Chapter 4

Romance Completed 11698

SETELAH menunggu lebih kurang sepuluh minit, Ajis sampai bersama pekerjanya. Muka Haryanti berseri-seri melihat kedatangan Ajis. Mungkin dia terlalu risau dengan keretanya. Hazman pula separuh hampa, terasa cepat sangat Ajis sampai. Dia masih belum puas menghabiskan masa menemani gadis impiannya itu.

Ajis segera memeriksa keadaan enjin dan mendapati ada air di dalamnya. Dia memandang Haryanti dan bertanya, “Tadi ada cuci enjin ke?”

“Ya. Dah lama tak cuci enjin, tu yang cuci sekali tadi,” jawab Haryanti.

“Hm, enjin ni jangan selalu cuci. Kena tengok tempat jugak. Kadang-kadang kedai cuci kereta ni tak mahir sangat. Habis masuk air dalam distributer, alternater atau stater. Tempat tu sensitif. Kalau tak pun, air masuk dalam plug, nanti saya tengok dulu.”

Ajis terus memeriksa satu persatu bahagian dalam enjin. Sekali-sekala dia bagi isyarat supaya pembantunya cuba menghidupkan kereta tapi masih gagal. Sudahnya Ajis buat keputusan untuk menunda kereta Haryanti ke bengkelnya.

“Macam nilah, Man. Jam pun dah dekat pukul tujuh ni, dah mula gelap. Nanti saya panggil kereta tarik datang, ni kena buat kat bengkel saya,” kata Ajis.

“Agak-agak ni bila boleh siap, sempat ke hari ni?”tanya Hazman.

“Macam nilah. Saya cuba baiki malam ni. Tapi kalau tak sempat kena buat pagi esok,” jelas Ajis.

Haryanti menganggukkan kepala tanda bersetuju. Hazman pula tak melepaskan peluang, segera mempelawa Haryanti naik keretanya. Manakala Ajis dan pekerjanya pula mengiringi kereta tarik yang datang ke situ. Di dalam kereta, sempatlah lagi Hazman berbual panjang dengan Haryanti. Akhirnya, tercapai juga cita-citanya untuk berkenalan dengan gadis idamannya yang dipanggil “Shiela Majid” itu.

Haryanti merupakan gadis berusia 26 tahun yang berasal dari sebuah negeri di utara.

Tetapi mak ayahnya sekarang tinggal di Kuala Lumpur. Haryanti telah berkhidmat di sebuah syarikat swasta terkenal di JB selama hampir setahun selepas menamatkan pengajian di peringkat ijazah. Sekarang di JB, dia menyewa dengan kawan satu pejabatnya.

Hazman juga turut menceritakan tentang dirinya tanpa berselindung. Sangkanya dia akan dipandang rendah, maklumlah dia hanya penjual burger yang mempunyai SPM. Sedangkan Haryanti pegawai tinggi yang memiliki ijazah. Sebaliknya, Haryanti memuji Hazman yang bersikap jujur dalam persahabatan.

“Yanti suka orang yang jujur dan ikhlas. Sebelum ini Yanti pernah kawan dengan seorang ni. Tapi dia tak jujur. Mengaku jadi kontraktor tetapi kerja biasa saja,” cerita Haryanti.

“Sekarang masih kawan lagi ke dengan lelaki tu?” Hazman bertanya separuh risau.

“Sekarang? Tak adalah, itu cerita lama. Tak perlu dikenang lagi.”

Hazman tersenyum lega. Sekarang dah confirm “Sheila Majid”nya itu masih belum berpunya. Lebih kurang 15 minit lebih perjalanan, mereka sampai di rumah Haryanti.

Hazman hantar sehingga sampai ke pintu rumah.

“Yanti, nanti kalau kereta siap Man telefon,” kata Hazman sebelum memberi salam.

Malam itu Ajis telefon, beritahu kereta dah siap. Semuanya RM 80 termasuk upah tarik kereta. Hazman yang bayarkan tanpa fikir dua kali. Kemudian, dia ajak Ajis hantar sehingga ke rumah Haryanti. Hazman naik Waja, manakala Ajis pula bawa Satria. Sampai di bawah, Hazman telefon Haryanti. Haryanti terkejut bila tengok keretanya dah siap dalam masa yang sekejap saja.

“Kereta ni tadi masuk air dalam distributer. Saya dah buka dan cuci. Sekarang semua dah ok,” jelas Ajis kepada Haryanti.

“Terima kasih. Berapa upah semuanya? ”tanya Haryanti sambil tersenyum.

“Tak apa. Man dah bayarkan,” kata Ajis sambil meminta diri.

Haryanti sempat menghulurkan duit pada Hazman tapi tak bersambut. Sambil masuk ke dalam keretanya dia berkata, “Tak apa. Sikit saja ni.”

Beberapa minit kemudian di gerai burger, Hazman dapat sms daripada Haryanti.

- Terima kasih kerana sudi membantu saya.

- Maaf kerana sanggup luangkan masa bantu saya.

- Terima kasih kembali.

Daripada situ, bermulanya perkenalan mereka seterusnya sehingga menjadi pasangan kekasih. Haryanti seorang pegawai tinggi yang ada ijazah. Hazman pula cuma seorang penjual burger yang ada SPM saja. Namun selepas beberapa bulan mereka berkawan rapat, akhirnya mereka rasa ada keserasian untuk membina rumahtangga bersama. Haryanti pilih bukan harta dan jawatan, tapi kesetiaan dan kejujuran. Dia percaya, Hazman boleh menjadi suami yang baik dan dapat membimbing dirinya sebagai isteri.

Suatu hari, anak kepada mak saudara Hazman buat majlis kerja kahwin di kampung, iaitu di sebelah rumah Hazman. Dia jemput Haryanti datang. Gadis itu datang dengan kawan serumahnya. Sempat Hazman perkenalkan Haryanti dengan ibunya. Sempat pula minum kopi di rumah Hazman.

Mak Munah tak menghalang pilihan anak sulungnya itu. Sebagai seorang ibu, yang penting adalah hendak melihat anaknya hidup bahagia. Haryanti pula seorang yang peramah dan cepat mesra. Walaupun baru sehari berjumpa, seakan sudah kenal lama. Gadis itu boleh sesuaikan dirinya dengan suasana kampung walaupun berasal daripada bandar.

Keesokan harinya, selepas sampai di rumah sewanya di JB, Hazman menelefon ibunya. Mak Munah kedengaran ceria dan gembira dapat berkenalan dengan Haryanti. Malah, ibunya itu memuji Haryanti sebagai gadis yang cantik dan pandai mengambil hati orang tua. Sombong jauh sekali.

Hazman menyatakan hasrat kepada ibunya untuk meminang Haryanti tak berapa lama lagi. Mak Munah serta-merta setuju.

Namun, Hazman tidak tahu yang perjalanan hidupnya bersama Haryanti bukan semudah itu. Masih ada banyak lagi jalan dan halangan yang perlu ditempuhi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience