Chapter 65

Romance Completed 11698

SYIRA dail telefon Syikin dengan perasaan marah sambil tangannya menggeletar. Tapi Syikin tak jawab, dia dalam bilik air dan tak dengar. Dua kali panggilan tidak berjawab, Syira meninggalkan SMS. Apa yang ditulis Syira?

- Man, adik you hantar mesej kat I, marah-marah….

Hazman yang berada di Restoran Osman menggeletar dan berdebar-debar membaca SMS yang dihantar oleh Syikin itu. Hazman terus membalasnya.

- Sabar Ikin, apa adik I cakap?

Tapi kali ini Syikin diam tak jawab dan menimbulkan persoalan besar pada Hazman. Selagi SMS itu tak terjawab, Hazman tak tenteram. Dia telefon Syikin beberapa kali tapi Syikin sengaja tak mahu jawab. Ini menambahkan kusut dalam kepala Hazman.

Tak lama kemudian, Khalil muncul seorang diri. Nampak cergas saja dan tak mengantuk walaupun dah nak dekat jam satu pagi.

“Maaf, Man, tadi ada kerja sikit,” kata Khalil memulakan perbualan dan duduk berhadapan dengan Hazman.

“Tak mengapa, ustaz.”

“Malam ni berniaga ke?”

“Niaga sekejap…,” jawab Hazman.

Khalil tengok Hazman macam ada yang tak kena, suaranya longlai saja macam penat dan mengantuk.

“Man, saya tengok Man macam letih je malam ni?”

“Macam mana tak letih, ustaz? Masalah datang lepas satu, satu. Tak abis-abis dugaan dalam hidup saya ni….”

“Masalah? Pasal apa pulak ni?”

“Begini, ustaz....”

Hazman menceritakan perkara yang berlaku bermula adiknya datang JB, ambil Cikgu Syikin di Larkin, hinggalah terserempak dengan Haryanti di Angsana. Panjang cerita itu dan Khalil jadi pendengar yang baik, sekali sekala menyampuk dan menanyakan soalan. Fahamlah Khalil, itu sebenarnya masalah Hazman. Betul, bukan kecil masalah itu, tapi berat juga.

“Man, tak sangka peristiwa ini terjadi, anggaplah sebagai suratan takdir, pasti ada hikmah di sebaliknya,” pujuk Khalil.

“Bagaimana saya nak melalui hari-hari seterusnya? Apa yang harus saya lakukan?” tanya Hazman.

Khalil termenung seketika untuk mencari jawapan dan penyelesaian terbaik. Kemudian dia berkata, “Man, sebagai lelaki, sebagai abang sulung, Man kena banyak bersabar. Man kena pandai jaga hati semua pihak iaitu Syira, Yanti dan Cikgu Syikin. Perempuan cepat panas baran tapi Man jangan terlalu ikut rentak mereka. Man jangan mengalah. Ketegasan kena ada.”

Hazman mendengar dengan penuh minat dan sekali sekala meneguk air teh tariknya.

“Saya rasa sekarang adalah masanya untuk Man berterus terang kepada mereka, terutama pada Syira dan Yanti.”

“Berterus terang macam mana, ustaz?” Hazman masih kebingungan.

“Kalau dah lama sangat Man tak telefon Yanti, inilah masanya Man telefon. Man boleh luahkan segalanya yang Man kata dah muktamadkan dulu. Pada Syira pula, Man perlu berterus terang terutama tentang perhubungan Man dengan Syikin. Kalau Man terus berahsia, nanti Man disalah anggap,” kata Khalil dengan nada serius.

“Telefon Yanti? Tak, ustaz! Kalau dari dulu saya tak telefon dia, sekarang lagilah tidak, bukan senang, ustaz. Saya tak mampu lakukan!”

“Tapi sampai bila? Kalau tak sekarang, bila? Lagi lambat, lagi menyulitkan keadaan dan bertambah kusut,” kata Khalil.

“Kalau saya terus tak hubungi Yanti macam mana?”

“Itu hak kamu. Saya cuma beri nasihat. Tapi Man kenalah faham perasaan wanita yang pernah jatuh hati pada Man. Sekarang pun kita tak pasti bagaimana perasaannya pada Man. Man kena berterus terang kalau nak putuskan hubungan.”

Hazman terus termenung dan fikirannya serabut. Sekali fikir, ada betul juga nasihat itu. Sekali fikir lagi, bukan senang nak lakukan.

“Sebagai lelaki, Man sepatutnya memberitahu Yanti. Man tidak sepatutnya menyeksa hidup Yanti dengan berdiam diri begini. Saya tahu, cinta Yanti pada Man masih segar, tapi sebagai wanita, dia tak berani berterus terang,” kata Khalil lagi.

Hazman tak berkata-kata, tapi dia mengangguk.

“Harap Man jangan seksa hidup Yanti. Dia masih menaruh harapan terhadap cinta Man. Jadi kalau Man nak teruskan dengan Yanti, Man teruskan. Tapi kalau Man nak putuskan, Man berterus terang sajalah!”

“Terima kasih, ustaz. Saya faham. Selama ini saya memang rasa bersalah kerana berdiam diri dengan Yanti. Sehinggalah hari ini, Allah nak tunjukkan semua itu, berlaku betul-betul depan adik-adik saya. Betul ustaz, saya tak sepatutnya berdiam diri.”

“Okey, Man. Lapang-lapang nanti telefon Yanti dan jelaskan kedudukan sebenar. Susah sangat, SMS saja. Lagi satu, pada Syira, pandai-pandailah Man nak ambil hati dia. Dia masih muda remaja, cepat terasa hati. Tapi saya yakin Syira dapat terima keputusan Man,” kata Khalil dengan panjang lebar.

Lama mereka berbual dan Hazman nampaknya banyak kali menguap dan mengantuk. Teringat Khalil, esok pagi dia perlu sambung kursus hari kedua di Hotel Seri Malaysia JB.

“Rasa elok Man balik dulu, esok Man nak sambung kursus kan?”

“Ye, seronok juga kursus hari ni, penceramah pun hebat-hebat,” kata Hazman sambil tersenyum.

“Lagi satu, esok kalau dah habis kerja, mungkin saya nak laksanakan tugas nak bantu Man itu,” kata Khalil.

Terkejut Hazman dengar perkataan itu.

“Esok?”

“Kenapa? Dulu Man kata nak segerakan,” soal Khalil kehairanan.

“Betul, ustaz. Tapi bila dah jadi macam ni…,” ayatnya terputus.

“Nampak gayanya semuanya dah siap, saya dah janji dengan kawan saya. Semua dah bersedia,” beritahu Khalil.

“Boleh tak kalau ditangguhkan?”

“Tangguh tu boleh, tapi….”

“Maafkan saya. Saya dah banyak menyusahkan ustaz. Tak patut saya mintak ustaz tangguhkan. Saya rasa terpulanglah pada ustaz, nak teruskan atau tangguhkan. Alang-alang fikiran saya dah serabut macam malam ni, saya nekad. Sekarang saya fikir, saya berserah saja pada Allah. Terima kasih, ustaz, sebab tolong saya! Terima kasih,” kata Hazman dengan bersungguh-sungguh.

Khalil pulang ke rumah dan fikirannya masih memikirkan adakah patut dia teruskan niatnya esok dalam keadaan Hazman yang macam itu. Jadi atau tidak, Khalil masih memikirkannya. Khalil pasti, noktah penamat bagi masalah Hazman adalah kalau perkara itu dilaksanakan.

Jadikah esok?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience