Chapter 74

Romance Completed 11698

HAZMAN terus mengetuk pintu bilik Syira dengan kuat. Malah, pintu kayu itu ditendangnya sepenuh hati. Syira ketakutan dan terus menangis teresak-esak di atas katil sambil menekupkan mukanya dengan bantal. Syira jadi takut sekiranya pintu bilik yang tak berapa kukuh itu terbuka, sudah tentu Hazman yang tengah naik hantu itu akan memukul Syira semahunya.

“Kau ingat kau siapa nak tentukan hidup aku! Adik tak guna! Keluar kau sekarang!” teriak Hazman.

Mak Munah dan Pak Din terkejut bila Hazman memanggil Syira dengan perkataan ‘kurang ajar’ dan ‘adik tak guna’ itu. Ini kali pertama Mak Munah dengar Hazman keluarkan kata-kata sehodoh itu pada adik kesayangannya selama ini. Hazman sudah hilang sabar dan terus mengetuk bilik Syira lebih kuat lagi.

“Kenapa ni, Man. Sudahlah tu, nak. Kenapa anak mak jadi macam ni...? Mak susah hati tengok engkau orang bergaduh adik beradik. Masa mak dan abah kau ada, dah jadi macam ni. Nanti mak dan abah dah tak ada, macam manalah agaknya... Man, sudah Man! Sudah!” jerit Mak Munah.

Adik-adik Hazman, Jaja dan Sukri memeluk emaknya sambil menangis ketakutan melihat keadaan yang mencemaskan itu.

Nizar dan Pak Din cuma berdiri saja tak jauh di belakang Hazman tanpa berkata apa-apa. Dalam hati Pak Din begitu kesal apa yang berlaku terhadap anak-anaknya. Manakala Aboi terus memeluk Hazman dari belakang kerana bimbang kalau-kalau Hazman bertindak di luar batasan. Aboi tahu, Hazman tidaklah sihat sangat. Selepas peristiwa dimasukkan ke hospital dahulu, Hazman tidak secergas sebelumnya. Sehingga sekarang, Aboi lebih banyak membantu buat kerja-kerja di gerai burger. Aboi tahu, yang Hazman tidak boleh marah-marah macam ni dan kalau dia dalam keaadaan terhimpit perasaannya, kesihatan Hazman macam tak stabil dan pernah meracau.

Tiba-tiba saja kedengaran laungan azan iaitu maghrib dari surau berhampiran yang lebih kurang 400 meter dari rumah.

Hazman terdiam seperti tersentak mendengar azan itu. Aboi dapat rasa tubuh Hazman jadi lemah dengan laungan azan itu, tidak seperti tadi. Aboi bawa Hazman duduk di sofa. Aboi dapat rasa kehangatan air mata lelaki itu yang jatuh ke lengannya. Dahi Hazman berpeluh dan Aboi kesat peluh itu dengan tangannya. Mak Munah ingin menerpa tapi Aboi menahan.

“Mak cik, minta bertenang. Biarkan Man sendirian dulu mencari ketenangan,” kata Aboi dengan lembut.

Mak Munah mengangguk tapi masih menangis. Pada Aboi, dia bukan nak memandai-mandai menasihati Mak Munah. Tapi kalau Mak Munah terus berkata-kata seperti tadi, perasaan Hazman akan jadi semakin kacau jiwanya. Aboi turun ke dapur untuk mencari segelas air masak. Melihat Aboi ke dapur, Mak Munah membantu mendapatkan segelas air.

Aboi teringat yang Hazman belum makan ubat lagi hari itu. Aboi tahu jadual Hazman makan ubat iaitu selepas makan malam sebanyak dua biji tablet. Cuma Aboi tak tahu ubat apa itu. Doktor yang beri sejak Hazman dimasukkan ke hospital dulu. Hazman pernah cerita pada Aboi, kalau dia tak makan ubat itu sehari, telinganya berdesing dan kadang-kadang majikannya itu jadi pelupa. Ubat itu ada dalam kereta.

“Abang Man... mari kita pergi surau solat maghrib...,” panggil Aboi sebaik saja selesai laungan azan itu.

Aboi bersyukur, kerana kebesaran laungan azan itu tadi, perasaan Hazman boleh dikawal. Kalau tidak tadi... entahlah. Semua orang jadi takut.

Hazman menggangguk bila Aboi ajak dia ke surau. Di JB pun, apabila masuk maghrib, gerai burger Hazman akan tutup sekejap untuk dia dan Aboi ke masjid yang tak jauh dengan gerainya. Hazman salin seluarnya dan memakai kain pelikat dengan t-shirt tadi. Manakala Aboi tak salin dan pakai pakaian sedia ada. Aboi pandu kereta dan Hazman duduk sebelah menuju ke surau.

Di rumah, Mak Munah terus menangis seorang diri di dapur sambil memeluk Jaja dan Sukri yang masih sekolah rendah itu. Syira pula masih berkurung dalam bilik.

Sampai saja di surau, Hazman rasa hairan kerana orang terlalu ramai melebihi biasa sehingga surau yang tak berapa besar itu sudah hampir penuh. Kehairanan Hazman belum lagi terjawab. Oleh kerana mereka datang agak lewat, terpaksalah mereka solat di saf paling belakang. Aboi fikir, dia tidak boleh duduk jauh dengan Hazman untuk terus mengawasi majikannya itu.

Selesai saja solat dan wirid, imam membuat suatu pengumuman.

“Jemaah sekalian... selepas ini kita akan adakan kuliah bulanan Tasawuf yang akan disampaikan oleh Ustaz Kiyai Suhaili. Marilah kita sama-sama mendengar kuliah yang akan disampaikan. Sekian, terima kasih.”

Hazman dan Aboi ikut bersama jemaah bersalaman seorang demi seorang sambil berselawat. Ramai di situ mengenali Hazman dan bertanya-tanya khabar semasa bersalaman. Bagaimanapun, ramai juga yang Hazman tak kenal turut sama hadir. Dia tahu, mereka ini adalah anak murid atau peminat ceramah Kiyai Suhaili yang sanggup datang dari jauh untuk mendengar ceramah Pak Kiyai. Dalam hati Hazman, elok juga dia terus berada di surau untuk ikuti kuliah ilmu itu.

Kalau orang jauh berpuluh kilometer boleh datang, dia rasa rugi kalau tak mendengarnya. Hazman terus bersalaman dengan jemaah lain dan rupa-rupanya Pak Din turut berada di surau itu. Hazman salam abahnya, cium tangan dan peluk abahnya. Dia jadi sebak dan menahan air matanya daripada keluar.

“Maafkan Man, abah...,” kata Hazman. Pak Din tak kata apa-apa. Dia mengangguk sambil menggosok-gosok kepala dan bahu Hazman.

Hazman sebelum ini belum pernah dengar kuliah Kiyai Suhaili, cuma pernah dengar orang sebut sahaja nama itu. Surau itu pun baru dalam beberapa bulan ini dapat panggil Pak Kiyai, itupun sebulan sekali saja dapat. Jemaah makin lama semakin ramai sehingga surau yang tak berapa besar itu jadi penuh dan ramai juga yang berada di beranda surau. Hazman bersandar di dinding bersebelah Aboi sambil bersila. Dia jadi pendengar yang setia hari itu.

Kuliah Kiyai Haji Suhaili

Antara sifat-sifat yang perlu ada pada diri orang Islam adalah Al-wara’ dan Al- Qana’ah. Al-wara’ iaitu meninggalkan segala hal yang shubhat. Sikap wara’ ini dapat tercermin dalam berbagai keadaan. Dalam perbuatan, perkataan, niat di hati, hingga dalam masalah makanan, cara pakaian dan lain-lain.

Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn Majah dan Tabrani bermaksud: Jadilah engkau seorang yang warak, maka engkau akan menjadi seorang paling ahli ibadah antara manusia.

Sahl al-Tustari berkata : Seseorang yang tidak memiliki sifat warak, walaupun ia makan makanan sebesar kepala gajah sekalipun maka ia tak akan merasa kenyang.

Al-Qanaah adalah sikap tenang, ikhlas dan reda ketika kita ketiadaan atau kehilangan sesuatu yang kita sayangi. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Yaala bermaksud: Sesuatu yang sedikit yang mencukupi lebih baik daripada sesuatu yang banyak tetapi melalaikan.

Ini antara isi kandungan kuliah Pak Kiyai. Hazman mendengar dengan penuh minat. Isi kandungan kuliah ini jelas dan padat serta begitu meresap dalam jiwanya. Hazman mula timbul kesedaran, dirinya selama ini kosong dan banyak diisi dengan hiburan dan keseronokan hidup. Dalam bab agama, ada banyak kelalaian. Betul kata Pak Kiyai, sebanyak mana kita ada wang ringgit, belum tentu kita dapat beli kebahagian dan ketenangan hidup.

Hazman kehilangan insan yang dia sayanginya dalam hidup. Pertama, Haryanti. Hazman sanggup harungi semuanya untuk merebut dan memiliki Haryanti sehingga dia sanggup pertaruhkan nyawanya. Tetapi setinggi mana harapannya, dia tidak berjaya memiliki Haryanti. Hazman kecewa dan hampir gila apabila cita-citanya tidak tercapai.

Pak Kiyai huraikan panjang lebar apa itu sifat “al-Qanaah”. Hazman tidak ada sifat itu sebenarnya dalam dirinya. Selama ini dia tak ada masa untuk pergi kuliah maghrib kerana kesibukannya melayan pelanggan di gerai burgernya. Apabila peristiwa hitam ini membaham hidupnya, dia mula rasa kekurangan, iaitu kekurangan ilmu agama.

Kedua, Hazman kehilangan Syikin yang pada awalnya berjaya mengisi kekosongan hati dan kerinduannya selepas kehilangan Haryanti. Hazman sudah atur untuk meminang Syikin dan melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat. Semua persiapan sudah diatur, persetujuan daripada keluarga Syikin pun sudah dapat. Tapi Allah tentukan yang perancangan Hazman itu tidaklah sehebat mana. Perancangan Allah SWT yang mengatasi segalanya. Ya, begitu besar kekuasaan Allah SWT.

Berserabut kepala Hazman memikirkan apa yang telah terjadi pada Syikin sekarang? Adakah Syikin terus merajuk dan menjauhkan diri dengannya? Hazman sedar dirinya siapa, hanya penjual burger jalanan.

Hazman juga terasa bersalah kepada Syira. Baru petang tadi dia mengeluarkan kata-kata tak sepatutnya pada adiknya itu. Hazman sedar kesilapan dirinya. Syira adik yang paling rapat dengannya. Hazman tahu dia salah, tapi sikap Syira kadang-kadang Hazman tak dapat terima terutama tentang menghalang cintanya dengan Syikin. Sebab itu Hazman terpaksa rahsiakan rancangan pertunangan dia dengan Syikin supaya Syira tidak memberontak. Hazman lebih suka bercerita hubungannya dengan Khalil yang dirasakan lebih memahami masalahnya. Satu sikap yang ada pada Syira adalah, kalau Syira memberontak, Hazman biasanya akan tewas.

Di rumah, Syira bersama adik-adiknya Nizar, Jaja dan Sukri makan bersama di meja makan. Dari tadi Mak Munah tunggu Hazman balik dari surau tapi belum balik lagi. Jadi dia bagi adik-adik Hazman makan dulu. Seperti biasa, Mak Munah akan makan terakhir sekali selepas suami dan anak-anak makan. Sebagai ibu, kekadang lauk sudah habis, baru nak makan kerana pentingkan makan minum anak-anak. Mak Munah memang begitu, tradisi kampungnya terserlah. Sifat taat dan takut pada suami terlalu kuat. Sebagai seorang isteri, rasa bersalah kalau tak dapat bahagiakan suami dan anak-anak. Mak Munah rasa puas dan tak rasa lapar kalau tengok anak dan suami makan masakannya dengan berselera.

“Syira... mak sedih apa yang berlaku tadi. Mak sedih...,” kata Mak Munah.

“Kenapa Abang Man bersikap macam tu pada adik-adik? Mak tengoklah sendiri. Syira tak sangka....”

“Syira, mak nak pesan pada anak-anak mak. Jangan bergaduh adik beradik. Susah dan senang biarlah bersama. Mak hari-hari susah hati tengok engkau orang bercakaran macam ni, macam anjing dengan kucing. Cukuplah… jangan buat hidup mak sedih,” kata Mak Munah.

“Masalahnya boleh ke mak terima sikap Abang Man yang macam tu? Mak tahu apa Abang Man buat kat Johor Bahru? Mak... kalau setakat dengar cakap-cakap orang, Syira tak marah macam ni. Tapi mata Syira sendiri yang nampak jelas apa yang Abang Man buat. Takkanlah Syira nak berdiam diri!” Kata Syira yang sedikit meninggikan suara.

“Mak tahu ke apa yang Abang Man buat dengan Cikgu Syikin dekat Angsana? Ini mata Syira dan Nizar sendiri yang nampak, takkanlah Syira nak senyap saja? Hah... sekarang, bila Syira tegur, mulalah nak serang Syira. Kalau nak pukul, pukullah! Kenapa tak pecahkan saja pintu bilik Syira kalau berani sangat...? Cikgu Syikin tu pun sama, perempuan jalang!” Kata Syira selepas habiskan makan. Nadanya semakin tinggi.

“Mengucap, Syira! Cikgu Syikin tu kan cikgu Syira dan Nizar, tak baik cakap macam tu, berdosa. Mak tak pernah ajar kau cakap macam ni!”

“Betul dia cikgu Syira, tapi kalau dia buat macam tu dengan abang Syira, takkan Syira nak berdiam diri? Jangan sampai Syira mengadu kepada pengetua sekolah dan penolong kanan! Kalau boleh, biar dia kena keluar dari sekolah kampung ini, baru dia tahu!” bentak Syira lagi dan perbualan semakin panas.

“Jangan sampai macam tu, Syira. Cikgu Syikin dah banyak berjasa kepada orang kampung kita termasuk anak-anak mak. Mak tak naklah cerita ini dipanjangkan, nanti mak juga yang malu dengan cikgu-cikgu sekolah kampung kita ni dan jiran-jiran. Silap-silap kita ni yang dipandang serong oleh masyarakat! Sudahlah... sudah...!”

Syira terdiam apabila mendengar kata-kata ibunya yang jelas membela Syikin. Hatinya semakin panas. Namun dek kerana masih hormatkan ibunya, dengan perlahan dia berkata, “Mak... Syira rasa, Syira nak keluar dari rumah ini, Syira dah tak boleh duduk lagi rumah ini....”

“Kau nak ke mana, nak? Kenapa kau jadi macam ni?” Mak Munah terkejut apabila mendengarkan kata-kata Syira yang tiba-tiba itu.

“Syira nak cari kerja di Kuala Lumpur, Syira nak berdikari dan tak mahu menyusahkan sesiapa lagi termasuk Abang Man. Mak pun dengar yang abang dah mengungkit susah payah dia sekolahkan Syira selama ni….”

“Kuala Lumpur? Nak cari kerja apa? Nak ikut siapa ke Kuala Lumpur?” kata Mak Munah.

“Adalah, mak. Sebenarnya dah lama Syira rancang nak ke Kuala Lumpur, bukan baru sekarang,” kata Syira serius.

“Syira, kau kan tengah belajar, tengah tunggu keputusan periksa. Agak-agak seminggu dua lagi keluarlah keputusan. Kau ni anak perempuan, bukan senang-senang kau boleh keluar kerja jauh-jauh. Abah kau takkan izinkan. Kau nak kerja, dekat sini pun banyak kerja. Apa yang kau cari Kuala Lumpur tu? Kau ada kat sini boleh juga tengokkan pelajaran adik-adik kau tu. Mak dengan abah ni bukanlah berduit sangat nak hantar adik-adik kau kelas tambahan sana sini macam orang lain. Kau kena fikir, Syira…,” pujuk Mak Munah.

Tak lama kemudian, kedengaran kereta Hazman sampai selepas solat isyak. Perbualan mereka terhenti di situ dan Syira terus masuk ke bilik mengunci pintu dari dalam. Menggeleng kepala Mak Munah melihat perangai Syira itu yang tak berubah dari tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience