Chapter 50

Romance Completed 11698

“SEBELUM tu, kakak suka kalau Badrul berterus terang,” kata Azizah.

Badrul terdiam seketika, seakan kurang faham apa yang dimaksudkan Azizah.

“Begini, Badrul.... Kakak nampak Badrul dan Haryanti sesuai sebagai pasangan hidup. Apa pendapat Badrul?”

Badrul tersenyum kerana tak menyangkan Azizah kata begitu padanya. “Tapi kak, Badrul risau kalau cinta Badrul tak berbalas....”

“Apa maksud Badrul? Tak berbalas?”

“Sepanjang Badrul kenal Yanti, dia sering menolak kalau diajak berbual pasal cinta. Apatah lagi cerita pasal nak jadikan sebagai pasangan hidup,” luah Badrul.

Azizah senyap seketika kerana tekaannya tak berapa tepat. Dia sangka Haryanti dan Badrul sedang bercinta, rupanya bukan begitu. Azizah terdiam seketika dan memikirkan yang cinta Haryanti pada Hazman tu masih kuat. Tapi sikit pun Azizah tak cerita pasal Mat Burger pada Badrul, bimbang Badrul tawar hati. Kemudian Azizah berkata, “Badrul tak nak masuk meminang Haryanti?”

“Meminang? Mengarutlah. Persetujuan daripada Haryanti pun belum, takkanlah nak masuk meminang...!”

Terdiam sekali lagi Azizah, betul juga. Nanti boleh jadi malu rombongan meminang kalau pinangan ditolak. Orang sekarang meminang bukan macam orang tua lama. Dulu lain, dulu main pinang-pinang saja kalau berkenan. Kekadang perempuan tak kenal pun bakal tunang, cuma tengok gambar saja.

Pertemuan Azizah dan Badrul hari tu seakan tidak ada yang dapat dibawa balik. Azizah buntu kerana kurang berjaya untuk membuka jalan supaya menjodohkan Badrul dan Haryanti. Cuma Azizah masih berharap kalau Badrul dan Haryanti lama kelamaan akan semakin rapat dan bercinta, kemudiannya berakhir di pelamin. Entah bila, lama ke sekejap, itu tak tahulah.

Keadaan Fuad terus koma dalam seminggu tu. Dia dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur. Walaupun dekat, Haryanti langsung tak jenguk. Sebulan lepas tu, Fuad dibenarkan keluar tetapi dia tak boleh berjalan. Kedua-dua kaki dan tangannya yang patah masih belum sembuh. Percakapan Fuad sudah bukan macam biasa lagi, kesan kecederaan pada kepalanya. Fizikal Fuad sudah banyak berubah, daripada seorang lelaki yang garang dan bengis, sekarang jadi pendiam kerana perkataan yang keluar dari mulutnya sudah seakan tidak difahami orang lain. Kekadang terutama semasa tidur, Fuad sentiasa meracau, mungkin akibat kesan kecederaan di kepalanya.

Cikgu Syikin dan Hazman masih meneruskan hubungan intimnya setiap hujung minggu hari Jumaat, Sabtu dan Ahad. Syikin ada cerita pada Syira yang dia jumpa Hazman di JB tapi tak cerita lebih dari itu. Oleh kerana rapatnya Syira dan Syikin di sekolah, Syira tidak ada rasa marah lagi pada Syikin dan Hazman.

Keputusan perperiksaan SPM dan STPM akan diumumkan serentak beberapa hari lagi. Syira sudah berhenti mengajar sebagai guru ganti sebab tiada kekosongan lagi. Nizar pun sudah balik kampung seminggu lebih awal dan berhenti sekejap menjual burger. Hampir setiap malam Syira dan Nizar solat hajat, moga dikabulkan cita-cita untuk dapat kejayaan dalam peperiksaan mereka. Tidak ketinggalan, Syira dan Nizar mohon doa semoga abangnya bahagia dunia akhirat dan mendapat dijodohkan dengan seorang isteri yang baik.

Hari keputusan SPM dan STPM pun tiba. Nizar dan Syira ke sekolah pagi-pagi lagi. Mulanya Syira tertanya-tanya, di mana Cikgu Syikin? Mungkin ada kelas. Bila masuk ke bilik guru, semua guru ucapkan tahniah pada mereka. Syira dan Nizar hairan juga sebab masih belum tahu keputusannya. Berdebar sungguh rasanya bila masuk ke pejabat tu.

Bila tengok keputusan, sungguh menakjubkan. Keputusan itu di luar jangkaan sekali, kejayaan luar biasa buat Nizar dan Syira. Betul, mereka pelajar paling cemerlang dalam STPM dan SPM. Sejarah tercatat kepada kedua-dua adik beradik itu. Nizar dan Syira berpelukan sambil diperhatikan dengan gembira oleh guru dan beberapa pelajar lain.

“Nizar... kakak nak telefon Abang Man dulu. Nak sampaikan berita gembira ni,” kata Syira sambil keriangan.

Baru saja Syira nak telefon Hazman, dia dihampiri dan diserbu kawan-kawannya yang mengucapkan tahniah padanya. Sehingga Syira terlupa nak telefon kerana sibuk melayan kawan-kawan dan guru-guru. Lepas tu, Syira dan Nizar melangkah ke luar pagar menuju motosikal yang diletakkan dekat dengan pintu masuk pagar sekolah. Tiba-tiba, Syira dan Nizar terkejut, terkejut yang amat sangat!

Dilihatnya Hazman dan Cikgu Syikin berdua menyambut Syira dan Nizar dengan senyuman di luar pintu pagar sekolah. Syira dan Nizar terdiam, terkejut dan terpaku.

“Tahniah!” kata Syikin. Hazman pun turut senyum bersebelahan Syikin.

Hazman pula tak kata apa-apa terus tersenyum keriangan. Syira tak jawab lagi, dia masih tertanya-tanya. Kenapa Hazman ada di situ? Kenapa balik di kampung tak singgah rumah? Apa yang sangat menghairankan, Cikgu Syikin dan Hazman bajunya sama warna iaitu biru tua. Syira tahu, itu baju baru sebab dia tahu semua baju lama Hazman. Apa ini semua? Sungguh hairan.

Syira dan Nizar memeluk Hazman sambil menangis, menandakan kepuasan yang amat sangat atas kejayaannya. Selepas itu Syira memandang ke arah Cikgu Syikin dan Syira masih tertanya-tanya kenapa ada bersama Hazman di situ, baju pun sama. Kenapa? Sungguh menghairankan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience