Chapter 39

Romance Completed 11698


PAGI Ahad tu Haryanti tak ke mana-mana, cuma basuh baju dan kemas rumah. Nani ajak Haryanti pergi ke Pertama Kompleks, Kuala Lumpur, nak beli persiapan terakhir perkahwinannya yang tinggal tak sampai sebulan lagi. Haryanti setuju nak pegi sama. Sedang dia bersiap, Badrul telefon, ajak keluar jalan-jalan. Badrul ajak Haryanti ke PWTC, ada pameran kereta antarabangsa di situ. Bab kereta ni Haryanti minat juga, sesuai dengan jiwa lincahnya. Dia ajak Nani ke PWTC sama dan Nani setuju. Jadi, mereka nak ke PWTC dulu lepas tu barulah ke Pertama.

Haryanti dan Nani jumpa Badrul di PWTC. Badrul belanja bayarkan tiket masuk ke pameran tu yang mahal juga harganya. Mereka jalan bertiga di dalam pameran tu, mereka bertiga nampak ceria. Banyak kereta model baru dari luar yang belum ada di pasaran negara turut dipamerkan.

Keluar dari pameran tu, mereka minum di kedai makanan segera di situ. Lama juga mereka makan sambil berbual-bual. Sementara itu, bila makanan Nani habis, Nani minta izin untuk berjalan sebentar untuk tengok-tengok barang yang dijual di situ dan meninggalkan Haryanti dan Badrul berdua saja. Dalam hati Nani, dia tak mahu kacau daun sangat. Haryanti dan Badrul nampak intim, berbual dan kadang-kadang diselangi dengan gelak ketawa. Perbualan mereka tertumpu pada kertas gambar kereta yang banyak didapati di pameran tadi.

Sedang mereka seronok berbual, tiba-tiba ada seorang perempuan menegur Haryanti dari belakang. Dia terkejut. Rupanya yang tegur itu adalah kakaknya, Azizah, dan bersama Azizah adalah suaminya dan dua orang anaknya. Haryanti terkejut, sebab waktu itu sedang asyik bercerita dan bergelak ketawa dengan Badrul. Badrul juga terkejut bercampur takut. Ditambah pula, Badrul lihat muka Azizah macam serius saja pada mulanya. Tapi kemudian Azizah tersenyum pula.

“Yanti tengok pameran ke? Kakak baru sampai,” kata Azizah.

“Kami dah masuk tadi, dari pagi lagi.

Seronok kak, banyak model baru, yang tak pernah tengok pun banyak. Kami bertiga sebenarnya, tadi ada Nani. Tapi entah, tadi dia kata nak tengok-tengok barang kejap,” jawab Haryanti.

Azizah, suami dan anak-anak turut makan di meja sebelah. Sempat juga Azizah dan suaminya kenal-kenal dengan Badrul. Rupanya rumah Badrul dan Azizah tak berapa jauh, sama di Shah Alam. Tak lama kemudian, Nani datang semula. Haryanti nampak ceria berbual dengan kakaknya, macam tak ada perselisihan. Dia nak cover supaya Badrul tak tahu dia ada krisis. Pada Nani, Haryanti tak kisah sangat.

Selesai makan dan berbual dalam sejam, Badrul minta diri nak balik dulu dan meninggalkan yang lain di situ.

“Kakak, abang, saya nak balik dulu. Ada hal lain lepas ni,” kata Badrul.

“Eh, tadi datang sendiri ke bertiga?” tanya Azizah.

“Naik kereta seorang, kak!”

“Badrul, mintalah nombor telefon, nanti boleh le jumpa kat Shah Alam, jiran rupanya,” kata Azizah.

Haryanti terkejut mendengar kata-kata Azizah. Badrul balik selepas memberikan nombor telefonnya dan bersalaman dengan semua orang di situ. Kemudian Haryanti dan Nani pula ke Pertama, teman Nani beli pakaian di situ. Tak lama lepas tu, Haryanti terima SMS daripada Badrul.

- Aduh! Rasa nak gugur jantung jumpa kakak you tadi. Nasib baik kakak you ok.

Tergelak Haryanti membacanya sehingga disedari Nani.

“Kenapa ketawa sampai macam tu, Yanti?” tanya Nani.

“Kau tengoklah mamat ni, jumpa kakak aku pun dah gabra habis. Belum jumpa bapak dan abang aku lagi!”

“Mana tak gabranyer, dia ingatkan kakak Yanti nak serang dia. Marah-marah depan orang ramai, bawak keluar anak dara orang tak beritahu,” kata Nani semacam bergurau.

Di Angsana JB, Syira dan Nizar seronok beli buku. Mak dan abahnya pergi ke tingkat lain, cari barang lain. Habis semua mata pelajaran dia beli sehingga dapat diskaun 10 %. Dalam hati Syira dan Nizar, bersyukur kerana ada abang macam Hazman. Petang tu mereka terus balik kampung dan sampai sebelum maghrib.

Malamnya, Syira telefon Hazman, untuk ucap terima kasih dan beritahu dah sampai kampung.

“Abang Man, tadi buku dah beli. Seronoknya, semua sekali ada. Lepas ni tak payah beli lagi!”

“Cukup ke duit tu?” tanya Hazman.

“Cukup sangat, ada lebih lagi!”

“Tak apa, yang lebih tu simpan buat belanja sekolah.”

“Abang Man, Syira minta maaf kalau Syira salah siang tadi. Syira tak sepatutnya cakap begitu. Syira gagal kawal perasaan siang tadi, maafkan Syira, abang....”

Hazman terdiam seketika, kemudian dia jawab, “Tak apa, abang tak apa. Abang tak terasa hati pun. Jangan risau.”

“Abang, kenapa abang menjauhkan diri dengan Kak Yanti? Adakah abang sudah terpengaruh dengan kata-kata mak dan abah? Lupakah abang, Kak Yanti sanggup bercuti, sewa hotel dan jenguk abang hari-hari di hospital dulu. Waktu Syira dan adik- adik dalam kesedihan beberapa hari itu, Kak Yantilah yang berikan semangat supaya bersabar dan tabah menghadapi ujian itu. Abang Man... sedara mara kita pun tak seperti Kak Yanti, sanggup tunggu Abang Man beberapa hari. Kenapa abang lupa semua ini, kenapa?”

“Syira, abang tahu semua ni. Tapi, abang kena fikir banyak benda dulu....”

Hazman cepat-cepat tamatkan perbualan dengan Syira. Dalam hatinya terasa yang Syira masih muda remaja, fikiran dan pergaulannya belum matang lagi. Tapi, bagaimanapun, kata-kata Syira tadi tetap menyentap ke lubuk hati Hazman. Apa yang dikatakan oleh Syira tadi ada juga banyak betulnya. Pertama, adakah wajar dia menelefon Haryanti? Sudah lama, dah nak masuk tiga bulan tak telefon.

Hazman nak jumpa Khalil lagi malam ni. Dia nak cerita peristiwa yang berlaku siang tadi masa mak ayahnya datang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience