Chapter 9

Romance Completed 11698

SAMPAI di JB, Hazman terus bersiap nak berniaga macam biasa. Walaupun cuba bersikap seperti biasa, sebenarnya dia sedang gelisah dan risaukan Haryanti. Haryanti sebenarnya tidur di rumah kawan satu universitinya dulu. Dia cuma nak cari ketenangan untuk seketika. Haryanti ambil cuti sehari pada hari Isnin dan balik ke JB sebelah petang. Dalam bas, dia menghantar SMS Hazman.

- Man, apa kabar? Boleh ambil Yanti di Larkin dalam pukul 4 ni?

Hazman yang terkejut dan bersyukur apabila menerima SMS itu, terus berjanji akan mengambil Haryanti. Petang itu setelah menjemput kekasihnya itu, mereka pergi ke Stulang Laut, makan mi rebus Johor. Di situ, Haryanti berterus terang dengan Hazman yang keluarganya menentang hubungan mereka. Hazman yang pada mulanya lapar dan sangat suka makan mi rebus Johor, tiba-tiba saja terasa kenyang dan tak lalu makan.

Hazman termenung seketika sebelum berkata, “Man faham kedudukan keluarga Yanti. Bapa Yanti orang kaya, adik beradik Yanti semua belajar tinggi-tinggi dan kerja hebat-hebat. Tak macam Man. Man penjual burger cabuk. Keluarga Man pun orang kampung, bukan orang kaya. Man sedar siapa diri Man.”

“Tak, Man! Yanti tak pernah kisah semua tu. Man tak patut rasa rendah diri. Man berjaya dalam berniaga ni. Keluarga Man pun semuanya orang-orang yang baik,” pujuk Haryanti sambil memberi perangsang untuk Hazman meneruskan perhubungan mereka.

“Apa keluarga Yanti kata pasal Man?”

Haryanti tak jawab soalan itu. Sambil menggelengkan kepala, dia sebaliknya bertanya soalan lain kepada Hazman.

“Man, sudikah Man berkorban untuk Yanti dan sehidup semati dengan Yanti?”

Kali ini Hazman berhati-hati untuk bagi jawab. “Yanti pula macam mana? Sanggupkah Yanti berkorban untuk Man dan sehidup semati dengan Man pula?”

Haryanti tergamam apabila soalan itu dikembalikan semula kepadanya. Dia mengeluh kecil sambil memandang ke arah air laut dan melihat ke seberang laut yang kelihatan sebahagian Singapura. Haryanti melihat jambatan dan aliran kereta yang tidak henti-henti di atas Jambatan Tambak Johor itu. Dalam hatinya terdetik, kalau orang Johor, Malaysia dan Singapura yang berbeza negara pun boleh hidup harmoni, inikan pula orang Malaysia, sesama bangsa Melayu.

“Man, kalaulah Yanti ke Singapura, adakah Man nak ikut Yanti? Man sanggup berkorban untuk Yanti?”

Hazman tahu, Singapura itu hanya perumpamaan. Dia tersenyum sambil turut memandang ke arah jambatan Tambak Johor.

“Ya, Man sanggup, Yanti! Tapi Man tak mahu rasa bersalah dan dipersalahkan.”

“Apa yang rasa bersalah dan dipersalahkan tu, Man?” Haryanti bertanya kehairanan.

“Man rasa Yanti pun tahu. Kalau Man ambil Yanti sebagai isteri, Yanti akan dibuang keluarga Yanti. Sanggupkah Yanti membelakangkan mereka? Man tak sanggup nak tanggung beban kesalahan tu, Yanti.”


“Man, kenapa keluarga Yanti seksa perasaan Yanti? Kenapa mereka nak halang Yanti untuk bahagia? Kenapa, Man?” Haryanti mula sebak.

“Man ni penjual burger tepi jalan, Yanti. Orang pandang macam tak ada masa depan, ibarat sampah masyarakat,” jawab Hazman. Hatinya terasa perit.

“Man... Man tak sepatutnya rendah diri macam tu! Apa kurangnya peniaga burger macam Man? Orang yang berjawatan besar, belum tentu dapat membahagiakan Yanti,” tegas Haryanti.

Mereka pulang ke rumah awal sebab Hazman nak berniaga malam tu. Pertemuan mereka hari itu, Haryanti menyatakan hasrat untuk kahwin lari dengan Hazman. Bagaimanapun, Hazman keberatan.

Pengorbanan ini terlalu mahal. Adakah kerana inginkan sebuah perkahwinan, Hazman sampai terpaksa memisahkan Haryanti dengan ibu, bapa dan keluarga gadis itu. Adakah mereka akan bahagia selepas kahwin tanpa restu keluarga nanti? Sebagai lelaki, Hazman masih boleh berfikiran waras. Dia mahu berbincang dengan kedua-dua ibu bapanya terlebih dahulu kalau itu yang benar-benar Haryanti mahu.

Haryanti pula menganggap, tidak ada jalan lain selain kahwin lari dengan membelakangkan keluarganya sendiri. Dia tak mahu kehilangan Hazman. Haryanti yakin, tidak ada orang lain yang boleh menggantikan Hazman dalam hidupnya. Mana mungkin dia boleh tertambat dengan lelaki lain setelah hatinya dicuri seorang jejaka kacak bernama Hazman.

Kejelitaan Haryanti menjadikan dia mempunyai ramai peminat. Ramai lelaki ingin mendekatinya sama ada yang bujang ataupun yang dah beristeri. Tetapi dia anggap mereka sebagai sahabat sepejabat dan kenalan biasa saja. Tidak seperti Hazman, Haryanti sudah letakkan lelaki itu di singgahsana yang tinggi di ufuk cintanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience