Chapter 35

Romance Completed 11698

PERBUALAN Hazman dan Khalil berterusan, sudah lebih sejam mereka bercerita di kedai mamak itu. Pelanggan di kedai mamak itu tak putus-putus, tetap ramai pelanggan walaupun sudah masuk jam dua pagi.

“Nikah Siam? Jangan Man, jangan cari masalah!” bantah Khalil.

“Tapi ustaz, orang yang uruskan tu kata dia ‘ada orang dalam’ dengan pejabat agama. Sebab tulah Yanti rasa macam yakin sikit nak nikah Siam,” terang Hazman.

“Ada orang dalam? Nanti dulu Man, jangan cepat terpengaruh. Orang yang macam ni selalu mengambil kesempatan, mereka boleh mengaku apa saja untuk menjayakan agenda mereka, termasuk kata ada orang dalam di pejabat agama!”

“Ustaz, saya ada nombor telefon orang tu,

Yanti yang kasi. Saya juga ada telefon orang tu baru-baru ni tanpa pengetahuan Yanti. Bukan apa, saya nak tahu cerita sebenarnya. Orang ni duduk tak jauh dengan tempat ni. Saya tak cakaplah siapa saya ni.”

“Dah tu, apa yang kamu bualkan dengan orang tu?” tanya Khalil.

“Lelaki ni kata dia pemandu teksi. Dia boleh uruskan orang yang dah termengandung atau orang yang tak dapat izin wali. Dia juga boleh tolong orang nak nikah lagi satu, tanpa pengetahuan isteri pertama... lepas tu, orang ni boleh tolong daftarkan pernikahan Siam tu di pejabat kadi di JB ni. Dapat surat nikah yang sah.”

“Ada dia kenakan bayaran?” tanya Khalil.

“RM 5,000 setiap pasangan untuk pernikahan di Siam saja. Yang lain-lain tu, masa daftar di JB ni, belanja sendiri. RM 5,000 tu untuk nikah saja.”

“Amboi, banyak tu!”

“Orang tu kata, berpatutan dengan tambang teksi pergi ke sana. Kena naik teksi dengan orang tu. Dan juga bayaran upah nikah iman kat sana dan surat nikah.”

“Untung sangat orang tu, kalau bawak teksi orang tu sendiri, duit minyak pergi balik, tak sampai 300 ringgit. Duit makan minum dan upah nikah tak berapa ringgit sangat. Kira modal dalam 500 saja, tapi untung 5,000. Ini bagus punya niaga orang ni,” ulas Khalil.

“Pada orang yang ada masalah macam saya, duit tak jadi masalah sangat. Duit boleh cari, yang penting dapat nikah sah,” kata Hazman.

“Betul ke sah? Betul ke pernikahan Siam sana semuanya sah?” tanya Khalil.

Hazman jadi bingung, kenapa pula Khalil tanya soalan begitu. Dia menjawab, “Itu saya tak tahu ustaz, saya orang yang tak berapa pandai dalam bab hukum ni. Belajar pun tak tinggi. Ustaz mesti boleh jawab soalan tu. Nikah sana sah ke tak ustaz?”

“Dalam seminggu di JB dalam dua hingga lima kes orang nikah luar termasuk Siam dan Indon. Biasalah, orang yang nikah luar ni, kena siasat dengan penguat kuasa masa dia nak daftar sini. Tapi kebanyakannya meragukan dalam banyak segi. Jurunikah tu, betul ke dia jurunikah bertauliah? Entah siapa-siapalah orang yang nikahkan tu.

Kemudian syarat wali, tak berapa diambil berat sangat. Senang-senang kata boleh pakai wali hakim, walaupun tak berapa menepati syarat. Ada pulak kes, malah banyak, bukan pergi Siam pun, tapi nikah dekat-dekat sini. Lepas tu dapat surat nikah Siam. Entah dari mana dia orang dapat surat nikah tu, kami susah nak pastikan. Jadi banyaklah perkara yang meragukan.”

“Tapi kalau kami yakin nikah kami sah dan betul-betul masuk Siam, macam mana pula ustaz? Balik boleh daftar sini?”

“Masa daftar sini, mesti kena dakwa di Mahkamah Syariah kerana kesalahan nikah di luar tanpa kebenaran. Boleh didenda sehingga RM 1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali. Bagi kes poligami, tambah satu seksyen kesalahan lagi,” jelas Khalil.

“Lepas bayar denda, boleh selesai kes ke ustaz?”

“Itu kalau hakim beri hukuman denda saja, tapi kalau hakim putuskan hukuman penjara macam mana? Merengkoklah kamu dalam penjara. Nak ke kamu masuk penjara?”

“Orang tu kata hakim tak beri hukuman penjara, beri denda saja, betul ke?”

“Siapa kata hakim beri denda saja, ada juga kes hakim terus beri hukuman penjara. Minggu lepas ada seorang tauke bengkel kena penjara dua bulan atas kesalahan nikah Siam dan poligami tanpa kebenaran. Lain kes, lain pula hukumannya!” kata Khalil dengan tegas.

“Penjara-penjara ni saya takutlah...!”

“Kalau kamu kena penjara tak apa lagi. Tapi kalau Yanti kena penjara sehari dua saja, boleh dibuang kerja. Kalau kena denda saja pun dah boleh jejaskan kerja dia. Kalau dia belum disahkan jawatan, mungkin boleh diberhentikan. Kalau dah sah jawatan, mungkin dia tak naik pangkat. Ingatlah, kes ni pun sama macam sivil, bila kena hukuman mahkamah, tetap dikira mempunyai rekod jenayah,” terang Khalil dengan jelas.

“Dahsyatnya, ustaz!” kata Hazman seolah-olah terkejut.

“Jangan ambil mudah nak langgar peraturan undang-undang!”

Tiba-tiba telefon Khalil berbunyi dan dia jawab panggilan berkenaan, “Hah, kes tu macam mana? Baiklah, saya terus datang ke lokasi sekarang. Mungkin dalam 20 minit saya sampai... jumpa saya di lokasi. Kalau sampai dulu, tunggu saya kat stesen minyak tu...!”

“Man, saya ada kerja nak selesaikan, ada operasi. Nanti senang-senang kita jumpa lagi, ambil nombor telefon saya. Kalau ada masalah telefon saya. Maaf saya tak boleh tunggu lama ni,” kata Khalil sambil memberikan kadnya kepada Hazman.

“Terima kasih atas segala nasihat ustaz. Semuanya banyak berguna pada saya, nanti kita jumpa lagi, ustaz.”

Khalil menuju ke Taman Bahagia, Johor Bahru menaiki kereta seorang diri dan bertemu penguat kuasa lain di situ. Ada satu kes khalwat di sebuah rumah di situ berdasarkan aduan awam. Satu pasangan ditangkap di rumah itu dan dibawa ke balai polis. Di balai polis, sewaktu menunggu untuk membuat laporan polis, Khalil berbual dengan penguat kuasa, Ustaz Razali.

“Razali, esok kamu sediakan penguat kuasa dua orang lelaki dan dua orang perempuan, kita ada satu kes. Berkumpul di berdekatan stesen minyak berhampiran rumah saya, lepas maghrib. Kamu pun ikut sekali,” kata Khalil.

“Baik, tuan. Esok saya aturkan, ada apa-apa yang perlu bawa, tuan?”

“Pakai baju biasa untuk penyamaran dan bawa alat rakaman suara sekali.”

“Pemandu macam mana pula, naik kereta kerajaan ke sendiri?”

“Mana-mana pun boleh. Kereta kerajaan pun boleh, tak kisah. Esok saya akan beri taklimat sikit pada dia orang, apa orang kita perlu buat sebelum kita mulakan!”

Razali turut saja arahan bosnya itu. Pasti ada sesuatu agenda rahsia yang telah dirancang oleh bosnya itu malam esok. Tugas apa, lokasi di mana, tak perlu banyak tanya. Itulah kerja penguat kuasa, kena kerja tak kira masa dan waktu. Dalam kepala Razali, sudah terbayang dah dua lelaki dan perempuan muda dan baru dalam kepalanya seperti yang dikehendaki oleh bosnya. Tapi Razali terfikir juga, operasi apa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience