Chapter 68

Romance Completed 11698

TIDUR Haryanti malam itu ditemani dan diselubungi air mata syahdu. Haryanti tak tahu berapa titis air matanya mengalir sehingga membasahi bantal dan tuala yang dikesatnya. Kawannya di katil sebelah tahu sesuatu telah berlaku pada Haryanti tapi tidak menegur gadis itu. Sekali fikir, Haryanti menyesal datang ke JB untuk berkursus kalau inilah peristiwa hitam yang dia dapat di JB.

Sukar untuk dia menyembunyikan dendam cintanya pada Hazman walaupun sudah kira-kira setahun mereka terpisah dan dipisahkan. Perpisahan ini tidak pernah disahkan oleh dua insan bercinta ini. Fikirannya sekali lagi berserabut kerana memikirkan tawaran bos lamanya di JB yang disampaikan oleh Azhar dan Tasim. Timbul semula kemarahan di hati Haryanti kepada sesiapa yang bertanggungjawab menukarkannya dari JB ke Kuala Lumpur setelah dia selesa hidup di JB. Adakah ini tindakan Fuad atau Kamal, atau adakah abahnya? Dendam Haryanti kepada mereka semakin membara dan dia tidak akan memaafkan mereka walaupun darah dagingnya sendiri.

Haryanti tak dapat agak, jam berapa dia mula terlelap setelah menangis semahunya. Akhirnya, matanya terlelap juga, menutup tirai hari yang mencatatkan peristiwa hitam itu.

Keesokannya, Hazman terjaga awal dalam 6.00 pagi lalu menunaikan solat subuh. Hazman menangis teresak-esak sewaktu solat itu, dia tidak dapat mengawal air matanya. Dalam doanya selepas solat, Hazman menangis lagi semakin deras, sambil menadah tangan. Doa Hazman mencurahkan segala isi hatinya kepada Allah yang Maha Kuasa.

“Ya Allah... Kau tabahkan hati hamba-Mu ini. Hamba-Mu ini adalah insan yang kerdil yang perlukan pertolongan-Mu, Ya Allah...! Ya Allah, bantulah hidupku yang serba kekurangan ini. Selamatkanlah ibu bapaku, keluargaku, adik-adikku. Ya Allah, berikanlah ketabahan dalam hidupku menempuh segala kesusahan ini. Hamba-Mu selama ini sering leka dan alpa. Ampunkanlah segala dosaku, Ya Allah. Engkaulah tempatku berserah diri. Amin.”

Hazman keluar bilik dan melihat adik-adiknya sudah bangun dan solat subuh. Bilik Syira juga terang lampunya dan sekali sekala Hazman dengar Syira batuk. Dalam jam 7.00 pagi, Hazman keluar jalan kaki di depan sikit rumahnya untuk beli sarapan pagi. Mak cik itu berniaga sarapan pagi depan rumah di taman itu setiap pagi. Hazman beli nasi lemak, mi dah kuih untuk adik-adiknya sebelum Hazman meninggalkan rumah, Hazman nak berkursus hari itu.

Hampir 7.30, Hazman masuk ke bilik pakai baju Melayu lengkap. Hazman dengar Syira ada di ruang tamu dan berkata sesuatu dengan Nizar. Hazman memasang telinga, mendengar apa yang dibualkan mereka.

“Nizar, cepat! Kita balik kampung sekarang!” kata Syira.

Nizar macam malas nak jawab, tapi lepas tu Syira ulangi sekali lagi, “Cepat, Nizar! Pergi kemas baju! Kita balik sekarang!”

“Tak naklah... Nizar nak duduk sini!”

Hazman terus dengar perbualan itu dari dalam bilik dan Hazman tak mahu keluar lagi.

“Kenapa tak nak? Nizar! Kita datang sini pun kakak yang ajak. Ni kau dah sampai sini, tak nak balik pulak!” marah Syira. Nizar terus diam dan baring lagi depan tv.

Hazman terasa ada yang tak kena dengan adiknya itu dan dia keluar dari bilik dengan pakaian baju Melayu. Syira terdiam bila Hazman ada. Hazman nampak Syira sudah siap dengan pakaian dan beg untuk balik ke kampung. Nizar pula masih belum mandi.

“Kenapa nak balik cepat sangat, Syira? Tunggulah dulu, tengah hari atau petang,” kata Hazman. Tapi Syira tak jawab apa-apa. Malah, Hazman nampak reaksi Syira yang tak mahu bercakap dengannya.

“Baru sangat lagi kat sini. Kat kampung pun bukan ada apa,” jawab Nizar sambil duduk bersila.

“Kita pun tak sempat keluar lagi. Abang ada hal sikit pagi ni, tak boleh bawak kau jalan-jalan JB. Nanti petang baru abang ada masa,” kata Hazman seakan mahu memujuk Syira yang sudah masam mencuka itu.

“Tak, Syira nak balik sekarang! Tak apa, kalau Nizar tak nak balik pun tak apa, Syira boleh naik teksi dan bas sendiri!” bentak Syira.

Sambil itu, Syira mengangkat beg pakaiannya dan hendak menuju ke pintu depan serta-merta. Hazman terus ke pintu dan menghalang Syira. Hazman berhadapan dengan Syira dan memegang kedua bahu Syira kiri dan kanan. Syira berhenti dan tidak kata apa-apa. Hazman tenung muka Syira, tenungan yang penuh dalam ertinya. Syira pula tunduk memandang ke bawah. Kemudian air mata Hazman gugur lagi. Hazman sedih kerana Syira tidak memahami perasaannya dan tingkah laku Syira itu menambah tekanan pada dirinya.

“Syira, maafkan abang kalau abang ada buat salah pada Syira, maafkan abang...,” kata Hazman.

Suasana di dalam rumah itu senyap dan sunyi sepi. Hazman mula menangis, mulanya sikit, kemudian jadi banyak seperti budak kecil menangis. Hanya esakan tangisan saja yang menemani suasana dalam rumah pagi itu. Melihat keadaan sedih itu, Nizar berdiri belakang kakaknya yang sedang menangis
itu dan meminta kakaknya duduk di sofa. Kali ini, Nizar juga tidak dapat menahan air mata, Nizar turut menangis. Nizar tahu apa pergolakan yang sedang berlaku yang berat untuk diselesaikan.

“Syira, Nizar... maafkan abang kalau abang salah,” kata Hazman sambil mengesat air matanya dengan tangan. Semuanya senyap seketika.

“Nizar, kau baliklah sekarang, teman kakak balik naik bas. Nanti lepas ni boleh datang lagi. Makan dulu sarapan tu, nanti abang hantar kau berdua ke Larkin.”

Nizar terpaksa akur sebab itu kata-kata abangnya. Lepas sarapan, Hazman hantar kedua-dua adiknya ke Stesen Bas Larkin. Dalam kereta, Hazman dan adik-adiknya sikit pun tak berbual. Hazman pasang radio kuat juga bila tahu seorang pun tak mahu berbual. Hazman faham, masing-masing ada perkara yang mahu dipertahankan dan melibatkan perasaan masing-masing.

Kursus di Hotel Seri Malaysia

Hazman tiba di Hotel Seri Malaysia Larkin dalam jam 8.10, kira sudah terlewat 10 minit. Hazman tergesa-gesa berjumpa urus setia, namanya Hafiz, Ustaz Hafiz.

“Maaf ustaz, saya terlewat tadi, ada hal penting,” kata Hazman pada Hafiz sambil termengah-mengah.

“Okey, tak apa, penceramah pun baru lima minit masuk,” kata Hafiz.

Ceramah itu adalah Kursus Pra Perkahwinan dianjurkan oleh satu syarikat dengan kerjasama Jabatan Agama Johor. Hazman masuk ke dalam dewan dan duduk di belakang sekali sebab dia dah terlewat. Penceramah sudah memulakan ceramahnya dan Hazman tercari-cari seorang wanita dalam kursus itu. Tapi Hazman tak nampak wanita itu dalam dewan. Wanita itu, tidak lain, adalah Syikin yang datang dengannya berkursus sejak semalam, tapi hari itu Syikin tak muncul. Hazman berserabut dan hantar SMS pada Syikin tapi tidak berjawab.

Tumpuan Hazman pada kursus sudah hilang dan Hazman keluar seketika untuk menelefon Syikin. Malang bagi Hazman, panggilan itu tidak berjawab. Ustaz Hafiz memerhatikan Hazman menelefon tadi seolah-olah memberi isyarat supaya dia masuk ke dewan semula kerana ceramah sedang berjalan. Hazman masuk ke dewan
dan sekali lagi memerhatikan seorang demi seorang peserta perempuan yang lebih 50 orang itu, Syikin memang tak ada, betul tak ada. Hazman jadi tidak tenteram kerana, mengikut taklimat Ustaz Hafiz semalam, kalau tertinggal satu ceramah saja, sijil kursus akan ditahan.

Tidak lama kemudian, kursus berhenti minum sarapan pagi. Hazman segera bertemu Ustaz Hafiz di meja urus setia.

“Maaf ustaz, kawan saya Syikin tak dapat hadir, bagaimana ustaz?” tanya Hazman.

“Kenapa tak hadir?” tanya Hafiz pula.

“Tak tahulah. Masalahnya saya telefon, dia tak jawab,” kata Hazman.

Hazman terdiam seketika sambil tangan kanannya terus mendail telefon untuk meyakinkan Ustaz Hafiz.

“Ustaz, kalau kawan saya tak datang hari ini macam mana? Tadi dia tak masuk, slot selepas ini pun saya tak tahulah dia dapat datang atau tidak... kalau macam ni ustaz, saya pun tak nak masuk kursus lagi, saya pun nak balik…!”

“Bawa bertenang, cuba selesaikan satu persatu. Kalau kawan encik tak dapat hadir kursus, nanti dia kena datang lagi ceramah yang dia tak datang. Tapi encik kena teruskan kursus, tinggal sikit lagi nak habis, sampai tengah hari ni saja,” kata Hafiz.

Hazman akur juga dan teruskan berkursus seorang diri. Ramai peserta kursus lain nampak ceria berkursus tapi tidak bagi Hazman. Kursus kahwin? Ya, Hazman rahsiakan dia pergi kursus perkahwinan bersama Syikin. Ustaz Khalil yang memintanya hadir kursus di situ Sabtu dan Ahad.

Apa kena mengenanya Hazman pergi kursus bersama Syikin? Apa kaitan mereka berdua? Adakah Hazman nak kahwin dengan Syikin? Persoalan ini belum terjawab... Hazman rahsiakan. Hanya Khalil saja yang tahu.

Soalnya sekarang, ke mana menghilangnya Syikin pagi ini? Dia terus tak datang kursus sehingga kursus tamat. Dah tentu dia tidak akan menerima sijil selagi dia tidak menggantikan empat ceramah yang dia tak masuk hari itu pada hari lain.

Hazman tahu, punca Syikin tak hadir adalah kerana terasa hati yang amat sangat pada Hazman malam tadi di Angsana. Hazman tahu, betapa marah dan tak boleh terimanya Syikin apabila mengetahui Haryanti adalah kekasih atau bekas kekasih Hazman. Hazman juga tak tahu apa kandungan SMS yang adiknya, Syira hantar pada Syikin malam tadi. Mungkin juga itu yang menyebabkan hati Syikin boleh berubah atau terguris.

Apa kesudahan cerita ini? Bagaimana? Betulkah Hazman nak nikah dengan Syikin? Bagaimana pula cinta lama yang belum padam antara Hazman dan Haryanti? Bagaimana pula penerimaan Syira dan ibu bapa Hazman terhadap Syikin?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience