Chapter 30

Romance Completed 11698

MALAM itu, Mak Cik Siah telefon Mak Munah. Dah tentu ada cerita baru dan menarik. Ya, Azura belum berpunya lagi. Jadi Mak Munah nak jodohkan Hazman dengan Azura, nampak secocok gitu ikut bahasa Indonesia. Kata Mak Cik Siah, dia dah beri sikit bayang-bayang pada Azura, tapi belum tepat lagi.

“Zura, macam mana kalau ada pemuda kampung ni nak masuk meminang Zura?”tanya Mak Cik Siah bila tahu Azura belum berpunya. Azura tersenyum malu, sesekali menutup mulutnya.

“Siapa tu, mak cik?” tanya Azura malu-malu.

“Nantilah mak cik beritahu lepas ni. Tapi orang kampung ni, kerja di Johor Bahru,” kata Mak Cik Siah.

Mak Cik Siah tak beritahu sepenuhnya pada Azura kerana Mak Munah pun belum tanya Hazman perkara ni. Manalah tahu, beritahu Azura tiba-tiba Hazman tak jadi pulak, haru juga.

Mak Munah sebenarnya rasa serba salah, bagaimana nak beritahu pada Hazman dan bilakah masa yang sesuai? Mak Munah berbincang dengan Pak Din di dalam bilik.

“Bang, macam mana kalau kita jodohkan Man dengan anak sedara Mak Cik Siah tu?”

“Baguslah tu. Saya sokong. Daripada dia dengan perempuan orang KL tu, lebih baiklah dengan orang kampung juga,” ulas Pak Din.

“Tapi macam mana nak beritahu Man? Saya rasa macam payah nak buka mulut pada Man tu!”

“Apalah yang payah sangat? Beritahu saja dia. Lambat-lambat nanti, Man dah balik JB lagi payah!”

Esoknya, waktu sarapan pagi, ketika Hazman seorang saja di meja makan, Mak Munah memulakan cerita.

“Man, ingat tak anak sedara Mak Cik Siah semalam tu. Kalau mak meminang dia untuk kau, kau nak ke?”

“Anak sedara yang mana ni?”

“Semalam tu, anak dara yang hidangkan makanan kat rumah Mak Cik Siah tu.”

“Oh, itu. Tak tahu nak cakaplah mak,” jawab Hazman.

“Man, janganlah menghampakan mak dah ayah, Man...,” kata Mak Munah. Tiba-tiba dia menangis dan mengesat-ngesat air mata dengan lengan bajunya. Hazman terdiam.

“Sebelum ni kau dah hampakan harapan mak nak jodohkan dengan anak kawan mak tu. Kali ni janganlah tolak, Man!”

Hazman terus diam.

“Man, kalau kau nikah cepat-cepat, ada juga orang yang jaga sakit pening kau. Kau tu belum baik sangat lagi. Mak bukan tak nak ikut kau ke Johor Bahru tu, nak tengok-tengokkan kau... adik-adik kau ramai kat kampung ni, nanti makan pakai abah dan adik kau tak ada sapa yang jaga,” kata Mak Munah lagi.

“Mak tengok anak sedara Mak Cik Siah tu baik, rajin menolong di dapur, pandai hormat orang tua, rupa pun ada. Sesuai dengan kau Man, mak dan ayah dah setuju semua sekali. Tunggu kau, Man...!”

“Tunggu Man? Mak, Man... Man serba salah, mak...!”

“Serba salah apa? Man masih mengharapkan Yanti?” soal Mak Munah.

“Man terkenangkan Yanti. Dia gadis yang pertama kali Man jatuh cinta. Mana mungkin Man nak lupakan Yanti....”

“Man, dengarlah nasihat mak...,” Mak Munah semakin deras mengeluarkan air mata.

“Mak nak anak mak bahagia. Tak kiralah siapa pilihan anak mak, tapi mak nak anak mak bahagia dan hidup tak ada masalah. Abah kau tak berkenan dengan Yanti dan mintak kau pulangkan duit tu!”

“Mak, jangan cepat buruk sangka dengan Yanti, dia gadis yang baik. Man percaya duit tu pemberian ikhlas daripada Yanti. Dia tak mintak apa-apa balas. Sebab tu Man tak pulangkan sampai sekarang,” jelas Hazman.

“Mak tiap hari memikirkan duit tu, sampai mak tak lena tidur malam. Mak tahu tujuan Yanti beri duit tu, sebab dia nak kahwin dengan Man, betul kan?” soal Mak Munah.

“Tidak, mak. Man tak fikir begitu. Yanti yang Man kenal, dia tak suka minta balas kalau menolong orang dalam kesusahan... mak, bagaimana Man boleh semudah itu nak merubah hati Man pada Yanti?” Hazman mula sedih.

Mak Munah kecewa dan sedih kerana hasrat nak jodohkan Hazman dengan Azura tidak berhasil. Sebagai seorang ibu, kalau anak kecil, bolehlah dipaksa atau dimarah. Tetapi Hazman dah besar panjang, dah boleh bawa diri sendiri. Oleh kerana hasrat Mak Munah begitu tinggi nak jodohkan Hazman juga, dia beritahu pula pada suaminya dalam usaha nak lembutkan Hazman.

“Lupakan sajalah perempuan KL tu, dia tak boleh membahagiakan kau...!” kata Pak Din dengan suara yang agak tinggi.

Hazman hanya mendiamkan diri. Dia tahu yang ayahnya sudah mula naik angin. Dalam hatinya terasa ingin memberontak.

Cara ayahnya itu bukan berbincang tapi seakan memaksa pula.

“Kerana perempuan tu, kau kena belasah kan?” marah Pak Din.

“Tidak, tidak...!” bantah Hazman sambil menggeleng.

“Tidak kata kau, Man?” tengking Pak Din lagi.

“Sabar, bang... tengah depan rezeki ni. Tak baik marah-marah macam tu,” kata Mak Munah yang kurang senang dengan tengkingan itu. Tapi Pak Din tak peduli semua itu, dia sudah naik angin.

“Anak sekarang, dari kecil mak bapak bela, sampai dah besar melawan cakap orang tua!” bentak Pak Din. Hazman terus senyap dan tak mahu berkata-kata lagi. Dia cuma menahan telinga saja, terimalah apa saja yang ayah dia nak kata.

“Kau kena pukul, nasib baik tak apa-apa. Kalau mati ke cacat ke, siapa yang susah! Kau tergila-gila sangat perempuan KL tu, pergilah, pergi, pergi! Kau nak keluar rumah pun pergi, pergi, pergi! Kalau kau susah nanti, jangan cari mak bapak!”

“Tak baik cakap macam tu, bang. Mengucap, bang...!” Mak Munah terus menangis.

Pak Din terus berhenti makan dan menghempas pinggan tapi tak berapa kuat. Dia naik ke atas rumah. Rupanya pertengkaran tadi didengari oleh Syira dan Nizar yang baru balik dari sekolah. Dalam bilik, Syira menangis sendirian. Dia tahu, apa punca pertengkaran itu dan inilah kali pertama dia lihat pertengkaran sebegitu dalam keluarganya. Hampir tak pernah Pak Din naik angin seperti itu sebelum ni. Syira tahu, ini ada kaitan dengan Haryanti.

Syira sedih sebab Pak Din menghina Haryanti sebegitu. Pada Syira, Haryanti perempuan yang baik. Syira ingat sangat kata-kata perangsang Haryanti supaya Syira belajar pandai-pandai sehingga berjaya masuk universiti. Sehingga sekarang, Syira dan Nizar berubah jadi pelajar yang rajin dan cemerlang di sekolah. Syira akan mengambil STPM dan Nizar pula SPM tahun ini.

Hazman keluar rumah dalam keadaan tergesa-gesa. Tak sempat Mak Munah nak menahan. Pak Din dan Mak Munah terkejut melihat Hazman yang memecut kereta di depan rumah macam nak terlanggar pokok kelapa saja. Hazman kecewa dengan ayahnya, kenapa dia yang dah besar ditengking sebegitu. Semua risau dan tak tahu Hazman ke mana. Hingga ke petang, dia belum balik-balik lagi. Ke mana Hazman menghilangkan diri?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience