiwanya dan profesion perguruan seakan sudah jadi darah dagingnya. Syira teringat yang Syikin sangat mengambil berat terhadap dirinya dan Nizar sehingga sanggup datang ke rumah berjumpa ibunya untuk membincangkan pelajarannya. Perkara ini bukan biasa berlaku kepada guru sekarang tapi kerana bapanya seorang guru sejak tahun 60-an sampai 90-an buat begitu, Syikin pun begitu.

“Kita ingatlah pengorbanan ibu bapa kita yang bersusah payah membesarkan kita dengan keringat dan air mata.... Kalau bapa kita seorang penoreh getah, mereka tak mahu anaknya jadi penoreh getah apabila besar nanti!”

Itu adalah antara rangkap-rangkap syahdu dalam ceramah motivasi Syikin semasa program motivasi anjuran pihak sekolah beberapa minggu sebelum peperiksaan tahun lepas.

Cikgu Syikin banyak berjasa pada Syira, Nizar dan ibu bapa Syira. Itu betul. Tapi adakah betul tindakan Syikin merampas abangnya daripada Haryanti? Tidak sama sekali, Syira akan menentangnya habis-habisan. Menyesal Syira perkenalkan Syikin dengan abangnya, menyesal sungguh. Tak sangka Syikin merampas cinta itu!

Syira faham, Haryanti sedang terluka sekarang. Tapi bagaimana Syira hendak memujuk gadis itu? Adakah dengan kejadian malam tadi akan menyebabkan terputusnya perhubungan Hazman dan Haryanti? Oh, tidak...!

Dalam jam 12.30, Syira ambil keputusan untuk menelefon Syikin. Hendak saja Syira memaki hamun. Itu yang terbaik yang Syira fikir malam itu. Biar Syikin takut dan rasa bersalah berkawan dengan abangnya. Harapan Syira, Hazman akan putuskan segera hubungan dengan Syikin. Syira mencapai telefonnya dan menelefon Syikin...!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience