Chapter 8

Romance Completed 11698

HAZMAN terjaga dari tidur sekitar pukul enam pagi setelah terdengar laungan azan dari masjid atau surau berhampiran. Selepas solat subuh, dia periksa handphone. Tak ada langsung SMS daripada Haryanti. Sejak semalam Hazman tertunggu-tunggu khabar berita daripada Haryanti. SMS yang dihantarnya pun langsung tidak berbalas. Hanya SMS terakhir daripada Haryanti yang diterimanya adalah sekitar pukul 7.45 malam.

- Man, Yanti baru sampai ke rumah ni.

- Doakan Yanti ye.

Hazman jadi tertanya-tanya apa berlaku kepada Haryanti. Lebih 10 SMS yang dihantar oleh Hazman kepada kekasihnya itu, namun satu pun tak berjawab.

- Yanti. Man tidur di hotel Hoover, Jalan Masjid India. Cantik juga hotel ni.

- Man tengah makan ni. Yanti buat apa?

- Yanti. Ada apa-apa cerita di sana?

- Yanti,esok nak balik JB pukul berapa? Kalau boleh nak balik awal sikit.

- Tak balas pun sms Man, tengah sibuk ke?

- Man tengah jalan-jalan kat Mydin ni. Banyak barang kat sini.

Hazman betul-betul hairan kenapa satu pun SMS itu tak berbalas. Dalam jam 8.00 pagi, Hazman pergi bersarapan di gerai berhampiran. Di situ, sekali lagi dia menghantar SMS kepada Haryanti.

- Yanti, hari ni nak balik JB pukul berapa?

- Sebelum 12.00 tengahari boleh ke?

Sedang Hazman bersarapan tu, dia terima satu SMS daripada Haryanti.

- Maaf, Man. Man baliklah JB sorang. Yanti tak sihat, nak ambil cuti sehari dua ni.

Hazman terkejut apabila tahu yang Haryanti tak sihat. Semalam gadis itu macam biasa saja. Mungkin sebab letih bekerja, naik kereta dan perubahan cuaca.

- Ok, Yanti. Man gerak dulu pagi ni. Kalau gitu sempat juga niaga malam ni.

Hazman menunggu seketika jika Haryanti membalasnya, namun hampa. Dalam hati Hazman terdetik perasaan tak sedap dengan perubahan yang berlaku pada Haryanti. Tak pernah gadis itu melayannya dengan dingin seperti ini. Namun, cepat-cepat Hazman membuang fikiran yang buruk dan memujuk hatinya sendiri. Barangkali Haryanti memang tak larat sebab tak sihat.

Sementara itu di rumah, pagi-pagi lagi Haryanti sudah kemas barang dan beritahu nak balik JB naik bas. Haryanti kata, mak dan ayahnya tak perlu susah-susah hantarnya ke Puduraya, dia boleh naik teksi sendiri. Puan Nisah tak membantah, dia tahu anak gadisnya itu masih kecil hati kerana pergaduhan malam tadi.

Apabila Haryanti hendak keluar rumah, Puan Nisah terkejut kerana dia membawa dua beg yang besar. Haryanti membawa hampir kesemua barang dalam biliknya. Puan Nisah tak sangka Haryanti akan merajuk sampai begitu sekali.

“Kenapa bawa banyak sangat barang ni, Yanti?” tanya Puan Nisah.

Haryanti hanya mendiamkan diri dan terus membawa dua beg besar itu ke depan rumah. Teksi yang dipanggilnya belum lagi sampai. Haryanti kemudiannya masuk ke bilik bapanya dan bersalaman. Puan Nisah hanya memerhatikan dari belakang. Tak lama kemudian, datang teksi sambil membunyikan hon. Haryanti bersalaman dengan emaknya dan memeluk emaknya sambil menangis.

“Maafkan Yanti, mak... maafkan Yanti....”

“Jaga diri baik-baik, Yanti. Sampai JB nanti telefon mak,” kata Puan Nisah yang juga turut menangis sambil memeluk anaknya.

Teksi yang dinaiki Haryanti tidak menuju ke Puduraya, tetapi ke satu tempat di Gombak. Di rumah, Puan Nisah menelefon Kamal, menceritakan perihal Haryanti yang membawa banyak barangannya balik ke JB. Kamal terkejut dan meminta ibunya menahan Haryanti supaya tidak keluar rumah tetapi sudah terlambat.

Di dalam teksi, Haryanti hantar SMS pada Hazman. Lelaki itu sedang memandu, hampir memasuki lebuh raya pada ketika itu.

- Man, sanggupkah Man sehidup semati bersama Yanti?

- Sanggupkah Man berkorban untuk hidup Yanti?

Hazman membaca SMS itu sambil memandu, jadi dia tak dapat membalasnya terus. Oleh kerana terkejut, Hazman memberhentikan keretanya di stesen minyak. Dia tak balas terus SMS itu, tetapi memikirkan apakah ayat yang paling sesuai untuk membalasnya. Hazman berfikir agak lama juga. Akhirnya, dia memutuskan untuk tidak menjawab soalan itu, sebaliknya bertanya kepada kekasihnya itu.

- Yanti, Man tak faham maksud Yanti. Apa maksud sehidup semati dan berkorban?

Apabila menerima SMS itu, Haryanti yang sudah sedia terluka, berasa begitu sedih. Dia merajuk dan terus tidak membalas SMS Hazman. Bila menyedari Haryanti terasa hati, Hazman segera meminta maaf, namun beberapa SMS Hazman selepas itu tidak dijawab. Hazman cuba menelefon Haryanti, namun panggilannya juga tidak dijawab.

Hazman terasa cukup kesal. Bukan niatnya untuk melukakan hati Haryanti. Perjalanan Hazman dari KL ke JB itu agak terganggu sebab memikirkan perkara yang bukan-bukan mengenai masa depannya dengan Haryanti. Dia juga masih tak tahu apa yang berlaku di rumah Haryanti malam tadi.

Tak lama kemudian, Haryanti menerima panggilan telefon daripada Kamal beberapa kali. Selepas itu, Fuad pula yang menelefon. Kesemua panggilan itu tidak diperdulikan oleh Haryanti. Dia berasa sungguh terganggu dengan panggilan-panggilan itu. Sehinggalah teksi yang dinaiki oleh Haryanti berhenti di hadapan sebuah rumah di Gombak, barulah dia menarik nafas lega. Perlahan-lahan, Haryanti keluar daripada teksi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience