Chapter 41

Romance Completed 11698

KHALIL terdiam bila Hazman mengungkapkan perkataan itu. Terkejut bercampur tak percaya dia.

“Saya dah fikir semasaknya, itu muktamad!”

“Man... bawa bertenang. Saya terkejut dengan berita ini, kenapa terlalu cepat buat keputusan? Kalau boleh, Man kaji semula keputusan ni. Saya rasa tak seronok bila dengar keputusan Man ni,” kata Khalil.

“Ustaz, keputusan ni bukan baru. Tapi dah lama saya fikirkan sejak selepas saya dimasukkan ke hospital lagi. Cukuplah penderitaan dan seksaan yang saya terima selama ini.”

“Saya sekadar membantu, tak lebih dari itu. Tapi saya turut simpati dengan masalah Man. Saya juga terkilan, tak dapat bantu. Lagipun saya lewat dapat tahu kes ni dan tak sempat beri nasihat pada Man,” kata Khalil. Hazman terus terdiam.

“Man... yang lebih saya kecewanya adalah, Man dan Yanti teraniaya dalam kes ni. Tapi Man dan Yanti pula yang menyerah kalah dan menjadi mangsa kerakusan pandangan serong orang lain. Sedangkan orang lain yang menghalang dan memukul Man mendapat kemenangan. Orang-orang ini akan bangga dan merayakan kejayaannya menganiaya hidup Man,” kata Khalil lagi. Hazman masih terdiam.

Sebelum pulang, Khalil sekali lagi berpesan, “Buat solat istikharah dahulu dalam beberapa hari ni. Ini perkara besar dalam menentukan masa depan kamu.”

Balik ke rumah, fikiran Khalil belum tenteram, seakan sukar menerima hakikat kerana mengenangkan nasib Hazman. Pada Khalil, sebagai penguat kuasa, dia utamakan kesudahan sesuatu kes, kalah atau menang belakang kira. Jadi kalau sebelum ini, Khalil rapat dengan Hazman untuk mematahkan sindiket nikah, tapi kini Khalil rasa dia perlu buat lebih dari itu. Dia rasa perlu untuk bantu Hazman sebagai rakan pula.

Khalil tahu Hazman berada di pihak yang lemah, tiada penasihat atau pemberi semangat. Terfikir juga, kenapa Hazman tak berterus terang padanya daripada awal lagi, waktu Haryanti masih di JB. Mungkin waktu itu, Khalil boleh bertemu Hazman dan Haryanti sekaligus dan buat rancangan lain pula. Mungkin boleh uruskan untuk nikah secara wali hakim.

Atau kalau baru sehari dua Hazman kena belasah, nak juga Khalil tunjukkan heronya berdepan dengan samseng-samseng itu. Pada Khalil, bukan kecil kumpulan samseng yang dah dia jumpa sewaktu jadi penguat kuasa. Dalam kalangan polis-polis pun, Khalil ramai kawan baik dan kalau nak minta tolong, boleh dengan telefon saja pada pegawai polis di JB. Khalil sendiri bengang kalau abang Haryanti yang belasah Hazman bersorak dan merayakan kemenangannya dapat memisahkan Hazman dengan Haryanti nanti.

Tetapi Khalil tak boleh mengubah keadaan dan pendirian Hazman. Kalau benarlah keputusan itu muktamad, maka tiada siapa yang boleh menghalang, kecuali Hazman yang mengubahnya sendiri. Kekadang Khalil fikir, keputusan Hazman itu ada baiknya juga. Jodoh di tangan Allah, kita merancang, Allah menentukan.

Di kampung, rumah Hazman dikunjungi oleh guru sekolah Syira dan Nizar. Guru sekolah nak buat liputan untuk dibuat video yang akan ditayangkan pada hari penyampaian hadiah beberapa hari lagi. Mak ayah dan adik beradik Hazman yang lain semuanya ada kecuali Hazman saja yang ada di JB. Cikgu Syikin dan dua guru lelaki datang menemuramah dan mengambil video di perkarangan rumah. Dalam temuramah itu Mak Munah dan Pak Din berbangga dengan kejayaan anak kedua dan ketiganya kerana mendapat keputusan terbaik di sekolah.

Temuramah dengan Syira pula, dia turut menyebut nama abangnya seorang penjual burger yang banyak berkorban untuk keluarga. Sekali lagi Syira menyebut nama Haryanti dalam temubual itu yang Syira kata sebagai kakak angkat yang banyak memberi semangat kepadanya. Selepas rakaman video itu, sewaktu minum air dan makan pisang goreng, Cikgu Syikin bertanya lanjut pada Syira tentang Hazman. Timbul perasaan pelik di fikiran Cikgu Syikin, bagaimana seorang penjual burger boleh membantu mak ayah dan adik beradik di kampung. Cikgu Syikin turut menjemput Hazman sekali datang ke sekolah waktu penyampaian hadiah nanti.

Bila terima pelawaan daripada Syira untuk hadir ke majlis itu, Hazman tidak menolak. Padanya, itu perlu diberi keutamaan kerana meraikan kejayaan adiknya. Kalau ditolak pelawaan itu, mungkin adiknya akan merajuk nanti. Pada hari itu, Hazman berbaju kemeja lengan pendek, datang ke sekolah jam 8.30 pagi bersama mak dan ayahnya menaiki keretanya. Para guru, wakil PIBG dan pengawas menyambut mereka dan duduk di kerusi ibu bapa dan PIBG.

Dari jauh, Syira menunjukkan abangnya kepada Cikgu Syikin dan kenallah dia dengan Hazman. Bila masuk pengumuman pemenang hadiah khas PIBG, nama keluarga Syira dan Nizar disebut dan menjadi perhatian orang ramai yang ada di dewan itu. Ibu bapa Hazman dapat hadiah khas PIBG itu yang setiap tahun diberikan kepada ibu bapa yang cemerlang mendidik anak-anak. Tahun itu mencatat sejarah kerana anugerah anak cemerlang percubaan SPM dan STPM adalah adik beradik, rekod yang belum pernah dicatat sebelum ini. Hazman gembira dan berpuas hati dengan pencapaian keluarganya dan berterima kasih kerana pihak PIBG dan sekolah meraikannya sebegitu meriah.

Selepas itu diadakan tayangan video temuramah di rumah Hazman tempoh hari. Mulanya Hazman semacam tersenyum dan kelakar pun ada sebab dibuat video di rumahnya. Tapi bila temuramah dengan Syira yang menyebut nama Haryanti, Hazman kelihatan gelisah. Dia tertunduk dan mula mengalirkan air mata. Syira dan Nizar perasan perubahan yang berlaku pada Hazman. Syira rasa sedikit menyesal kerana temuramah itu mengguris hati abangnya. Lebih Syira rasa bersalah, bila Hazman tak makan bersama selepas majlis itu. Puas Syira mencari Hazman, rupanya dia bersendirian di dalam kereta menunggu mak dan ayahnya makan. Bila ditanya, Hazman jawab dah kenyang.

Haryanti pula akan ke Kluang untuk majlis perkahwinan Nani esoknya. Malam sebelum nikah, Haryanti tidur di rumah Nani tapi selepas majlis dia tak balik terus ke KL. Haryanti berhasrat bertemu Syira yang akan menduduki STPM beberapa hari lagi. Secara kebetulan atau dirancang, dia tidur di hotel yang sama semasa Hazman dirawat di hospital dulu. Ini mengingatkan kembali kenangan Haryanti bersama Hazman sewaktu lelaki itu sedang bertarung nyawa di bilik pembedahan. Haryanti bertemu Syira di sebuah warung di pekan tak jauh dari rumah Syira. Haryanti tak mahu Mak Munah atau Pak Din tahu semua itu, Nizar hantar Syira senyap-senyap naik motosikal.

Perbualan Haryanti dan Syira tak lama dan hanya berkisar tentang perperiksaan saja. Cerita pasal Hazman lansung tak ada. Sedang berbual itu, teringat Haryanti berkenaan baju batik yang hendak dihadiahkan kepada Hazman dulu, dibeli di Pasar Payang Terengganu. Baju itu masih ada dalam kotak bungkusan di dalam keretanya. Tanpa berfikir panjang, Haranti serahkan bungkusan itu pada Syira untuk diberikan pada Hazman. Syira gembira dan dalam hatinya Haryanti masih ingatkan Hazman.

Selepas itu, di dalam kereta, Haryanti serba salah, persoalan yang bermain di hatinya, adakah dia patut memberi hadiah pada Hazman dalam keadaan sekarang. Fikiran Haryanti bercelaru sehinggalah balik ke KL keesokan harinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience