Chapter 36

Romance Completed 11698

ESOKNYA, sebelah petang di pejabat, Razali masuk ke bilik Khalil.

“Tuan, empat orang penguat kuasa tu dah ada kat luar. Semua dah sedia. Boleh masuk ke, tuan?” tanya Razali.

“Nanti dulu, kamu duduk dulu.”

Razali duduk, sambil mengeluarkan buku catatan dan pen. Pada anggapan Razali, sudah tentu ada sesuatu yang Khalil mahu terangkan.

“Malam ni kita nak buat risikan, kes nikah Siam ni. Saya nampak ada beberapa aduan, siap nama dan nombor telefon agen nikah ni. Sampai mereka berani letak iklan di kereta dan di kedai makan. Dah jadi macam bisnes pula,” kata Khalil memulakan bicara. Razali mendengar dengan penuh teliti apa yang disampaikan itu.

“Sasarannya adalah orang lelaki yang nak kahwin dua, juga orang yang ada masalah berkaitan wali dan orang yang dah terlanjur. Saya rasa orang ini adalah orang yang sama atau rakan mereka juga. Ada satu aduan yang saya terima baru-baru ini, saya dapat nama dan nombor telefon dia. Bila saya tengok aduan yang kita terima sebelum ini, nombor telefon orang ini sama saja, cuma nama saja yang lain.”

Razali dengan penuh teliti mendengar dan membuat catatan.

“Jadi kita nak empat orang ini menyamar untuk dapat cerita lanjut mengenai kegiatan orang ni. Berlakon nak pergi bernikah, katakan wali tak izin. Kita tengok apa yang orang ini tawarkan. Saya nak dua perempuan dan seorang lelaki yang pergi jumpa secara berdepan. Kamu dan seorang lagi duduk jauh sikit di tempat tersembunyi sikit. Saya pun akan ada, tapi mungkin duduk dalam kereta saja, tak nak nampak muka...!”

Razali menganggukkan kepala dan terus membuat catatan.

“Lagi satu... orang ini dikatakan rapat dengan pejabat agama. Tak mustahil juga kalau dia staf pejabat agama. Bukan saya menuduh, tapi kita siasat dulu, kemungkinan itu ada. Ataupun, dia ada kawan rapat dengan orang di pejabat kita. Atau mungkin juga dia tak ada apa-apa hubungan dengan orang kita, tapi menggunakan nama kita saja. Jadi, saya nak kamu pastikan dan camkan muka orang ini.”

“Saya akan minta Puyoh, Salmah dan Zarah yang pergi jumpa orang tu. Saya dan Kamal akan duduk jauh sikit,” kata Razali.

“Puyoh? Siapa Puyoh? Orang kita ke?” tanya Khalil macam terkejut.

“Maaf tuan, Puyoh tu gelaran si Faiz.”

“Kenapa pulak orang panggil dia Puyoh?”

“Kawan-kawan yang beri gelaran kat dia masa sekolah sampai sekarang. Dia ni mulut banyak sikit, sebab tu orang gelar dia Puyoh,” terang Razali.

“Baguslah orang mulut banyak. Kamu ajar dia cara nak berlakon kejap lagi.”

“Baik, tuan!” kata Razali.

“Tadi saya dah telefon orang ni. Saya guna nama Hairul. Jadi nama si Puyoh tu kamu tukar jadi Hairul. Saya tak cakap panjang tadi, cuma saya kata saya ada masalah wali dan nak jumpa malam ni di kedai mamak pukul lapan malam. Pergi jumpa dan dapatkan maklumat saja, bukan nak buat apa-apa tangkapan malam ni,” jelas Khalil.

Razali kemudian keluar dan bertemu keempat-empat penguat kuasa untuk menjalani latihan berlakon. Malam itu, jam lapan malam, mereka sudah bersiap sedia menunggu di stesen minyak seperti dijanjikan. Tak lama kemudian, Khalil telefon dan meminta mereka berada di kedai mamak dan menunggu kedatangan lelaki itu. Khalil sekali lagi menelefon orang itu yang dikenali sebagai Ustaz Salleh. Tak lama kemudian, Salleh datang ke kedai itu seorang dan bertemu dengan seorang lelaki dan dua perempuan itu.

Khalil yang berada di tempat letak kereta, melihat lelaki itu memandu kereta berwarna merah dan mencatatkan nombor pendaftarannya. Setahu Khalil, Salleh yang dia lihat itu bukan bertugas di pejabat agama dan dia tak pernah melihat lelaki itu sebelum ini. Manakala Razali dan Kamal duduk di kedai itu di meja lain yang berjauhan sikit. Razali nampak, aksi dan gaya Puyoh yang berbual panjang dengan gaya dan pergerakan tangannya. Lebih kurang 30 minit, perbualan mereka tamat dan lelaki itu balik dengan menaiki kereta semula.

Khalil memberi arahan yang tugas sudah selesai dan meminta semua berkumpul di pejabat. Dari rakaman suara dan penjelasan ketiga-tiga penguat kuasa itu, betul dan sama seperti yang diceritakan oleh Hazman. Orang itu menawarkan perkhidmatan itu dengan bayaran RM 5,000. Urusan pendaftaran di pejabat agama, itu urusan sendiri.

Dalam tengah malam, Khalil ke gerai Hazman dan mengajak lelaki itu minum. Tiba-tiba saja, kenapa agaknya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience