Chapter 14

Romance Completed 11698

HARYANTI terasa tak selesa sebab minum di luar waktu kerja walaupun semangat dia kerja hari tu dah hilang. Jadi, dia ajak Hazman balik dan bercadang nak ke pejabat semula. Dalam kereta, perbualan mereka masih hangat.

“Bang, abang kenal ke siapa yang pukul abang semalam?”

“Tak kenal. Siapa mereka tu? Kenapa mereka marah abang berkawan dengan Yanti? Betul ke mereka daripada keluarga Yanti?”

Haryanti serba salah untuk jawab soalan tu. Dia dapat teka yang buat tu mungkin Fuad, dan kawan-kawan abangnya itu. Haryanti tahu, Fuad banyak berkawan dengan samseng. Di Selangor dulu, pernah dia tahu tentang Fuad yang masuk satu kumpulan yang suka gaduh dan peras ugut. Fuad memiliki perniagaan di pasar ikan di sana dan Haryanti yakin kumpulan ini berperanan menjaga kepentingan perniagaan abangnya.

Bagaimanapun, Fuad seorang yang profesional dan berhati-hati dalam buat kerja ni. Lagipun, dia memiliki banyak lagi perniagaan termasuk hartanah, pelaburan dan lain-lain yang Haryanti sendiri tak tahu sangat. Fuad tak pernah takut termasuk kepada pihak polis. Mungkin sebab anak-anak buah dia sahaja yang ke depan dalam buat “kerja kotor”. Fuad cuma beri arahan saja.

“Tak tahulah... tapi abang jangan cepat mengalah, Yanti sanggup bersama abang. Kesakitan yang abang alami, Yanti juga terasa pedihnya,” jawab Haryanti yang tidak mahu mengaitkan keluarganya dalam hal ini.

“Betullah, Yanti. Tapi yang kena pukulnya abang. Abang yang kena ugut. Kalau bila-bila masa abang kena bunuh, Yanti nak tolong apa?”

“Kenapa Man tak buat laporan polis? Sekurang-kurangnya polis akan buat rondaan untuk jaga keselamatan abang,” Haryanti masih berusaha menenangkan Hazman.

“Ronda untuk keselamatan abang? Ingat abang ni orang kenamaan ke sampai polis nak ronda untuk jaga abang?” Hazman spontan ketawa.

“Bukan macam tu, bang. Kalau kita tak buat laporan, macam mana polis nak bantu kita. Takkan abang nak biar diri abang terus dalam ketakutan begini,” pujuk Haryanti lagi.

“Yanti, abang buat ni pun sebab tak nak benda jadi makin buruk. Kalau buat laporan pun, belum tentu keselamatan abang akan terjamin. Mungkin mereka akan lebih berkasar lagi pada abang. Cukuplah apa yang berlaku semalam. Alhamdulillah, abang tak cedera teruk. Abang sanggup hadapi semua ini, sebagai bukti cinta pada Yanti,” kata Hazman, sayu.

Bila Hazman sebut “sebagai bukti cinta abang pada Yanti”, Haryanti terdiam dan hilang tumpuan memandu. Dia menangis kesedihan.

“Abang... maafkan Yanti. Maafkan keluarga Yanti. Kerana Yanti, abang jadi begini,” Haryanti terus menangis menyebabkan pemanduannya semakin tidak stabil.

Melihat keadaan itu, Hazman tidak mahu berkata apa-apa lagi. Hazman bimbang akan mengganggu emosi Haryanti yang sedang memandu dan boleh membahayakan mereka. Selepas hantar Hazman ke rumah, Haryanti ke pejabat semula.

Haryanti duduk seorang diri dalam biliknya. Orang lain sudah nampak reaksi berbeza Haryanti hari itu. Daripada seorang pegawai yang ceria, bertukar jadi pendiam dan serius. Melihat keadaan itu, dua orang rakan sekerjanya masuk ke bilik Haryanti. Tasim, ketua kerani berumur sekitar 55 tahun. Seorang lagi Azhar, pegawai yang berusia dalam 30-an.

“Assalamualaikum, Yanti. Boleh kami masuk?” Tasim dan Azhar mengetuk pintu.

“Silakan,”kata Haryanti.

Mereka berdua melangkah masuk dan duduk di kerusi depan meja Haryanti. Azhar memulakan bicara, “Bersabarlah, Yanti. Kami semua sedih kerana kehilangan seorang pegawai yang baik dan cemerlang di pejabat ini. Tapi ini semua arahan, kami perlu akur, Yanti.”

“Apa nak buat, Yanti orang bawah. Orang baru pulak tu, ikut sajalah,” jawab Haryanti sambil tangannya menyelak beberapa helai kertas di atas meja. Nada percakapannya seolah-olah dia kuat semangat dan akur dengan pertukaran itu.

“Kalau ada apa-apa masalah, kami berdua sedia bantu Yanti. Jangan segan-segan untuk minta tolong kami,”kata Tasim pula.

“Terima kasih, Encik Tasim,” jawab Haryanti ringkas.

“Dalam bekerja ini memang banyak perubahan dan pertukaran yang kita semua kena rasa. Kalau ikut sejarah kerja saya, sudah hampir 16 daerah saya pernah ditukarkan sebelum pindah ke Johor Bahru ni, termasuklah Sabah dan Sarawak. Kalau nak fikir susah, memanglah susah. Lebih lagi ada anak isteri yang bersekolah dan bekerja, memang banyak masalah. Tapi semua itu mematangkan kita untuk terus berkhidmat dengan cemerlang. Yanti, semua ini adalah ketentuan Allah, kita perlu tabah menghadapinya,” pujuk Tasim dengan lembut. Haryanti memang menghormati Tasim sebagai senior di pejabat yang banyak membantunya selama ini.

Sedang mereka berbual, handphone Haryanti berbunyi, panggilan daripada kakaknya, Azizah. Beberapa kali panggilan Azizah yang tidak dijawab. Melihat keadaan begitu, Tasim dan Azhar minta diri.

Sebelum mereka keluar, Haryanti sempat berkata, “Terima kasih kerana memahami perasan Yanti.”

Beberapa minit kemudian, Azizah menelefon lagi. Haryanti akhirnya membuat keputusan untuk menjawab panggilan itu.

“Yanti, sihat ke? Ada apa-apa berita?”

“Biasa saja, kak,” jawab Haryanti ringkas.

“Betul ke Yanti kena pindah ke Kuala Lumpur?” soal Azizah dengan lembut.

“Siapa yang cerita? Kakak tahu dari mana?” tanya Haryanti pula. Nadanya tinggi.

“Bertenang, Yanti. Ada orang beritahu kakak tadi. Kakak nak tolong Yanti. Kalau Yanti ada masalah, beritahu kakak. Mana tahu, nak mintak tolong angkat barang ke....”

“Kak, Yanti tak mahu menyusahkan sesiapa lagi, cukuplah Yanti menyusahkan keluarga selama ini!”

“Apa maksud kau, Yanti? Kakak cuma nak bantu.”

“Dah puas hati abang-abang dan kakak dapat pisahkan Yanti dengan peniaga burger tu?” marah Haryanti.

“Apa yang kau cakap ni, Yanti?” soal Azizah. Dia bingung.

“Yanti bukan lagi budak-budak lagi, kak! Yanti dan besar dan boleh fikir sendiri. Kenapa Abang Fuad sanggup upah samseng belasah Man? Apa dosa Man? Kenapa tak pukul Yanti saja, pukullah!”

“Sabar, Yanti. Kakak tak tahu cerita pukul ni. Nanti kakak tanya Abang Fuad....”

“Tak mengapalah, kak. Semuanya dah berlaku. Cukuplah. Beritahu Abang Fuad, mulai hari ni jangan kisah lagi pasal Yanti. Yanti tak mahu dikongkong lagi!”

Haryanti memutuskan panggilan itu dan terus berjumpa dengan Tasim. Dia meminta kebenaran untuk pulang berehat di rumah kerana kurang sihat. Tasim memahaminya dan membenarkan Haryanti mengambil cuti separuh hari. Dalam perjalanan balik ke rumah, Haryanti mendapat panggilan telefon daripada Fuad. Haryanti sengaja tak jawab. Kemudian kedengaran bunyi SMS masuk. Dua kali. Haryanti baca bila sampai di rumahnya.

- Jangan buat tuduhan sebarangan!

- Beritahu mat burger tu, jangan besar kepala. Dah lama hidup ke?!

Haryanti menangis teresak-esak di dalam biliknya. Hari itu penuh ujian dan cabaran dalam hidup Haryanti. Sekali fikir, ini semua adalah pilihannya sendiri. Dia yang pilih Mat Burger, sebab itu jadi begini. Dari awal dia sudah agak, penerimaan dan reaksi ibu bapa dan adik beradiknya. Kenapalah Mat Burger yang jadi pilihan hatinya juga?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience